Warga pendidik di Kelantan diminta bersikap objektif – Utusan


Warga pendidik di Kelantan diminta bersikap objektif

Oleh HAPIZAH AZIZ

KOTA BHARU 18 Mac – Warga pendidik di negeri ini diminta bersikap lebih matang dan objektif dalam memperkatakan pelbagai isu yang berlaku dalam negara sekarang.

Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang berkata, sebagai golongan yang berpendidikan dan bertanggungjawab mendidik anak bangsa, sewajarnya guru-guru membincangkan sesuatu isu itu secara objektif serta tidak mudah dipengaruhi emosi sehingga sanggup melemparkan pelbagai tuduhan liar kepada pihak kerajaan.

Sebagai contoh, katanya, isu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, perlu dilihat secara menyeluruh dan objektif dengan warga guru tidak sewajarnya memperlekehkan peranan dimainkan oleh anggota keselamatan dalam menangani masalah melibatkan keselamatan serta kedaulatan negara.

“Guna corak pemikiran positif dan tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan tindakan yang dilakukan (oleh pasukan keselamatan), kerana Kerajaan Persekutuan mempunyai perancangan teliti dalam menyelesaikan

masalah yang dihadapi,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Perhimpunan Bulanan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130318/dn_32/Warga-pendidik-di-Kelantan-diminta-bersikap-objektif#ixzz2NsXTgfcU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Muhyiddin kesal guru hina anggota pasukan keselamatan – Bernama


Muhyiddin kesal guru hina anggota pasukan keselamatan

15 Mac 2013
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin menerima cenderahati daripada Dr Md Salleh Yaapar (kanan) sambil disaksikan Dr Awang Sariyan pada sidang akhbar mengenai Anugerah Sastera Negara Ke-12 di Bangunan Perd

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan tindakan seorang guru di Kelantan mengeluarkan kata-kata menghina pasukan keselamatan negara yang bertugas di Lahad Datu, Sabah melalui laman sosial, Facebook.

Timbalan perdana menteri dan juga menteri pelajaran itu berkata sebagai rakyat, guru itu sepatutnya menghargai pengorbanan wira-wira negara seperti mana rakyat lain dan bukannya menghina pasukan keselamatan negara yang sedang bertugas di Lahad Datu, Sabah, bagi mempertahan kedaulatan negara yang tercinta.

“Ini bukan suatu perkara yang remeh, satu perkara cukup serius yang menyentuh soal kedaulatan dan keselamatan.

“Rakyat Malaysia yang taat setia kepada negara, yang cintakan negara sepatutnya menghargai pengorbanan besar yang telah dibuat oleh pasukan keselamatan kita,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan penerima Anugerah Sastera Negara ke-12, Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain, di sini, hari ini.

Lelaki berkenaan dalam laman Facebooknya dan dipetik oleh beberapa penulis blog menggelar polis ‘anjing’ dan menyifatkan kematian mereka yang terkorban sebagai ‘mati katak’.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tindakan akan diambil terhadap guru berkenaan mengikut peraturan tatatertib di bawah Kementerian Pelajaran.

“Tindakan akan diambil mengikut peraturan disiplin iaitu pertama, meminta tunjuk sebab kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap beliau,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Pelajaran Kelantan telah diarah menyiasat kenyataan guru terbabit.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud berkata, imej dan reputasi warga pendidik turut terjejas akibat tindakan guru itu.- Bernama

Kementerian Pelajaran jawab isu guru hina anggota polis – Utusan


Kementerian Pelajaran jawab isu guru hina anggota polis

Oleh SUWARNI MOKHTAR

KUALA LUMPUR 14 Mac – Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung isu seorang guru yang didakwa telah mengeluarkan pernyataan menghina anggota polis yang bertugas di Lahad Datu, Sabah melalui laman sosial, Facebook.

Kenyataan tersebut dibuat oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud di sini hari ini.

Berikut adalah kenyataan akhbar terbabit yang turut boleh dibaca di laman web kementerian tersebut iaitu http://www.moe.gov.my/v/kenyataan-media-view?page=1&id=316

KENYATAAN AKHBAR BERKAITAN SEORANG GURU DI KELANTAN MENGHINA ANGGOTA POLIS MELALUI LAMAN FACEBOOK

1. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook seorang guru di negeri Kelantan yang membuat posting dengan kata-kata yang boleh dianggap menghina pasukan keselamatan kita yang sedang bertugas dalam `Ops Daulat’ di Lahad Datu, Sabah bagi mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta. Penulisan di laman Facebook tersebut dengan jelas melakukan penghinaan terhadap pasukan keselamatan kita khususnya Polis DiRaja Malaysia.

