Murid hidap penyakit sendi dapat kerusi roda – Bernama


Murid hidap penyakit sendi dapat kerusi roda

12 Jun 2013

 

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit sendi lembek hari ini mendapat perhatian kerajaan negeri Terengganu yang menghulurkan bantuan kerusi roda bagi memudahkannya bergerak terutama semasa di sekolah.

Nur Fatihah Abdul Karim, 12, murid Sekolah Kebangsaan Bukit Payung di Marang, menghidap penyakit itu sejak dilahirkan.

“Saya sungguh gembira mendapat kerusi roda baharu yang diberi kerajaan hari ini. Dengan kerusi ini bolehlah saya bergerak dengan lebih selesa kerana ia automatik,” katanya kepada pemberita ketika menerima kerusi roda yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Nur Fatihah, anak sulung dari empat beradik yang meminati Bahasa Inggeris dan bercita-cita menjadi guru, berkata, penyakit yang dialaminya menyebabkannya lumpuh kedua-dua belah kaki serta tangan yang memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak.

Bapa kanak-kanak itu, Abdul Karim Abdullah, 40, yang menemani anaknya menerima bantuan itu, berkata setiap hari beliau menghantar anaknya ke sekolah pada 6.30 pagi sebelum memulakan perniagaan menjual ikan di pasar-pasar minggu.

Beliau berkata sebelum ini anaknya sudah mempunyai kerusi roda biasa yang diperoleh melalui bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain RM300 sebulan untuk membeli lampin pakai buang.

“Saya bersyukur mendapat bantuan ini kerana saya yang bekerja menjual ikan dengan pendapatan yang tidak menentu, tak mampu untuk membelinya sendiri,” katanya.

Ahmad pula ketika ditemui berkata pemberian bantuan kerusi roda bernilai RM5,000 itu adalah di bawah peruntukan Tabung Penyakit Kronik Kerajaan Terengganu.

Beliau berkata di bawah tabung itu, kerajaan negeri menyediakan RM10 juta setahun untuk membantu rakyat yang menghidap penyakit jantung, buah pinggang, kanser dan penyakit kronik lain.

Sebanyak RM2.5 juta lagi bagi membantu rakyat negeri ini yang memerlukan bantuan seperti kaki palsu, lampin pakai buang, susu dan sebagainya, katanya. – Bernama

Tetap hantar zuriat lemah kaki ke sekolah – Metro


Tetap hantar zuriat lemah kaki ke sekolah

 0  0 Google +0  0  0

Melaka: Demi kasih kepada anak, seorang ibu tetap menghantar anak lelakinya berusia tujuh tahun untuk bersekolah seperti anak lain meskipun anak keempat daripada lima beradik itu menghadapi masalah kecacatan fizikal pada kedua-dua belah kaki.

Ibu terbabit, Norasikin Abu Bakar, 38, berkata, walaupun anaknya, Muhammad Akmal Danish Nor Azli menghidapi penyakit lemah kaki yang menyukarkannya bergerak, namun dia dan suami tetap menyekolahkannya seperti anak mereka yang lain.
Menurutnya, setiap hari dia menghantar Muhammad Akmal Danish ke sekolah, manakala seorang abangnya, Muhammad Aqil Darwish, lapan tahun, yang sama bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 1, turut menjaga adiknya itu sepanjang di sekolah.

 

Katanya, disebabkan anaknya menghadapi masalah untuk bergerak, dia terpaksa memakaikan Muhammad Akmal Danish lampin pakai buang bagi memudahkannya membuang air.
“Sebelum memasukkannya ke sekolah, kami berbincang dengan guru besar mengenai masalahnya dan mereka memahami keadaannya,” katanya ketika dikunjungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang tampil membantu kanak-kanak terbabit, di Sungai Udang, di sini, semalam.
Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Orang Kelainan Upaya (OKU) JKM negeri Ismail Barom bersama dua pegawai termasuk Pembantu Kebajikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Nur Afiqah Rusli serta wakil pembekal alat sokongan fizikal.

 

Norasikin berkata, Muhammad Akmal Danish berupaya berjalan ketika berusia setahun lapan bulan hingga tiga tahun, tetapi pergerakannya pantas.
Katanya, pakar kanak-kanak memaklumkan anaknya mengambil masa agak lama untuk berjalan secara normal berikutan perkembangannya lambat tidak seperti kanak-kanak lain.

