Tragedi beli makanan ringan – Metro


Tragedi beli makanan ringan

 14  8 Google +0  0  0

Oleh Na’imah Mohamed dan Che Haslinda Daraman

Kuala Selangor: Niat seorang murid tahun satu untuk membeli makanan ringan selepas pulang dari sekolah bertukar tragedi apabila digilis sebuah kereta yang didakwa dipandu laju dalam kejadian di depan sebuah sekolah di Puncak Alam, di sini, kelmarin.

Mangsa, Faris Hakimi Sazali, 7, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan swasta di Subang selepas dilaporkan mengalami kecederaan serius di kepala dan badan.
Menurut saksi yang enggan dikenali, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika semua murid baru keluar dari kawasan sekolah untuk menaiki bas serta kenderaan ibu bapa masing-masing.

 

“Saya tidak melihat sendiri kejadian ketika murid terbabit dilanggar, bagaimanapun, ketika sedang sibuk melayan kanak-kanak lain membeli makanan ringan, saya terdengar bunyi yang kuat seperti sesuatu dilanggar.
“Sebaik melihat ke arah bunyi itu, saya dapati seorang kanak-kanak sudah berada di bahagian belakang sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita yang turut menjemput anaknya di sekolah berkenaan,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Seorang lagi saksi, Shafie Mokhtar, 60, berkata, ketika kejadian waktu persekolahan baru saja tamat dan murid menyerbu keluar ke arah gerai makanan ringan di tepi jalan.

 

FotoTIADA pengawal mengawal keadaan lalu lintas ketika kanak-kanak menyerbu keluar apabila tamat waktu persekolahan.

“Mangsa mahu melintas jalan ke gerai menjual jajan sementara menunggu van sekolah dinaikinya tiba namun tiba-tiba dilanggar kereta yang dikatakan dipandu laju.
“Kemalangan memang kerap berlaku di kawasan ini, namun kejadian itu adalah yang paling teruk sejak sekolah ini dibuka 13 tahun lalu,” katanya yang bekerja sebagai pemandu van sekolah.

 

Selain itu, seorang lagi pemandu van sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Sham, 42, berkata, kawasan berkenaan sepatutnya diletakkan bonggol berikutan kanak-kanak sering melintas.
“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan sekiranya pihak berkenaan mengambil langkah sepatutnya memandangkan ini bukan kali pertama kemalangan berlaku di kawasan ini.
“Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan atas kejadian yang berlaku sekiranya semua pihak lepas tangan?“ katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan dan kedua-dua pihak sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

Murid berdepan risiko lalu lintas – Sinar Harian


Murid berdepan risiko lalu lintas

SHAHIZATUL FARHA S ROSLI & AZLINA OTHMAN
27 Jun 2013
Murid berdepan risiko lalu lintas
Jimmy dan penduduk setempat menggesa penyelesaian segera diambil agar lalu lintas di hadapan Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Bukit Batu lebih terkawal dan selamat.
Murid berdepan risiko lalu lintas
Seorang pengawal lalu lintas membantu murid melintas ke seberang jalan selepas tamat sesi persekolahan, kelmarin.

KULAIJAYA – Kira-kira 200 murid Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Bukit Batu, di sini, didakwa berdepan risiko kemalangan berikutan jalan besar di hadapan sekolah sentiasa digunakan pelbagai kenderaan berat untuk ke kawasan sekitar.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Zaidi Rahmat berkata, PIBG dan penduduk setempat sudah beberapa kali menyuarakan masalah itu kepada wakil pemimpin sejak 10 tahun lalu, namun tiada tindakan diambil.

Menurutnya, sejak tahun 2008, pernah berlaku dua kemalangan membabitkan murid sekolah sehingga menyebabkan kematian akibat keadaan lalu lintas tidak terkawal berikutan kenderaan sering dipandu laju di lokasi berkenaan.

