Rayu anak pulang, lari sejak 10 September
17 September 2012

Nurulakmal (tengah) bersama keluarganya menunjukkan gambar Siti Noor Fatiah (gambar kecil) yang lari dari rumah.
AMPANG – Seorang bapa merayu anak perempuannya yang melarikan diri dari rumah sejak 10 September lalu pulang ke rumah setelah berlaku perselisihan faham bersama keluarga baru-baru ini.
Nurulakmal Mahmud, 37, berkata, dia menyedari anak perempuannya, Siti Noor Fatiah, 16, tiada di rumah dan kesemua barangan di dalam almari anaknya kosong setelah dia pulang bekerja.
“Pada hari kejadian, isteri saya hantar Siti ke sekolah, namun pengawal keselamatan mendakwa Siti pulang semula ke rumah pada jam 8 pagi dan keluar semula pada jam 11 pagi dengan membawa beg baju menaiki teksi,” katanya kepada Sinar Harian di Taman Dagang Ampang, semalam.
Menurutnya, kehilangan anaknya dipercayai berpunca daripada tegurannya yang tidak mahu anaknya berkawan dengan lelaki liar sehingga menjejaskan persekolahannya.
“Pada 2 September lalu, saya pernah menegur dua lelaki yang pada ketika itu bersama dengan Siti di kedai dan memberi nasihat kepada lelaki tersebut supaya jangan berkawan dengan Siti kerana masih bersekolah,” katanya yang turut mencari anaknya dengan menyiarkan gambar Siti di Facebook.
Sementara itu abang Siti Noor Fatiah, Mohd Fahimi Nurulakmal, 17, berkata, adiknya pernah memberitahu ingin melarikan diri kerana kononnya menghadapi tekanan keluarga.
“Adik saya pernah berkata mahu tinggal bersama teman lelakinya yang sanggup menyara kehidupannya dan mahu bebas daripada kongkongan keluarga,” katanya.
Ibu tiri Siti Noor Fatiah, Wan Latifah Wan Naim, 44, mengakui pernah berlaku sedikit perselisihan faham antara dia dan anak tirinya sebelum ini.
“Sebagai seorang ibu, saya selalu menegur anak saya demi untuk kebaikan dan keselamatan dirinya tetapi sering mendapat tentangan.
“Saya berharap dia pulang semula ke rumah dan keluarga sentiasa terbuka untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya,” katanya.
Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat dan ternampak Siti Noor Fatiah, boleh menghubungi Nurulakmal di talian 013-3422266.