Dua jam diazab bapa – Metro


Dua jam diazab bapa

 2  0 Google +0  0  0

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila didera bapa kandungnya sendiri selama hampir dua jam dalam kejadian di rumah mereka di Sentul Utama, di sini, hanya kerana menghilangkan sebatang pensel warna.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kanak-kanak malang terbabit dilaporkan dirotan, dicekik, disepak sebelum dipijak di bahagian perut. Tidak cukup dengan itu, mangsa turut ditumbuk sebelum kepalanya dibotakkan bapanya berusia 30-an itu.

Menurut sumber, akibat perbuatan keji si bapa, kanak-kanak terbabit bukan sekadar trauma sebaliknya mengalami kecederaan serius di tangan kiri, paha kanan dan kepala.

 

 

Menceritakan semula kejadian itu, sumber itu berkata, kejadian berkenaan dilaporkan di Balai Polis Sentul, di sini, semalam, oleh guru kaunseling sekolah kanak-kanak terbabit selepas mangsa menceritakan kejadian menimpanya kepada guru kelasnya.

“Mangsa yang datang ke sekolah dalam keadaan lebam di muka menceritakan kejadian itu kepada guru kelasnya sebelum kanak-kanak itu dibawa ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber berkata, kanak-kanak terbabit mendakwa dipukul bapanya di ruang tamu rumah mereka di Sentul Utama, di sini.

 

“Suspek dilaporkan berang apabila anak perempuannya itu (mangsa) menghilangkan sebatang pensel warna dibelinya,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit dilapor bukan sekadar merotan mangsa, sebaliknya mencekik, menyepak dan memijak perut anaknya itu.

 

“Lebih kejam, suspek turut menumbuk kepala berulang kali sebelum membotakkan kepala anak perempuannya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, kanak-kanak terbabit dilaporkan didera suspek hampir dua jam.

“Lelaki itu dilaporkan hanya berhenti mendera anaknya selepas melihat mangsa dalam keadaan lemah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/03

Guru Muzik Diseret Enam Meter Oleh Peragut – mStar


Guru Muzik Diseret Enam Meter Oleh Peragut

KLANG: Seorang wanita berusia 33 tahun diseret sejauh enam meter dalam satu kejadian ragut, hingga menyebabkan seluruh badannya luka dan lebam.

Guru vokal, Lai Mei Ying berkata dua lelaki menunggang motosikal melanggarnya dari arah belakang ketika dia sedang berjalan pulang daripada kelas ke keretanya di Jalan Gagak Tua di Taman Eng Ann pada pukul 1 petang Selasa.

“Saya mendengar bunyi motosikal di belakang saya namun saya mengendahkannya kerana saya fikir hanya mahu masuk ke dalam kereta.

“Tiba-tiba ada orang merentap beg sandang saya dan perkara seterusnya yang saya ingat adalah saya diseret.

“Saya bernasib baik, orang yang lalu lalang menghulurkan bantuan dengan meminjamkan telefon bimbitnya bagi membolehkan saya menghubungi suami saya,” kata Lai yang mengalami luka kebanyakannya ditangan, kaki dan bahagian belakang badan.

Bercakap kepada pemberita di rumah aktivis sosial Peter Tan, Lai berkata dia tidak dapat mengenalpasti nombor pendaftaran dan jenis motosikal yang ditunggangi oleh suspek.

Mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM4,000, dokumen peribadi dan beberapa kad kredit serta kad ATM.

Selepas mendapatkan rawatan, Lai membuat laporan di balai polis Sungai Kapar.

Menurut Tan, terdapat beberapa kejadian ragut yang berlaku di Taman Eng Ann walaupun terdapat anggota polis yang meronda di kawasan itu.

Badan lebam pulang sekolah – Metro


Badan lebam pulang sekolah

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: “Jika anak saya nakal sekali pun, janganlah dicubit di badannya terutama telinga dan paha sampai lebam sehingga membuatkan saya marah kerana dia baru saja memasuki alam persekolahan.”

Begitu kata seorang ejen insurans, Shariza Sabtu, 41, yang mendakwa anaknya, Sayyid Siddiq Sadidduddin Superizal, 7, trauma apabila badannya lebam akibat dicubit guru lelaki sekolah rendah, di sini, disebabkan kanak-kanak berkenaan memberontak dalam kejadian pagi kelmarin.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit bertindak demikian termasuk membaling kerusi di dalam kelas selepas ibu yang menemani sejak pagi diminta beredar guru lelaki berusia 30-an berkenaan kerana mahu memulakan pembelajaran.

Shariza, 41, berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 8.30 pagi ketika Sayyid baru dihantar memasuki kelas.