“Jalan ini sering digunakan pelbagai jenis kenderaan termasuk lori muatan 40 tan yang membawa batu dan kelapa sawit berulang-alik ke Pontian atau Nusajaya serta kawasan berhampiran.

“Sebelum ini telah berlaku dua kematian membabitkan murid sekolah dan baru-baru ini seorang bapa mengalami patah kaki setelah dilanggar ketika mengambil anaknya pulang dari sekolah,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Justeru, Zaidi menggesa agar pihak berwajib mengambil tindakan segera membina bonggol jalan di kawasan berkenaan bagi mengawal had laju kenderaan yang menggunakan laluan itu.

Dalam pada itu, Adun Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya akan merujuk masalah berkenaan kepada pihak berwajib agar tindakan segera diambil bagi memastikan keselamatan murid sekolah dan penduduk terjamin.

“Sebelum ini saya pernah rujuk masalah ini kepada pihak berwajib dan saya akan ambil tindakan susulan untuk pastikan jalan penyelesaian segera diambil.

“Saya sarankan agar bonggol jalan atau lampu isyarat di pasang di kawasan itu supaya lalu-lintas lebih terkawal dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pelajaran Johor mengesahkan tidak menerima aduan berkaitan permasalahan berkenaan.

Pengarahnya, Mohd Nor A Ghani menasihatkan pihak sekolah mengingatkan murid agar menjaga keselamatan diri bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini di luar kawasan sekolah.

Ingatan itu juga perlu disampaikan kepada ibu bapa murid yang berperanan mengawasi pergerakan anak mereka dan tidak memandu terlalu laju ketika berada di kawasan sekitar persekolahan.

“Buat masa ini, pihak kami tidak menerima aduan berhubung perkara berkenaan. Keadaan ini melibatkan di luar sekolah yang mana ia di luar kawalan kita . Tetapi, kita boleh panjangkan maklumat ini kepada pihak yang berkaitan supaya tindakan segera dapat diambil.

“Menjaga lalu lintas juga diluar kuasa pihak jabatan. Tetapi, saya nasihatkan supaya pihak sekolah mengingatkan murid-murid supaya lebih berhati-hati dan mementingkan keselamatan dan orang ramai hendaklah memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan persekolahan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

2 sekolah terpaksa ditutup – Metro


2 sekolah terpaksa ditutup

 1  0 Google +1  0  0

Permaisuri: Dua sekolah di Setiu terpaksa ditutup apabila kawasan dan jalan menghubungkan sekolah berkenaan ditenggelami banjir.

Sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buloh yang ditutup selepas kawasan sekolah dan bilik darjah dimasuki air manakala laluan ke SK Kampung Besut ditutup kepada semua lalu lintas berikutan jalan ke sekolah itu ditenggelami air kira-kira 1 meter.
Guru Besar SK Kampung Buloh Mamat Hashim Muda berkata, air yang memenuhi kawasan sekolah kira-kira jam 3 pagi semalam memaksa pihak sekolah menangguhkan sesi persekolahan berikutan kelas dimasuki air.

 

“Kami sudah memaklumkan perkara ini kepada Pejabat Pelajaran Daerah Setiu dan ia akan diganti pada tarikh ditetapkan kemudian,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, semalam.
Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan sekolah itu ditenggelami air manakala beberapa kelas turut dimasuki air sejak awal pagi semalam.
Sementara itu di Besut, SK Kampung La di Hulu Besut, di sini terpaksa ditutup berikutan ramai pelajar dan gurunya tidak dapat hadir ke sekolah apabila jalan ke sekolah itu dinaiki air antara 0.6 meter dan 1.3 meter.