 

Katanya, ketika berusia empat tahun, Muhammad Akmal Danish didapati mula mengalami kesakitan pada tapak kaki ketika berjalan sebelum membawanya berjumpa doktor pakar di Hospital Pakar Putra dan dimaklumkan anaknya mengalami masalah lemah saraf dan sejak itu, dia terpaksa menggunakan kedua-dua lutut untuk bergerak di rumah.
Menurutnya, dia dan suami, Nor Azli Abdullah, 48, tidak mengetahui masalah dihadapi anak mereka itu, malah walaupun usianya mencecah setahun, dia masih tidak boleh berjalan mahupun merangkak.
Sementara itu, Ismail berkata, kes kanak-kanak itu dirujuk pada JKM oleh Ketua Menteri Datuk Idris Haron sendiri yang juga selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang meminta supaya pihak berkenaan membantu kanak-kanak terbabit.
Menurutnya, susulan itu, pihaknya merujuk laporan perubatan kanak-kanak terbabit daripada pakar ortopedik hospital berkenaan.
Beliau berkata, kanak-kanak itu juga didapati berdaftar sebagai orang kelainan upaya (OKU) fizikal dengan JKM dan dikategorikan sebagai cacat fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

Tiga anak hilang upaya selepas terbabit dalam kemalangan – Sinar Harian


Tiga anak hilang upaya selepas terbabit dalam kemalangan

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 November 2012
3 anak hilang upaya
Aminah cekalkan hati supaya anaknya sentiasa tabah menempuh dugaan hidup.

MARAN – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah nasib seorang ibu tunggal kematian suami tercinta yang meninggal dunia selepas sebulan koma akibat kemalangan pada 15 Jun lalu.

Lebih malang, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga anaknya mengalami kecederaan serius dengan seorang daripadanya lumpuh seluruh badan dan cacat penglihatan serta patah kaki.

Kini si isteri bertungkus-lumus bersendirian menanggung tugas sebagai ketua keluarga bagi menyara lima anaknya.

Balu kepada kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuari Pekan Awah itu, Aminah Awang Engit, 42, berkata, ketentuan Ilahi diterima dengan reda, namun hatinya bimbang setiap kali memikirkan nasib anaknya itu.

Menurutnya, dia amat memerlukan bantuan sara hidup dan keperluan lain bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

“Ketika kemalangan di Lebuh Raya Pantai (LPT) dekat Tol Kuantan itu, saya dan arwah suami, Abdul Rahim Abdul Rahman, serta tiga anak dalam perjalanan ke jabatan sukan di Balok.

“Manakala, dua anak lagi iaitu yang sulung berusia 17 tahun dan kedua, 14 tahun tidak ikut sekali,” katanya.

Akibat kemalangan itu kata Aminah, anak ketiganya, Nurul Ain Atikah, 12, patah kaki kanan dan terpaksa menjalani pembedahan memasukkan skru penyokong.

Manakala anak keempat, Abdul Arif, 10, cacat penglihatan selepas mengalami gangguan saraf akibat kecederaan dalam kemalangan tersebut.

Sementara itu, anak bongsunya, Abdul Muhaimin, 8, yang koma selama tiga bulan selepas kemalangan kini lumpuh seluruh badan dan tidak lagi boleh bercakap.

Perlu wang tampung kos lampin pakai buang, susu

AMINAH berkata,kos perbelanjaan susu dan lampin pakai buang untuk anak bongsu itu mencecah RM900 sebulan.

Menurutnya, gangguan saraf otak menyebabkan Abdul Muhaimin lumpuh badan dan bernafas melalui lubang di leher yang ditebuk, selain hanya bergantung kepada susu khas.

“Harga setin susu khas RM38.20 dan hanya boleh bertahan sehari semalam sahaja.

“Alat menyedut kahak dan tilam elektrik ini saya pinjam dari Jabatan Sosial Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tempoh tiga bulan sahaja,” katanya.

Kata Aminah, dia terpaksa cekalkan hati melihat penderitaan anak-anaknya.

“Hanya Tuhan tahu betapa sedih saya melihat penderitaan mereka, namun saya reda dengan ujian ALLAH SWT kerana percaya ada hikmah terselindung di sebalik semua ini,” katanya.

Aminah berkata, biarpun anak bongsunya itu lumpuh, namun dia mengerti mereka kini sudah kehilangan tempat bergantung.

Katanya, Abdul Muhaimin akan menatap gambar arwah ayahnya setiap hari dengan memberi isyarat tanda rindu.

Menumpang di rumah keluarga

AMINAH lima beranak yang sebelum ini tinggal di Kampung Baru Chenor kini menumpang di rumah keluarga mereka di Kampung Sungai Ling. Katanya, dia tidak mempunyai sebarang pendapatan dan tidak berupaya keluar bekerja kerana perlu memberi perhatian penuh kepada anak bongsu yang terlantar itu.

“Walaupun tinggal dengan ibu bapa, tetapi mereka hanya mampu menanggung makan minum kami lima beranak.

“Keperluan lain termasuk persekolahan anak-anak di bawah tanggungan saya sendiri,” katanya. Aminah kini hanya bergantung sepenuhnya pada wang pencen arwah suami sebanyak RM668 sebulan dan ia memang tidak mencukupi.

