Polis siasat kaitan mangsa culik dengan lima remaja Myanmar – Bernama


Polis siasat kaitan mangsa culik dengan lima remaja Myanmar

20/03/2012 9:58pm

 

SHAH ALAM 20 Mac — Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes culik seorang remaja perempuan yang berjaya dibebaskan oleh polis Thailand semalam termasuk mengenal pasti kaitan mangsa dengan lima remaja Myanmar yang turut diculik bersamanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa yang selamat tiba di tanah air semalam masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Polis akan menyiasat secara lengkap termasuk bila mangsa dibawa ke Thailand dan kaitan dengan lima remaja Myanmar yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini yang turut dijumpai bersama mangsa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, polis akan meminta kerjasama polis Thailand supaya menghantar pulang kesemua remaja Myanmar yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan terbabit memadangkan keluarga mereka menetap di negara ini dan juga pemegang status UNHCR.

Zahedi berkata, mangsa berusia 14 tahun, dilaporkan hilang pada 30 Januari lepas selepas ibunya Norazura Roski, 37, menghantar mangsa yang tinggal di Seksyen 8 di sini ke sebuah perhentian bas di Seksyen 9 untuk ke rumah kawannya.

Katanya, Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada 31 Januari selepas anak gadisnya itu tidak pulang ke rumah.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menghubungi ibunya pada 12 Mac lepas dan memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini dan berjaya meloloskan diri dan diselamatkan polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan iaitu menculik untuk tujuan pelacuran atau melakukan persetubuhan luar nikah.

Ditanya kemungkinan mangsa terbabit dengan sindiket kutipan derma, Zahedi berkata pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat berhubung perkara itu. — BERNAMA

Remaja diselamat daripada dilacur – Utusan


Remaja diselamat daripada dilacur

 

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

 

SHAH ALAM 19 Mac – Polis Thailand berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan Malaysia yang melarikan diri daripada sekumpulan anggota sindiket pelacuran selepas menemuinya di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, minggu lalu.

Turut melarikan diri bersama remaja berusia 14 tahun itu ialah sekumpulan remaja Myanmar.

Remaja perempuan itu yang berasal dari Seksyen 8, Shah Alam, di sini dipercayai hilang dari rumah dan kehilangannya itu dilaporkan oleh ibunya yang berusia 37 tahun pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ibu kepada remaja itu bagaimanapun sekali lagi membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11 di sini sehari selepas itu memaklumkan dia menerima panggilan daripada anak perempuannya.

Beliau berkata, wanita itu mendakwa anak perempuannya mengadu telah diculik bersama beberapa kanak-kanak warga Myanmar oleh sekumpulan individu dan dibawa ke Thailand.