Budak sekolah pecah rumah – Sinar Harian


Budak sekolah pecah rumah

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2013

KLUANG – Seorang remaja dan seorang pelajar sekolah diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Jalan Panglima, Renggam di sini, 15 Mac lalu.

Kedua-dua suspek berusia 16 dan 23 tahun itu ditahan sekitar jam 7 malam hasil daripada serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Taman Sri Jaya Renggam, di sini, dua hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek bergiat aktif dalam kes pecah rumah di sekitar kawasan Pekan Layang-Layang, Renggam dan Simpang Renggam.

“Polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani masalah itu. Hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai menggunakan taktik mengumpil pintu hadapan rumah mangsa untuk masuk ke dalam rumah.

“Hasil tangkapan, polis berjaya merampas tiga komputer riba, tiga telefon bimbit serta wang tunai melibatkan kerugian kira-kira RM10,000,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang, di sini, kelmarin.

Abdul Majid berkata, penahanan dua suspek terbabit berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah di sekitar kawasan pekan Layang-Layang, Renggam dan Simpang Renggam.

“Suspek ditahan sehingga semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Mayat hanyut 5km – Metro


Mayat hanyut 5km
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Mohd Idris Sulaiman
am@hmetro.com.my

PARIT: “Sebelum kejadian, anak saya lebih banyak diam dan membuat hal sendiri tidak seperti selalu apabila ditegur ada saja jawapan diberikan,” kata Norliza Brahim, 26, ibu kepada, Mohd Azhar Daniel Fauzi, 7.

Mayat Mohd Azhar, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Layang-Layang Kiri ditemui terapung di Sungai Perak kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian jam 9.58 pagi semalam.
Menurut Norliza, lebih memilukan anak lelakinya yang cukup aktif, secara tiba-tiba berubah sikap menjadi pendiam sehari sebelum kejadian.

“Dia memang sangat aktif dan suka bercakap, bagaimanapun perangainya berubah beberapa hari sebelum kejadian.
“Kebiasaannya dia lambat mandi dan jenuh disuruh, tetapi pagi itu dia sendiri yang mandi pada awal pagi sebelum keluar dari rumah kira-kira 10.30 pagi kelmarin,” katanya yang pasrah dengan segala ketentuan yang berlaku.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07