 
“Guru lelaki terbabit meminta saya pulang kerana boleh mengendalikan anak saya walaupun ketika itu saya menerangkan Sayyid marah jika saya tiada bersamanya. Saya ke kantin menunggu sehingga selesai sesi persekolahan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04

Pelajar dibelasah senior – Sinar Harian


Pelajar dibelasah senior

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Pelajar dibelasah senior
Pandangan hadapan sekolah menengah yang dikesan berlakunya kes seorang pelajar tingkatan empat dibelasah lapan senior, malam Sabtu lalu.

TELOK AIR TAWAR – Gara-gara dikatakan bersikap kasar dan enggan mengikut arahan, seorang pelajar di sebuah sekolah asrama di sini, dibelasah sekumpulan senior sehingga hampir pengsan dan lebam seluruh badan, malam Sabtu lalu.

Pelajar tingkatan empat jurusan elektrik itu berkata, kejadian pada jam 10 malam itu bermula apabila dia enggan mengikut arahan beberapa pelajar senior yang mendiami asrama itu supaya lebih menghormati mereka.

“Saya sememangnya dikenali sebagai seorang pelajar yang tidak suka bercampur dengan pelajar lain melainkan dengan rakan rapat sahaja.

“Mungkin sikap saya itu tidak disenangi senior yang terdiri daripada pelajar tingkatan lima, termasuk kalangan mereka yang mendiami asrama menyebabkan saya ‘dibuli’ mereka,” katanya.

Menurut pelajar berkenaan, ketika tidur malam Jumaat lalu, dia didatangi lapan pelajar mengelilingi katilnya sebelum mereka bertindak membelasahnya.

Katanya, pada waktu itu, dia nekad mempertahankan diri dengan melawan balik, namun disebabkan bilangan mereka ramai, dia terpaksa menahan sakit apabila ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi.

“Akibat terkena pukulan di kepala dan pinggang, saya hampir pengsan dan mengalami kesakitan teramat, namun bernasib baik apabila rakan sebilik berjaya meleraikan mereka.

“Bimbang sesuatu lebih buruk, saya menghubungi ibu yang tinggal di Bertam, Kepala Batas memintanya datang ke sekolah dan membawa saya pulang,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, akibat kejadian berkenaan, beberapa bahagian badannya lebam dan mengalami kesakitan serta terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas.

“Saya bukan sahaja trauma dan sakit, tetapi juga tidak dapat hadir ke sekolah sejak semalam kerana bimbang keselamatan diri. Namun, hasil perbincangan dengan ahli keluarga, kami bersetuju tidak membuat laporan polis dan memanjangkan kes ini,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang dihubungi berkata, mereka sekeluarga enggan memanjangkan kes itu berikutan pelajar senior berkenaan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa terdekat.

“Kita tidak mahu menjejaskan persiapan mereka menduduki peperiksaan itu tetapi berharap kejadian ini tidak akan berulang lagi.

“Tambahan pula sebahagian besar daripada mereka menghubungi saya meminta maaf dan menyesali tindakan dilakukan terhadap anak saya itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Seberang Perai Utara, Jamil Mohamed yang dihubungi mengakui kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana menyerahkan kepada pihak sekolah menanganinya, termasuk mengenakan hukuman setimpal jika pelajar senior terbabit didapati bersalah.

Pelajar dibelasah senior – Utusan


Pelajar dibelasah senior
Norakma Mohidin melihat kesan lebam pada badan anaknya, Mohd. Amirul Mukmin Mohd. Yusmiza akibat dibelasah pelajar senior.
KOTA TINGGI 4 Ogos – Gara-gara menegur sekumpulan pelajar membuat bising, seorang pelajar di sebuah sekolah asrama di Bandar Penawar dekat sini, dibelasah sekumpulan senior sehingga pengsan dan lebam di seluruh badan pada Khamis lalu.

Menurut pelajar tingkatan lima itu, Mohd. Amirul Mukmin Mohd Yusmiza, 17, kejadian pada pukul 1 pagi itu bermula apabila dia dikejutkan seorang pelajar yang tidak dikenali yang memberitahu ada pelajar senior mahu berjumpa dengannya.

“Ketika itu saya tidak terfikir akan dipukul tambahan pula saya masih dalam keadaan separuh sedar. Sebaik sahaja sampai di bilik pelajar berkenaan, salah seorang pelajar senior yang ada di situ bertanyakan soalan sebelum kira-kira tujuh atau lapan orang daripada mereka memukul saya bertubi-tubi.