 

Laluan terbabit ialah di Kilometer (KM) 27, Jalan Jerteh-Keruak dekat Sungai Patong dan di KM13 dekat Kampung Gertak Jerbun.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

– See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2sekolahterpaksaditutup/Article/index_html#sthash.W3Kxe79U.dpuf

Perut hampir pecah – Metro


Perut hampir pecah

Oleh Pretty Licha
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUKAH: “Hati saya sayu melihat perut budak lelaki itu hampir pecah,” kata saksi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa kanak-kanak berusia lapan tahun apabila lori dipandu bapanya merempuh sebuah lori lain di Sungai Selat, Jalan Bintulu-Tatau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Bryant Tiong Kung Yan, murid tahun dua sekolah rendah di bandar Sibu, mati di tempat kejadian akibat cedera di perut selepas lori membawa muatan gam dipandu bapanya, Tiong Ing Tung, 44, merempuh belakang lori baja.
Saksi berkenaan, Edward Banting, 21, berkata, ketika kejadian dia memandu keretanya mengekori lori berkenaan sebelum pemandu lori di depannya menekan brek secara tiba-tiba sambil mengelak sesuatu sebelum berhenti secara mengejut.

 

“Saya sendiri nyaris merempuh belakang lori dipandu mangsa, tetapi disebabkan berada pada jarak yang selamat, saya mengelak daripada terbabit dalam kemalangan itu.
“Sejurus kemudian saya melihat pemandu lori berkenaan turun dengan kepalanya berlumuran darah menuju ke arah tempat duduk sebelah pemandu,” katanya. Edward berkata, dia memberhentikan kereta dan terkejut apabila mendapati pemandu lori itu cuba mengeluarkan anak lelakinya yang tidak sedarkan diri, tersepit di tempat duduk penumpang.
“Ketika itu saya sempat melihat perut kanak-kanak itu cedera parah dan banyak darah keluar. Selepas 10 minit, kami mengeluarkan kanak-kanak itu, namun tubuhnya langsung tidak bergerak,” katanya.

 

 

Pemandu lori baja terbabit, Latip anak Kerani, 42, berkata ketika kemalangan, lalu lintas di jalan berkenaan sesak kerana ada kerja naik taraf jalan dilakukan menyebabkan kenderaan berderet menunggu giliran melepasi kawasan pembinaan.
“Tiba-tiba lori saya dirempuh kuat dari belakang. Saya turun dan mendapati lori lain melanggar bahagian belakang kenderaan saya.

 

“Ketika itu saya nampak pemandunya cedera di kepala manakala seorang kanak-kanak berlumuran darah tersepit di tempat duduk depan,” katanya.
Difahamkan, Bryant menemani bapanya menghantar muatan gam ke Bintulu berikutan cuti sekolah sempena Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung sekarang. Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian beberapa minit kemudian akibat cedera parah pada badan, manakala bapanya dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Mayat kanak-kanak malang itu dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kemalangan berkenaan menyebabkan keadaan lalu lintas di situ sesak lebih tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13

Lelaki tunjuk kemaluan ditahan – Sinar Harian


Lelaki tunjuk kemaluan ditahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Ogos 2012

KULIM – Lebih 10 murid perempuan di Masjid Sultan Badlishah di sini, cemas apabila seorang lelaki berusia 50 tahun yang ditemui berkeliaran di kawasan itu menunjukkan kemaluannya kepada mereka.

Bagi memastikan keadaan terkawal, orang ramai yang berada di tempat kejadian memaklumkan kejadian itu kepada Rakan Cop.

Ketua Rakan Cop yang juga Pengerusi Pekida Labu Besar, Nordin Ismail berkata, dia kemudiannya mengarahkan beberapa ahli Rakan Cop untuk pergi ke tempat kejadian sebelum memaklumkan kepada Balai Polis Sungai Kob.

“Hampir setahun lelaki ini merayau di sekitar kawasan Labu Besar. Lelaki itu memaklumkan kepada saya sebelum ini dia merupakan seorang yang mempunyai harta bagaimanapun semua hartanya ditipu ahli keluarga sehingga dia merempat. Selain menunjukkan kemaluannya kepada orang ramai terutama golongan kanak-kanak perempuan dan wanita, dia juga mengganggu lalu lintas.