2. Adalah dimaklumkan bahawa KPM tidak akan berkompromi dengan kenyataan biadap yang dilakukan oleh guru berkenaan dan akan memastikan tindakan tegas diambil atas perbuatan tersebut. Seorang guru sepatutnya menjalankan amanah yang dipikul dengan penuh tanggungjawab malah sepatutnya menjadi model semangat patriotisme kepada masyarakat khususnya anak didik mereka. Pasukan keselamatan yang sedang bertugas menyambung nyawa di perbatasan demi maruah dan kedaulatan negara sedang melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang sangat mulia. Kenyataan menghina tersebut telah mengguris hati banyak pihak khususnya keluarga mereka serta menjejaskan reputasi dan imej warga pendidikan dalam negara ini yang sentiasa memberi sokongan padu kepada PDRM dan ATM.

3. KPM serta seluruh warga pendidikan juga sentiasa mendoakan agar pasukan keselamatan kuat yang sedang bertugas di perbatasan sentiasa selamat dan dikurniakan kekuatan serta semangat kental dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara kita yang tercinta ini.

Terima kasih.

TAN SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130314/dn_53/Kementerian-Pelajaran-jawab-isu-guru-hina-anggota-polis#ixzz2Naczw000
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dipaksa jadi buruh remaja – Sinar Harian


Dipaksa jadi buruh remaja

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 17, 2012
buruh remaja

RAWANG – Asalnya dia hidup sebatang kara, tidak pernah sedikit pun merasa kasih ibu dan ayah apabila sejak kecil sudah disisihkan keluarga.

Ketika remaja, dia tinggal sebumbung dengan rakan-rakannya di Tawau, Sabah sehingga berusia 13 tahun, dia mendapat tawaran kerja di Semenanjung Malaysia daripada ejen buruh kononnya bergaji lumayan dan menetap percuma di kediaman teres.

Malang nasibnya, kerana semua itu janji kosong, kerja yang ditawarkan adalah sebagai tukang buat sarung tangan getah di sebuah kilang di Klang dengan gaji RM300 sebulan dan tempat tinggalnya di sebuah unit teres di Kapar, Klang yang dikongsi lebih 10 orang termasuk pekerja lelaki.

Dari situ, bermulalah siri hidup Nurhanis Mohd Noor, 27, sebagai buruh ‘remaja’ yang saban hari dilalui penuh getir.

Berstatus ‘warga asing’

Nurhanis tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah kecuali surat perakuan sumpah menyatakan dia dilahirkan di Lahad Datu, Sabah pada 1983 dan sehingga kini dia masih berstatus ‘warga asing’.

Kerja di kilang sarung tangan tidak lama dan Nurhanis nekad lari setelah rumah sewa mereka diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), namun dia dilepaskan dan terus meniti pengalaman bekerja di beberapa kilang, kedai, gerai dan restoran sekitar Selangor.

Pada usia 17 tahun, ketika menetap di Bandar Country Homes, di sini Nurhanis bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang tua setahun daripadanya, berasal dari Tapah, Perak.

Nurhanis berkata, perkahwinan tanpa pendaftaran itu dikendalikan seorang warga Indonesia.

“Hasil perkongsian hidup, kami dikurniakan dua cahaya mata, Mohd Amin Zaim, 4, dan Nurain Fatihah, 2.

“Namun, jodoh kami tidak panjang kerana suami lari ketika anak kedua saya baru berusia setahun lebih,” kata ibu tunggal itu ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat MIC Cawangan Taman Hijau, di sini, kelmarin.

Nurhanis datang bersama ibu angkat, Alimah Karim, 60, yang menjaganya sejak ditinggalkan suami.

Anak bongsu hidap sawan

Belum pun padam luka di hati ditinggal suami, Nurhanis diduga dengan keadaan anak bongsunya yang menghidap penyakit sawan sehingga menyebabkan fizikal Nurain terencat.

Nurhanis berkata, dia memerlukan banyak belanja untuk menampung kos rawatan dan terapi untuk anaknya, namun mengakui tidak mampu kerana bukan saja tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk melayakkan dia mendapat rawatan di klinik atau hospital kerajaan, malah pendapatan sekitar RM800 sebulan hasil upah kerja di sebuah kilang di Rawang tidak mungkin dapat membiayai kos rawatan anaknya itu.

Rayu daftar kewarganegaraan

Menurut Nurhanis, sekiranya dia masih tidak tidak didaftarkan sebagai warganegara Malaysia dan tidak memiliki MyKad, semua usaha yang dilakukan terutama untuk masa depan anaknya tidak kesampaian, ibarat angan-angan mat jenin.