Rayu bantuan sara hidup

“SAYA harap permohonan dikemukakan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat diluluskan demi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Rindu telatah anak sulung – Sinar Harian


Rindu telatah anak sulung

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 November 2012

JOHOR BAHRU – Seorang bapa tidak menyangka tindakan anak sulungnya beriya-iya mengikutnya ke tapak pembinaan berakhir duka apabila dihempap kepingan blok sehingga hampir meragut nyawanya, dalam kejadian Ogos tahun lalu.

Fauzan Rahmad, 50 berkata, anaknya, Mohd Oca Santosa Fauzan, 16, ketika itu baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) nekad mengikutnya ke tempat kerja untuk mengisi masa terluang.

“Walaupun ditegah, dia tetap mahu mengikut saya ke tempat kerja kerana katanya bosan tanpa aktiviti di rumah, sedangkan sebelum ini dia gemar tidur semula selepas solat Subuh.

“Saya sangkakan anak saya ketika itu sudah mati apabila melihat bahagian kepalanya mengalami cedera parah selepas dihempap kepingan blok ketika membawakan makanan dan minuman yang dibeli di warung berhampiran.

“Saya bersyukur dia diberi peluang untuk hidup walaupun sudah tidak seperti dulu sehingga kadangkala membuatkan saya rindu untuk melihat telatahnya bermain bersama dua adiknya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Fauzan berkata, anaknya hanya mampu terlantar di katil dan dijaga sepenuhnya oleh isterinya, Rini Mohd Rashid, 38, setelah tempurung kepalanya terpaksa dibedah akibat kemalangan itu.

Jelasnya, anaknya yang dulunya seorang yang aktif perlu dilayan seperti bayi kerana hilang ingatan dan tidak mampu bercakap.

“Doktor cakap dia memang ada harapan untuk hidup, tapi perlu mengambil masa untuk sembuh.

“Sudah lebih setahun terlantar dia sudah mampu mengerakkan badannya dan memberi tindak balas setiap kali ditegur ibunya,” katanya.

Katanya, keadaan anaknya yang memakai lampin pakai buang dan mengharapkan susu yang disalurkan melalui tiub kadang-kala membataskan kemampuannya yang mencari rezeki sebagai buruh kasar.

“Saya mohon jasa baik mana-mana pihak yang boleh membantu menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung kami sekeluarga,” katanya.

Tolak rayuan perogol kanak-kanak – Sinar Harian


Tolak rayuan perogol kanak-kanak

RUBIAH OMAR
10 Oktober 2012
Tolak rayuan perogol kanak-kanak
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak rayuan dan mengekalkan hukuman 15 tahun penjara serta enam sebatan terhadap Senni, semalam.

Mahkamah Tinggi kekalkan hukuman 15 tahun penjara, enam sebatan

KUALA TERENGGANU- Perbuatan kejam seorang warga Indonesia yang tergamak merogol kanak-kanak berusia sembilan tahun sehingga mengalami pendarahan teruk pada bahagian kemaluan amat dipandang serius oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Ini terbukti apabila Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak rayuan dan mengekalkan hukuman 15 tahun penjara serta enam sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, dua tahun lalu terhadap tertuduh, Senni, dari Jawa Timur, Indonesia.

Terdahulu, Senni yang bekerja sebagai tukang elektrik didapati bersalah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 9 tahun di sebuah rumah di Taman Selasih Jalan Padang Luas, Kampung Padang Luas, Besut, pada 4 Mei 2009 antara jam 7 malam hingga 8 malam.

Dengan itu, Senni yang semasa kejadian berusia 23 tahun didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tidak kurang 5 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli lampin pakai buang untuk adiknya di kedai berhampiran telah ditarik oleh tertuduh masuk ke dalam rumahnya sebelum dibawa ke dapur dan dirogol.

Selepas kejadian, mangsa pulang ke rumah dan menangis apabila hendak membuang air kecil kerana mendakwa sakit pada bahagian kemaluan sebelum ibu mangsa ternampak darah meleleh keluar dari kemaluan mangsa dan turut mendapati terdapat kesan luka seperti ‘hati ayam yang hancur’.

Terdahulu dalam rayuannya, Senni yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mempertimbangkan rayuan meringankan hukuman yang dijatuhkan kepadanya sebelum ini dengan mendakwa sudah insaf.

Selain itu, Senni turut mendakwa semasa kejadian usianya masih muda, jadi dia terlalu jahil sehingga sanggup melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak yang masih mentah selain mendakwa hendak pulang ke tanah airnya secepat mungkin disebabkan kedua orang tuanya di kampung sudah uzur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin  Ahmad Nawawi.