“Tabiat suka menunjuk kemaluannya itu mendatangkan kemarahan penduduk tempatan di mana dia pernah dibelasah teruk. Untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang lagi, Rakan Cop menahannya dan menyerahkannya kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan doktor,” katanya.

Nordin berkata, permasalahan seperti ini seharusnya mendapat perhatian semua pihak terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, bagi kes orang papa, permasalahan ini boleh dirujuk kepada JKM manakala bagi mereka yang mengalami permasalahan mental, orang ramai boleh membuat aduan kepada polis supaya individu terlibat boleh mendapat rawatan sewajarnya.

“Kita jangan sisih mereka dari masyarakat kerana mereka ini bermasalah. Kita cuba bantu menyelesaikan permasalahan dialami dengan sebaik mungkin. Sekiranya kita membiarkan golongan ini terus menjadi penghuni kaki lima, permasalahan orang papa tidak akan selesai.

“Sebagai ahli komuniti di kawasan ini, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kebajikan mereka diutamakan dan bantuan sewajarnya harus diberikan,” katanya.

Pengawal lintasan sekolah dipertimbang – Bernama


Pengawal lintasan sekolah dipertimbang

2012/04/24

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sudah menyediakan satu kertas cadangan bagi mewujudkan jawatan Pengawal Lintasan Sekolah (PLS) bagi melaksanakan kawalan lalu lintas di sekolah yang berisiko kemalangan jalan raya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, memberitahu sidang Dewan Negara hari ini, kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan itu.

“Kita berbincang dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa tempatan.

“Kertas cadangan tersebut sedang diteliti oleh pihak berkaitan sebelum dihantar ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi tujuan kelulusan pelaksanaan di sekolah-sekolah,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Paul Kong Sing Chu.

Menjawab soalan tambahan Kong mengenai perancangan kementerian untuk menambah jumlah PLS bagi mengawasi keselamatan pelajar sekolah, Wee berkata cadangan tersebut adalah satu tindakan tepat bagi mengatasi masalah lalu lintas yang semakin teruk di kawasan sekolah.

“Masalah lalu lintas ini hanya berlaku semasa pelajar datang dan pulang dari sekolah.

“Lalu lintas menjadi sesak pada waktu itu tambahan pula ada yang tidak sabar dengan memotong barisan, saya harap dengan adanya plan pengurusan yang bagus masalah ini dapat diatasi segera,” katanya.
Wee berkata, peratusan menunjukkan tidak semua pelajar datang ke sekolah dengan berjalan kaki namun begitu PLS tetap diperlukan bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa diawasi.

“Sebanyak 38 peratus pelajar dihantar ibu bapa, 26.8 peratus pelajar menaiki bas, 20 peratus pelajar berjalan kaki, 10.5 peratus berbasikal manakala 3.6 peratus bermotosikal ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik tersebut, satu perancangan rapi perlu dibuat bagi memastikan pelajar diberi perlindungan semaksimum mungkin memandangkan risiko kemalangan amat tinggi.

Menjawab soalan tambahan Senator Noriah Mahat mengenai larangan kepada penjaja makanan ringan di luar kawasan sekolah, Wee berkata pihak sekolah tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan sebarang tindakan kepada penjaja tersebut kerana mereka menjaja di luar kawasan sekolah.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengatasi masalah ini, namun penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak dapat menyelesaikannya kerana pelajar sememangnya mempunyai tabiat membeli makanan yang tidak berkhasiat.

“Apa yang kita boleh buat adalah memberi pendidikan tentang penjagaan kesihatan kepada ibu bapa serta pelajar itu sendiri,” katanya. – BERNAMA

Murid lari selamatkan diri – Sinar Harian


Murid lari selamatkan diri

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 April 2012
Murid lari selamatkan diri

JOHOR BAHRU – Hampir 100 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pu Sze, di sini, lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila kerangka tingkap dewan sekolah jatuh terhempas dalam kejadian ribut petir berserta hujan dan angin kencang, petang semalam.