Pelajar dakwa dibelasah guru – Sinar Harian


Pelajar dakwa dibelasah guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mei 2012
Pelajar dakwa dibelasah guru
Dailami menunjukkan luka dan lebam di bahagian pipi akibat ditumbuk serta dicakar oleh guru sekolahnya

GERIK – Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah, di sini, mendakwa di belasah seorang guru sehingga mengalami beberapa kecederaan termasuk bengkak di kepala.

Akibat kejadian dipukul pada 4 Mei lalu, pelajar berkenaan, Dailami Hizami Abdul Latiff, 14, mengalami simptom muntah-muntah sehingga di tahan di Hospital Gerik selama tiga hari.

Ibu pelajar berkenaan, Anita Ahmad, 46, berkata, pada hari kejadian dia datang mengambil anaknya di sekolah tetapi anaknya tidak ditemui sebelum pulang ke rumah dan meminta seorang lagi anak menjemput Dailami.

Menurutnya, ketika dibawa pulang Dailami mengalami beberapa kecederaan akibat dipukul guru tanpa diketahui punca sebenar.

“Menerusi laporan polis, anak saya memberitahu kira-kira jam 11.55 pagi sewaktu tamat sesi pembelajaran dia turun tangga untuk pulang tetapi secara tiba-tiba tiga orang guru menahan dan memaksanya masuk semula ke kelas.

“Ketika di dalam kelas itu, datang seorang lagi guru terus memukul muka anak saya dengan cara menumbuk dan mencakar pipi serta berulang kali memukul kepala menggunakan lutut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Anita berkata, ketika dipukul, salah seorang guru berkenaan turut memegangnya.

“Akibat kejadian itu, anak saya mengalami beberapa kecederaan termasuk luka di muka dan lebam di kepala.

“Anak saya juga mengalami pening-pening sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Gerik,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima rawatan dan dibawa pulang ke rumah keadaan kesihatan Dailami menjadi teruk apabila mengalami muntah-muntah serta loya.

“Pada sebelah malam keadaannya semakin teruk dan dia dibawa ke Hospital Ipoh untuk rawatan lanjut tetapi bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan dalaman.

“Doktor ingin menahannya tetapi saya membuat permohonan membawanya ke Hospital Gerik semula.

Dailami ditahan di wad selama tiga hari dan dibenarkan pulang semalam,” katanya.

Anita berkata, kenapa guru-guru itu boleh bertindak sedemikian sedangkan mereka sewajarnya memberi pendidikan kepada anaknya.

“Sebelum ini, anak saya ada bergaduh dengan rakan sekelasnya dan pada hari Khamis iaitu sehari sebelum kejadian, bapa kepada pelajar ini meluru masuk ke kelas serta memukul anak saya.

“Saya ada membuat laporan polis tentang pergaduhan anak saya dengan pelajar berkenaan dan kemungkinan dia tidak berpuas hati,” katanya.

Katanya, dalam hal itu, orang luar dilihat boleh menceroboh sekolah sesuka hati dan memukul anaknya.

“Lebih terkilan, guru pula menyeret dan memukul anak saya dengan alasan enggan memberi kerjasama mengenai kes sebelum ini,” katanya.

Katanya, diharap Kementerian Pelajaran menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap kes ini.

“Tidak lupa juga kepada pihak polis, supaya menjalankan siasatan secara telus dan adil serta tidak mengabaikan kes ini begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum mengesahkan ada menerima laporan mengenai kes berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap kes ini,” katanya.

Murid dakwa dibuli rakan-rakan – Utusan


Murid dakwa dibuli rakan-rakan

 

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

 

SEREMBAN 5 Mac – Seorang murid tahun satu di sebuah sekolah kebangsaan di sini trauma selepas disyaki dibuli rakan-rakannya sehingga cedera dan lebam-lebam di seluruh anggota badannya pada Jumaat lalu.

Mangsa, Faqrul Hakimi Mohd. Kamarulzaman, 7, mengalami kesan lebam pada muka, badan, paha dan betis yang disyaki akibat dipukul dengan objek keras.

Menurut ibunya, Suzianawati Mohamad, 33, dia menyedari kejadian menimpa anak sulungnya itu ketika menjemputnya dari sebuah rumah anak yatim di Taman England dekat sini pukul 7.30 malam pada hari sama.

Dia yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang terkejut apabila melihat kecederaan yang dialami Faqrul Hakimi.

“Semasa disoal, dia mengaku telah dipukul di sekolah tetapi tidak dapat menceritakan secara jelas peristiwa itu, mungkin kerana trauma.