“Sebab itu, saya harap sangat dapat didaftarkan dan diberikan kad pengenalan bagi memudahkan segala urusan, kedua-dua anak saya juga tidak memiliki sijil lahir kerana perkahwinan kami tidak didaftarkan dan semua ini menyukarkan serta akan menghalang anak-anak saya untuk bersekolah,” katanya penuh harapan.

Ibu angkat beri dorongan

Walaupun bukan darah daging sendiri, tetapi sebagai ibu angkat, Alimah cukup simpati dengan nasib Nurhanis dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu keluarga Nurhanis yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Saya juga senasib dengan Nurhanis, ditinggalkan suami ketika masih muda, namun kehidupannya lebih getir.

“Selagi kudrat ada, saya berusaha membantunya dan berharap segalanya selesai sebelum mata ini pejam,” katanya.

MIC usaha bela Nurhanisa

Sementara itu, Pengerusi Kebajikan MIC Negeri Selangor, MB Raja berkata, buat masa ini, usaha mendapatkan maklumat kelahiran anak pertama Nurhanis di sebuah pusat pengembangan Islam yang dahulunya pernah diharamkan kerana didakwa membawa ajaran sesat,
akan dilakukan bagi memudahkan proses pendaftaran­ kelahiran.

Menurutnya, keadaan seperti yang ditempuh Nurhanis wajar mendapat pembelaan apatah lagi keluarga berkenaan anak tempatan yang layak menerima status kewarganegaraan.

“Dia hidup yatim piatu dan cuba berdikari, datang ke Semenanjung dengan harapan dapat membina hidup baru, tetapi dianiaya.

“Lebih membanggakan, dia nekad mahu menjaga kedua-dua anaknya walaupun sedar kesempitan hidup, orang seperti ini yang harus kita bantu,” katanya.

Raja yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Masyarakat Bestari (PKSMB) Daerah Gombak berharap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi kerajaan berkaitan tampil membantu keluarga Nurhanisa.

Guru didera suami rayu ditukarkan – Bernama


Guru didera suami rayu ditukarkan

2012/01/16

ALOR SETAR: Seorang guru sandaran yang mendakwa tidak tahan didera hampir setahun oleh suaminya, seorang penagih dadah, nekad melarikan diri dan memohon Kementerian Pelajaran meluluskan pertukarannya atas faktor keselamatan.

Siti Muniroh Mohd Shukri, 31, berkata selepas melarikan diri dari Lahad Datu, Sabah, bersama anak lelakinya yang berusia sembilan bulan pada 22 Julai tahun lalu, gajinya ditahan sehingga kini.

“Suami saya, Aldin Osdam, 31, yang terjebak dengan najis dadah pada 2010, sangat cemburu, mengurung dan memukul saya saban hari. Dia juga meminjam dengan Ah Long, mohon kad kredit dan beli kereta guna nama saya.

“Apabila tidak jelaskan hutang, saya jadi mangsa, diterajang dan disepak hampir setahun,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumah bapanya di sini hari ini.

Siti Muniroh nekad melarikan selepas berbincang dengan Guru Besar Sekolah Rendah St Dominic di Lahat Datu, tempat beliau bertugas, manakala ibu mertuanya membelikan tiket penerbangan ke Alor Setar.

Sebelum melarikan diri, beliau membuat laporan polis di Lahat Datu sebanyak dua kali selain ke Mahkamah Syariah untuk menuntut cerai.

Siti Muniroh berkata, Aldin yang dipenjara tiga bulan di Lahat Datu kerana kesalahan dadah akan dibebaskan 18 Januari ini dan sudah menghubunginya tiga hari lalu serta mengugut hendak ‘menyembelih’ beliau jika terjumpa di Sabah.
Beliau berkata, laporan mengenai ugutan itu telah dibuat di Balai Polis Alor Setar.

“Atas faktor keselamatan diri untuk kembali bertugas di Lahat Datu, saya memohon pihak berkenaan di Kementerian atau Jabatan Pelajaran menimbang kes saya dengan wajar.

“Sahabat bapa saya, Redzuan Ishak sudah tiga kali membawa saya dan bapa ke Kementerian Pelajaran di Putrajaya menemui pegawai bahagian pertukaran” katanya.

Siti Muniroh juga membuat permohonan secara dalam talian kepada Guru Besar dan Jabatan Pendidikan Sabah selain bertemu pegawai Jabatan Pendidikan Kedah serta kaunselor.

Sehubungan itu, beliau merayu masalah tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin kerana statusnya sebagai guru sandaran terlatih dan belum disahkan jawatan. – BERNAMA