Sebelum kejadian terbabit, kesemua pelajar terbabit sedang menjalani latihan bola tampar dan yoyo Cina secara berkumpulan bermula sekitar jam 2 petang ditemani jurulatih masing-masing.

Bagaimanapun, latihan pelajar terbabit terhenti dan suasana kelam-kabut menyelubungi dewan sekolah terbabit sejurus kedengaran seperti atap zink di tepi dewan sekolah umpama mahu tercabut kerana ditiup angin kuat sekitar jam 2.15 petang.

Guru sekolah merangkap jurulatih Yoyo Cina, Phang Hai Dong, berkata, pada mulanya, keadaan seperti biasa dan kedua-dua kumpulan pelajar sedang berlatih secara berasing di dewan yang sama.

“Hujan mulai lebat dan kedengaran tiupan angin yang kuat. Saya berdiri berdekatan pintu dewan untuk meninjau persekitaran luar kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini pada kereta kerana kedengaran bunyi zink seakan mahu tercabut.

“Melihat keadaan seperti bertambah teruk, saya meminta pelajar segera berlindung di tempat yang selamat. Dalam beberapa minit kemudian, kerangka tingkap dewan terhempas jatuh, namun mujurlah tiada siapa yang tercedera. Kejadian menakutkan ini adalah kali pertama berlaku sepanjang hampir 14 tahun berkhidmat di SJKC Pu Sze,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas kejadian, di sini.

Dalam kejadian sama, hampir 80 peratus atap zink sebuah blok bangunan menempatkan 18 bilik darjah di sekolah terbabit diterbangkan angin kencang malah melayang sehingga ke Jalan Skudai sekali gus mengganggu aliran lalu lintas.

Turut hadir mengadakan lawatan ke sekolah terbabit adalah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Dr Boo Cheng Hau dan Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh.

Guru Besar SJKC Pu Sze, Wong Loke Say berkata, tidak semua bilik darjah mengalami kerosakan selepas atap zink bangunan terbabit diterbangkan angin, sebaliknya hanya enam bilik di tingkat atas berserta perkakasan di dalamnya terjejas.

“Enam kelas ini menempatkan murid darjah enam untuk sesi pagi dan murid darjah tiga bagi sesi petang. Tiada siapa yang cedera dalam kejadian ini kerana tiada proses pengajaran dan pembelajaran (PNP) berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, Kementerian Pelajaran akan menanggung semua kos bagi kerja baik pulih semua kerosakan yang dialami sekolah terbabit selepas taksiran kerugian dibuat oleh Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah.

“Saya menerima panggilan mengenai kejadian sekitar jam 3 petang dan bergegas ke sekolah ini. Menerusi tinjauan dibuat, kira-kira 70 hingga 80 peratus atap zink sebuah blok bangunan menempatkan bilik darjah diterbangkan angin selain sebuah kerangka tingkap dewan jatuh.

“Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed juga sudah saya hubungi untuk melaporkan mengenai kejadian ini untuk memberikan peruntukan segera bagi membolehkan sekolah melakukan kerja baik pulih kerosakan.

“Jadi, kementerian sedang menantikan laporan taksiran kerugian dialami sekolah daripada Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah supaya kerja baik pulih dapat dilakukan segera,” katanya.

Difahamkan, ribut kencang yang berlaku di situ dikenali sebagai angin ‘langkisau’ dengan kelajuan luar biasa sekali gus mampu untuk menerbangkan bumbung-bumbung rumah dan sekolah di kawasan terlibat.

Berdasarkan laporan portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir akan melanda beberapa tempat di negeri ini pada sebelah petang, namun tiada hujan dilaporkan pada sebelah pagi dan malam.

Malah, mengikut portal rasmi jabatan itu di http://www.met.gov.my ribut petir akan terus berlaku di beberapa tempat di negeri ini hingga 20 April ini.