Lawat ayah di penjara – Metro


Lawat ayah di penjara

Oleh ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
zatuliffah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: “Walaupun hasrat saya untuk bersalam dan mencium tangan ayah tidak kesampaian, sekurang-kurangnya saya dapat berjumpa dan bertentang mata dengannya walaupun hanya melalui cermin,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, selepas melawat bapanya, Mat Haizan Mat Yassin, 33, di Penjara Marang, semalam.

Dia yang menjadi mangsa simbahan asid oleh bapa kandung mengakui gembira apabila dimaklumkan ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, mereka sekeluarga akan melawat bapanya yang menjalani hukuman penjara 10 tahun akibat perbuatannya di Penjara Marang.
“Saya memang hendak sangat salam dan cium tangan ayah. Hari ini (semalam), ibu menunaikan permintaan saya walaupun bukan pada pagi Aidilfitri.

 

“Saya turut membawa baju Melayu berwarna hijau untuk ayah dan kuih tart nanas kegemarannya. Walaupun masa diberi hanya 45 minit, ia cukup untuk saya menghilangkan rasa rindu terhadap ayah.
“Ini tahun kedua saya tidak dapat beraya bersama ayah tetapi saya bersyukur kerana masih berkesempatan memanggil dan menatap wajahnya memandangkan bukan senang untuk bertemunya sekarang.
“Ketika melawatnya, saya sempat berbual dengan ayah dan memohon maaf. Ayah juga sempat berpesan kepada saya supaya sentiasa bersabar dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik.

 

 

Sementara itu, Che Ku Zaimah melahirkan rasa gembira kerana dapat menunaikan permintaan anaknya, apatah lagi Nurul memang rapat dengan ayahnya.
“Dia antara paling gembira apabila dimaklumkan mengenai pertemuan itu. Ketika berbual dengan ayahnya, Nurul menitiskan air mata. Mungkin ada sesuatu disebut ayahnya sehingga menyentuh hatinya.

 

“Malah, bekas suami juga gembira melihat kedatangan kami. Ketika saya menunjukkan kuih raya dan baju Melayu, dia kelihatan sebak kerana tidak menyangka kami menyediakan pakaian dan kuih untuknya.
“Ketika berbual, bekas suami sempat bertanya bila Nurul akan menjalani pembedahan muka dan dia melahirkan rasa gembira apabila saya memaklumkan mengenai kewujudan Tabung Pulih Wajah Nurul Dahyatul Fazlinda-Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu yang ditubuhkan untuk membantu Nurul memulihkan wajahnya,” katanya.
Dalam kejadian 15 Ogos tahun lalu di rumah keluarga Che Ku Zaimah di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, Nurul cedera parah di hampir keseluruhan wajah dan beberapa anggota badan akibat terkena simbahan asid oleh ayahnya manakala Che Ku Zaimah, seorang lagi anaknya, Muhammad Irfan Firdaus, 3, dan ibunya, Minah Omar, 57, turut terkena simbahan asid tetapi hanya cedera ringan.