Bapa tekad tinggalkan 3 anak – Kosmo


Bapa tekad tinggalkan 3 anak
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

NURUL SAFIZA (kiri) menjaga dua adiknya, Muhammad Nurhan (tengah) dan Nur Masyita Amiera di rumah mereka di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Nordi Adi, bapa kepada Siti Norzana, 12, yang masih terkandas di Indonesia bersama keluarga bekas isteri keduanya, Karsini Kaslam, 25, tekad meninggalkan tiga anaknya bersendirian di Flat Taman Kempas di sini.

Lelaki itu dipercayai menuju ke Lampung, Indonesia bersendirian untuk menyelamatkan anaknya yang kini didakwa di bawah cengkaman bapa angkatnya.

Dia dipercayai berbuat demikian lantaran kecewa kerana mendakwa sudah terlalu lama menunggu janji pihak tertentu untuk membawa anak kesayangannya pulang ke pangkuannya.

Namun, sebelum bertekad meninggalkan tanah air, niat itu terlebih dulu telah disuarakan Nordi, 57, kepada wartawan Kosmo! melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon yang dibuat sejam sebelum dia berangkat ke negara seberang.

Berikut adalah beberapa petikan SMS yang dihantar kepada Kosmo!:

Nordi: Mungkin esok (24 Ogos lalu), saya akan tinggalkan tiga anak saya.

Kosmo!: Apa maksud pakcik?

Nordi: Saya pergi sahut cabaran bapa angkat Siti Norzana. Tunggu berita Interpol, macam tunggu buah tak gugur.

Kosmo!: Pakcik sudah beli tiket kapal terbang?

Nordi: Saya keluar melalui jalan belakang.

Nordi dipercayai meninggalkan rumah dan tiga anaknya, Nurul Safiza, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, di Flat Taman Kempas di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 24 Ogos lalu menggunakan perkhidmatan feri.

Membuktikan tindak-tanduknya bukan main-main, dia menghubungi Kosmo! semula menggunakan talian dari Indonesia kira-kira pukul 3.45 petang pada hari yang sama.

“Saya sudah berada di Lampung, saya sudah bersedia berjuang walau apa juga rintangan untuk selamatkan Zana, tolong tengok-tengokkan anak saya,” katanya ringkas.

Nordi sebelum ini telah mendapatkan bantuan daripada Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyelamatkan empat anaknya yang didakwa diculik dan disimpan oleh ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia, sejak dua tahun lalu.

Misi itu, bagaimanapun hanya berjaya membawa pulang tiga daripada mereka manakala Siti Norzana tidak dapat dibawa bersama pada 30 Jun lalu selepas Suwwandi Kariorojo, 44, yang mendakwa sebagai bapa angkat kanak-kanak itu enggan membenarkannya pulang ke negara ini.

Dalam pada itu, Nordi ketika ditanya bagaimana nasib ketiga-tiga anaknya yang ditinggalkannya, jawabnya: “Saya serah kepada Allah. Tiada siapa menjaga mereka, sudah kehendak takdir, terpaksa saya terima dugaan ini. Untuk seminggu dua (duit belanja) cukup, seterusnya, entahlah.”

Bapa sedih Siti Norzana kena jual – Metro


Bapa sedih Siti Norzana kena jual
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

NORDI bersama Nurul Safiza Fitri (kanan), Muhammad Nurhan dan Nurmasyita masih menunggu kepulangan Siti Norzana (gambar kecil) di kediamannya di Kempas, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Bapa kepada Siti Norzana Nordi, 12, yang dipercayai telah dijual dan menjadi mangsa pemerdagangan orang terkejut dan terlalu sayu mendengar nasib malang yang menimpa anak kesayangannya itu.

“Saya tidak tahu hendak kata apa, saya cukup sedih. Bila menatap wajahnya di akhbar, saya dapat rasa beban yang sedang ditanggungnya,” kata Nordi Adi, 40, ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Nordi yang telah menceraikan isterinya, Karsini Kaslam, 25, percaya, perbuatan menjual anak sulungnya itu didalangi oleh bekas ibu mertua dan bekas iparnya yang menetap di Mesuji, Lampung, Jawa Timur tidak jauh dari kediaman Karsini.

“Saya hampir pasti dan anak saya, Nurul Safiza Fitri turut beberapa kali maklum kepada saya tentang hal ini,” ujarnya sebak.

Nordi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini juga mengesyaki sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas Siti Norzana namun tidak mahu mendedahkannya selagi anaknya tidak kembali ke Malaysia bersamanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Siti Norzana bersama tiga adiknya iaitu Nurul Safiza Fitri, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, dijadikan tebusan oleh Karsini bagi memeras ugut Nordi.

Hasil bantuan Biro Aduan Komuniti UMNO, kesemua mereka kecuali Siti Norzana dapat dibawa pulang dari Lampung, Indonesia dan selamat tiba di tanah air pada 30 Jun lalu. Dia ketika itu dikatakan tinggal berasingan dengan saudara ibu tirinya di Temusuci, Indonesia.

