Murid cedera van terbalik – Metro


Murid cedera van terbalik

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Dua murid sebuah sekolah rendah di Bandar Utama, Petaling Jaya parah manakala lapan lagi cedera ringan selepas van persendirian yang dinaiki mereka terbalik berhampiran persimpangan lampu isyarat di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, van yang dipandu lelaki berusia 40-an membawa murid berusia antara tujuh dan 12 tahun itu dalam perjalanan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Effingham.
Bagaimanapun, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Bandar Utama, bahagian belakang van berkenaan dirempuh kereta Perodua Kancil menyebabkan ia terbabas dan terbalik.

 

Akibatnya, dua murid yang berada di bahagian belakang iaitu P Kavilashini, 10, cedera di bahagian kepala manakala rakannya R Suria Raja, 11, yang duduk di sebelah pemandu pula patah kaki kanan.
Kedua-dua murid berkenaan yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dijangka menjalani pembedahan segera.
Seorang mangsa, B Lavanya, 11, berkata, ketika itu keadaan masih gelap dan dia hanya mendengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang sebelum van berkenaan terbalik.

 

“Keadaan itu sangat menakutkan dan saya tidak mampu mengingati kejadian sebenar,” katanya yang masih trauma dan dirawat sebagai pesakit luar kerana mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan.
Difahamkan, pemandu van berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan enggan ditemu bual kerana masih terkejut dengan kejadian yang turut membabitkan dua anaknya.

 

Sementara it u, Penyelaras MIC Parlimen Subang A Prakash Rao berkata, pihaknya bergegas ke PPUM sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bersyukur ia tidak membabitkan kemalangan jiwa.
“Sembilan murid yang terbabit dalam kemalangan itu dikejarkan ke PPUM manakala seorang daripada mereka dibawa ke Hospital Sungai Buloh oleh keluarganya yang terus pergi ke lokasi kejadian sebaik menerima berita itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20