Lebaran bukan lesen anak terlalu bebas – Kosmo


Lebaran bukan lesen anak terlalu bebas

 

Oleh SUHANA VERU

 


 

HANYA tinggal dua hari sahaja lagi umat Islam di negara ini dijangka akan menyambut 1 Syawal. Secara tradisinya, kedatangan Aidilfitri juga akan menyebabkan keadaan ibu negara semakin lengang memandangkan kebanyakan anak-anak perantau akan pulang ke kampung masing-masing.

Trend balik kampung sememangnya sinonim dengan sambutan hari raya dalam kalangan masyarakat negara ini.

Pada waktu inilah, kebanyakan orang pasti sibuk membuat persiapan untuk meraikan 1 Syawal. Golongan wanita pasti sibuk di dapur atau menghias rumah, manakala si lelaki pula membersihkan halaman atau mengecat rumah.

Namun, jangan dilupa anak-anak atau si kecil juga ketika ini tidak kurang ‘sibuknya’.

Di saat, ibu bapa atau datuk nenek ghairah membuat persiapan hari raya atau melayan tetamu pada pagi Syawal, si kecil bersama sepupu atau kawan-kawan seolah-olah mendapat ‘lesen’ untuk bermain di luar sepuas-puasnya.

Bagaimanapun, buat para ibu bapa haruslah diingat, lebaran bukanlah bermakna keselamatan anak-anak perlu diabaikan.

Si kecil masih terdedah dengan pelbagai kejadian tidak diingini seperti kecederaan atau lebih buruk menjadi mangsa jenayah.

Mangsa ragut

GOLONGAN kanak-kanak yang gemar bermain mercun seringkali menjadi mangsa bahana letupan itu. – Gambar hiasan

 

Bagi Norhadirah Muhammad Hakim, 38, kejadian ragut yang melibatkan anaknya tiga tahun lalu pada hari raya tidak mungkin dapat dilupakannya.

Mengimbas kembali kisah tersebut, ibu yang mempunyai dua orang anak itu mengakui sekitar kediamannya di Taman Silibin, Ipoh, Perak ketika itu memang agak ‘panas’ dengan kejadian jenayah.

Namun demikian, dia tidak menyangka kejadian itu akan menimpa anak bongsunya yang berusia 11 tahun itu.

“Ketika itu, dia (anak bongsu) mengikut rakan seusianya berhari raya di rumah jiran-jiran. Secara tiba-tiba dia didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal dan merentap rantai lehernya.

“Biarpun, cedera di leher dan lutut tetapi saya bersyukur kerana dia tidak mengalami kecederaan yang teruk,” katanya.

Sejak kejadian itu, dia tidak lagi memakaikan barangan kemas kepada anak-anaknya kerana khuatir kejadian itu berulang.

“Saya menjadi fobia, tetapi ada juga hikmahnya. Kini, selain hari raya, saya lebih kerap memantau pergerakan anak-anak kerana bimbang ditimpa kejadian yang lebih teruk lagi,” jelasnya yang mengalami kerugian hampir RM600.

HARI raya akan lebih meriah dengan kunjungan kanak-kanak, namun ibu bapa perlu mengetahui ke mana hala tuju mereka. – Gambar hiasan

 

Bagi seorang ibu, Mazila Mohammad Niakat Ali, 33, pula dia dan suaminya juga pernah mengalami situasi seperti itu, apabila anak pernah hilang beberapa jam bersama kawan-kawan sebaya.

Menyingkap kembali pengalaman tahun lalu, ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu dia yang sibuk memasak di dapur untuk menyediakan juadah hari raya sememangnya tidak mampu menjaga anak-anak yang gemar bermain di luar rumah.

Pantau pergerakan anak

Mempunyai anak berusia enam hingga 11 tahun, wanita itu berkata, biarpun beberapa kali memarahi mereka namun, tidak sampai satu jam mereka tetap akan keluar dari rumah.

Pada kebiasaan, ketiga-tiga anaknya itu gemar bermain luar rumah dan apabila sudah bosan mereka akan membawa basikal masing-masing sambil membonceng adik mereka bersiar-siar di sekitar taman.

“Namun, apabila saya sibuk di dapur selain mereka terpengaruh dengan ajakan kawan-kawan seusia, akhirnya mereka berbasikal lebih jauh dari kawasan rumah,” ujarnya sambil menghela nafas lega, mujur tidak ada kejadian buruk berlaku ketika itu.

Sementara itu, Muhammad Kassim Mohammed Daud, 35, pula berkata, amalan ibu bapa membiarkan anak mereka terutamanya pada musim perayaan sudah menjadi kelaziman.

Tambahnya, golongan ibu bapa sememangnya tiada masa untuk memantau anak-anaknya kerana sibuk membuat pelbagai persiapan.

Bapa kepada dua anak itu bagaimanapun, mengakui tindakannya yang kurang mengambil berat terhadap anak-anak itu boleh mengundang padah.

“Kalau melihat kepada pelbagai laporan di dada akhbar perkara itu sememangnya boleh berlaku terutamanya kecederaan akibat bermain mercun. Lantaran itu, saya seboleh-bolehnya akan cuba untuk lebih mengawal tingkah laku anak-anak agar tidak terlalu bebas atau lasak ketika berhari raya,” ujarnya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Mayda Dr. Khaidzir Ismail berkata, di sebalik keghairahan berhari raya golongan ibu bapa perlu peka terhadap gerak-geri anak-anak mereka agar tidak ditimpa kejadian yang tidak diingini.

Menurutnya, kemalangan bukan sahaja berpotensi berlaku di luar, malahan di dalam rumah.

“Tumpahan air di lantai atau tercucuk sate lidi juga boleh menyebabkan kanak-kanak tercedera. Jadi, kita tidak pasti kemalangan boleh berlaku di mana dengan apa cara sekalipun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, beliau juga tidak menolak terdapat segelintir ibu bapa akan mengamalkan budaya passing kepada kakak atau abang untuk menjaga adik-adik mereka ketika bermain.

Tambahnya, apabila perkara tersebut berlaku, kakak atau abang itu sendiri tidak mampu mengawal kerana turut ghairah bermain.

“Jadi, lebih elok jika ibu bapa itu sendiri yang mengawal anak-anak yang masih kecil lagi atau meminta orang lebih dewasa membantu menjaga anak-anak,” ujarnya.