Pelajar dipukul dituduh bawa lari teman wanita – Metro


Pelajar dipukul dituduh bawa lari teman wanita

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG JAYA: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dipukul dua remaja samseng dengan menggunakan kayu dan besi selepas dituduh membawa lari teman wanita salah seorang daripada mereka dalam kejadian di sebuah kedai makan di USJ8, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah menengah mengalami kecederaan di bahagian badan dan lebam kedua-dua kaki selepas dipukul bertalu-talu.
Mangsa, Azlan Shamsuri, 15, berkata dia tidak menyangka dua lelaki tidak dikenali itu menuduhnya membawa lari seorang gadis yang juga rakan sekolahnya sebelum bertindak memukulnya.

 

Katanya, ketika kejadian dia sedang makan di kedai berkenaan sebelum didatangi dua remaja sebaya dengannya dengan tiba-tiba memarahinya.
“Mereka mengeluarkan kata-kata kurang sopan dan menuduh saya membawa lari teman wanita salah seorang daripada mereka.
“Saya menafikan kerana tidak berbuat demikian membuatkan mereka marah sebelum kedua-duanya mengambil sebatang kayu dan besi yang berada di kedai itu lalu melibas ke badan saya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

 

Menurutnya, akibat pukulan itu dia mengalami kecederaan di badan dan lebam di kaki.
Katanya, salah seorang daripada mereka kemudian bertindak lebih berani apabila cuba menikamnya dengan menggunakan besi, namun dia sempat mengelak.

 

“Mereka turut merampas beg duit yang mengandungi wang tunai RM30 dan dokumen pengenalan diri saya,” katanya yang berjaya melarikan diri daripada dua lelaki itu.
Mangsa kemudian menceritakan hal itu kepada keluarganya sebelum membuat laporan di Balai Polis USJ8 Jaya sejurus kejadian serta mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli mengesahkan menerima laporan itu.

Anak minta sarapan kena campak – Metro


Anak minta sarapan kena campak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Hanya kerana merengek meminta disediakan sarapan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dicampakkan ke dinding oleh ibunya selepas dipukul berkali-kali di rumah mereka di sini, kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku pada jam 7 pagi ketika kanak-kanak berkenaan sudah siap memakai pakaian seragam untuk ke sekolah. Sumber polis berkata, sebelum kejadian ibu mangsa yang berusia 30-an, sedang bersiap hendak menghantar anaknya itu ke sekolah berhampiran, namun mangsa merengek meminta diberikan sarapan terlebih dulu.
“Berikutan itu, suspek dikatakan naik angin lalu memukul mangsa berkali-kali sebelum mencampaknya ke dinding. Wanita itu kemudian menghantar anaknya ke sekolah dan memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa.

 

“Bagaimanapun, beberapa ahli keluarga menyedari kesan lebam pada mangsa memujuk kanak-kanak itu menceritakan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan ketakutan, mangsa menceritakan kejadian menimpanya dan ahli keluarga ibunya cuba menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun usaha itu dihalang suspek .
“Suspek turut memberi amaran kepada ahli keluarganya supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

 

 

Keluarga suspek kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari yang sama.

Ayah tidak jahat – Anak – Utusan


Ayah tidak jahat – Anak

 

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

 

PULAU PINANG 3 Jan. – “Ayah tidak sejahat yang disangka”.

Itu reaksi anak sulung kepada seorang bapa berusia 46 tahun yang direman polis bagi membantu siasatan kes mendera dan mengurung seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Jalan Perak di sini kelmarin.

Gadis berusia 20-an yang enggan dikenali itu berkata, tindakan ayah mereka memukul adik bongsunya merupakan perkara biasa bertujuan memberi pengajaran atas kenakalannya.

“Sebenarnya, adik saya tidak ditinggalkan bersendirian selama 10 jam seperti dilaporkan dan keadaan itu bukan selalu berlaku.

“Biasanya, saya yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di sini akan pulang pada waktu rehat untuk menjenguk adik kerana ibu bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun dipukul dan dibiarkan menangis bersendirian di rumahnya di sebuah pangsapuri di Jalan Perak lebih 10 jam selepas mengusik dompet bapanya dan mencicirkan beberapa kad.

Mangsa berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat pada kira-kira pukul 11.45 malam kelmarin selepas dihubungi jirannya.

Gadis berkenaan yang merupakan anak sulung daripada empat beradik menjelaskan, pada hari kejadian dia tidak dapat pulang seperti biasa kerana cuti umum dan restoran tempat kerjanya dipenuhi ramai pelanggan.

“Saya ingin jelaskan bahawa kesan lebam yang terdapat pada badan adik bukanlah kecederaan lama akibat penderaan sebelum ini tetapi dia pernah terjatuh ketika bermain,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Pulau Pinang mendapati kanak-kanak berkenaan semakin sihat dan lebih ceria berbanding semalam.

Dengan berpakaian baju merah dan berseluar hijau, dia yang ditemani ibunya dilihat bermain- main di sekitar katilnya.