Kelmarin, Pengerusi biro berkenaan, Datuk Muhd. Khairun Aseh mendedahkan bahawa kanak-kanak berkenaan menjadi mangsa pemerdagangan dan dipercayai dijaga seorang lelaki yang telah membelinya dan dipaksa menjadi buruh kasar.

“Kami sekeluarga berdoa agar Zana dapat diselamatkan dan saya berhasrat menemui Zana di sana jika diberi peluang,” kata Nordi.u.

Bersiap ke sekolah – Metro


Bersiap ke sekolah
JOHOR BAHRU: Persiapan tiga beradik yang baru dibawa pulang selepas terkandas dua tahun di Lampung, Indonesia, untuk memasuki alam persekolahan berjalan lancar apabila impian itu disokong pelbagai pihak yang prihatin.

Selepas menyelesaikan urusan pendaftaran dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor kelmarin, tiga beradik itu dibawa membeli belah kelengkapan persekolahan masing-masing di Plaza Angsana oleh Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru, semalam.
Tiga beradik itu, Nur Masyita Amiera, 8, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurul Safiza Fitri Nordi, 11, ditemani bapa mereka, Nordi Adi, 57, serta Ketua Pemuda Umno Johor Bahru, Khalid Mohamed.

Masing-masing begitu gembira memilih pakaian dan kasut sekolah sebagai persediaan memulakan persekolahan Isnin ini.
Nurul Safiza berkata, dia begitu teruja selepas menerima pelbagai kelengkapan sebelum memulakan persekolahan.
“Saya seronok, dapat baju dan celana baru, adik-adik juga seronok.

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang berguna satu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06

Tinggal kakak seorang – Metro


Tinggal kakak seorang
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Selepas puas menelefon, akhirnya saya dapat bercakap dengan Karsini dua hari lalu, namun dia tidak berhenti menghamburkan kata-kata kesat kepada saya dan mengatakan saya suami yang tidak bertanggungjawab.

“Saya terlalu bimbang dengan keselamatan anak sulung kami, Siti Norzana, 12, yang kini bersama Karsini. Saya risau dia diperlakukan dengan kejam oleh saudara mara Karsini,” kata Nordi Adi, 57, bapa kepada empat beradik yang didakwa ‘disimpan’ ibu tiri mereka, Karsini Kaslam, 25, di Lampung, Indonesia.
Menurut Nordi, dia merayu supaya proses membawa pulang Norzana dipercepatkan ekoran bimbang kejadian buruk akan menimpa anaknya itu.

“Saya kemudiannya memarahi Karsini selain bertanya kepadanya berapa bayaran yang diterimanya sekiranya dia mahu menjual Norzana.
“Saya sendiri sebenarnya tidak tahu sama ada Karsini mahu menjual Norzana atau sebaliknya. Saya hanya bimbangkan keadaan Norzana hinggakan sering terfikir perkara yang bukan-bukan,” katanya, di sini, semalam.
Menurut Nordi, dia tidak mahu Norzana dicederakan dan berharap kanak-kanak berkenaan dapat pulang ke pangkuannya serta hidup bersama tiga adiknya yang lain di sini.

Nordi yang menetap di Taman Kempas, Kempas dengan tiga anaknya itu berkata, dia yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan sudah menghabiskan kira-kira RM92,000 untuk diserahkan kepada Karsini.
“Sekiranya Norzana kembali ke pangkuan saya, saya tidak sekali-kali membenarkannya diambil semula.

“Saya hanya akan benarkan Karsini datang melawat anak, namun tidak akan termakan rayuannya jika dia mahukan kembali anak untuk dipelihara,” katanya yang menambah Biro Aduan Komuniti Umno akan ke Lampung dalam usaha untuk mendapatkan Norzana dalam masa terdekat.
Sementara itu, tiga adik Norzana, Nurmasyita Amiera, 8, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurul Safiza Futri, 11, juga mempunyai harapan sama seperti bapa mereka.
Malah Safiza berkata, dia sudah hilang rasa sayang terhadap ibu tirinya selepas menderita selain kerap dimarahi dan dipukul jika melakukan kesalahan walaupun sedikit.
Empat beradik berkenaan turut didakwa dipaksa bekerja sepanjang masa berada di Lampung.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan keempat-empat anak Nordi dijadikan tebusan oleh Karsini bagi memeras ugut lelaki berkenaan.
Namun, hasil bantuan Biro Aduan Komuniti Umno, tiga daripadanya dapat diselamatkan dan tiba di tanah air pada 30 Jun lalu.
Penderitaan mereka bermula apabila Nordi mengahwini Karsini sebagai isteri kedua selepas isteri pertama menghilangkan diri.
Nordi membuat keputusan berhijrah bersama anaknya ke Lampung bagi memulakan kehidupan bersama isteri baru serta keluarga mentuanya, namun kecewa apabila ditipu sebaik tiba di sana.
Nordi dipaksa memindahkan semua wang simpanannya termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaun milik wanita terbabit berjumlah RM77,000.
Nordi dan empat anaknya kemudiannya ditinggalkan sehelai sepinggang di rumah ibu Karsini sebelum lelaki berkenaan kembali ke Malaysia bagi mengumpul wang untuk membawa pulang keempat-empat anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06