Sempat muat naik status sedih menerusi Facebook sebelum maut – Kosmo


Sempat muat naik status sedih menerusi Facebook sebelum maut

02/05/2013 3:37pm

 

SKUDAI – Seorang rakan kepada salah seorang mangsa kemalangan ngeri yang mengorbankan lima nyawa di Kilometer 17.9 menghala ke utara Lebuhraya Utara-Selatan hari ini memberitahu, mendiang R.Viknesh sempat memuat naik status sedih dalam Facebook sebelum dia meninggal dunia.

P.Saveena, 19, berkata, antara entri Viknesh dalam laman sosial itu ialah: “Walaupun tak dapat jumpa kamu semua, tetapi kamu semua tetap dalam ingatan saya.”

Saveena berkata, bila mengenang semula status itu, dia bersama rakan-rakan lain cukup hiba memandangkan Viknesh seorang yang periang, gemar bercakap dan pandai menghiburkan rakan-rakan termasuk guru-guru di sekolahnya.

Ujar beliau lagi, sebelum pemergiannya juga, mendiang cukup bersungguh-sungguh untuk mengadakan reunion bersama semua rakan baiknya.

“Apakan daya, semua impian dia tak sempat, Tuhan lebih sayangkan dia,” katanya ketika ditemui di Taman Skudai di sini sebentar tadi.

Kemalangan yang berlaku pada pukul 4 petang semalam, meragut lima nyawa iaitu P. Pavai, 65, serta dua anaknya, R. Selvarani, 46, dan R. Gita, 43.

Dua cucu Pavai iaitu Viknesh, 19, dan A. Akash, 7, pula mati ketika dikejarkan ke Hospital Seri Maharaja Temenggung Ibrahim, Kulaijaya. Viknesh merupakan pemandu kereta itu.

Anak Gita, G. Vinithaa, 16, pula dilaporkan stabil dan masih mendapat rawatan di Hospital Pakar Johor.

Kosmo! difahamkan mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke bandar Kulai setelah bersembahyang di salah sebuah kuil di Masai pada pukul 11 pagi. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_33.htm#ixzz2S85vQmZT
Hakcipta terpelihara

Pelajar Dan Anggota Polis Terbunuh Dalam Dua Kemalangan Di Perak – Bernama


Pelajar Dan Anggota Polis Terbunuh Dalam Dua Kemalangan Di Perak

IPOH: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan di Tapah dan Kuala Kangsar pada Ahad.

Pegawai Turus Trafik Perak, DSP Roy Suhaimi Sarif berkata, kemalangan pertama berlaku pukul 4.50 petang membabitkan seorang anggota polis dari Bukit Aman yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Pulau Pinang.

Anggota polis terbabit G. Ashwin Devagan maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggang terbabas ketika tiba di Km 257 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar, katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Kemalangan kedua membabitkan seorang pelajar berusia 16 tahun dan kejadianberlaku pukul 10.50 malam di Km 6 Jalan Temoh-Sungai Lesung, dekat Tapah.

Wan Mohamad Amar Naim Abdullah yang dalam perjalanan ke rumahnya di Temoh, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas, katanya. – BERNAMA

Keluarga Nayati akan bercuti di Eropah – Bernama


Keluarga Nayati akan bercuti di Eropah

2012/05/04

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada kanak-kanak yang diculik Jumaat lalu dan kemudian dibebaskan semalam bercadang untuk bercuti di Eropah bagi menghilangkan tekanan akibat kes berkenaan.

Sham Moodliar, 41, berkata beliau dan keluarganya bercadang untuk bercuti selepas berlaku kes penculikan terhadap anaknya Nayati, 12.

“Saya dan keluarga saya akan bercuti di Eropah.” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir di majlis berkenaan ialah isterinya Janice Smith, 40.

Kanak-kanak lelaki itu tidak hadir bersama kerana dikatakan bertegas mahu ke sekolahnya di Sekolah Antarbangsa Mont Kiara di sini.

Nayati ditemui semula di kawasan rehat dan rekreasi Sungai Buloh di Lebuhraya Utara-Selatan selepas diculik oleh dua lelaki berhampiran kawasan sekolahnya.

Polis Kuala Lumpur telah membentuk pasukan petugas khas untuk memburu penculik selepas keluarga kanak-kanak tersebut dilapor telah membayar wang tebusan sehari sebelum dia dibebaskan.
Moodliar mengalirkan air mata apabila ditanya bagaimana anaknya menghadapi kes penculikan berkenaan.

“Dia tabah dan saya gembira dia segera boleh menjalani rutin hariannya,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada polis kerana berjaya menangani kes berkenaan dan memastikan keselamatan anaknya.

Janice pula berkata anaknya tidur nyenyak malam tadi dan gembira anaknya segera pulih selepas kejadian berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin ketika dihubungi Bernama berkata polis sedang memburu suspek yang terbabit.

“Saya tidak boleh beri keterangan lanjut kerana kes masih berjalan dan polis akan mengeluarkan kenyataan apabila suspek ditahan,” katanya sambil menasihati media tidak membuat sebarang spekulasi sehingga selesai siasatan polis. – BERNAMA

‘Saya tak dipukul’ – Metro


‘Saya tak dipukul’

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
CERITA...Norzaini menceritakan detik dia menemui Nayati, semalam.
CERITA…Norzaini menceritakan detik dia menemui Nayati, semalam.

KUALA LUMPUR: “Dia tak banyak bercakap kerana masih lemah dan trauma, tapi dia beritahu saya yang dia tak dipukul dan diberi makan minum yang cukup sepanjang tempoh dia diculik.”

Itu kata Norzaini Zainol Abidin, 31, individu yang menemui kanak-kanak lelaki warga Belanda yang diculik, Nayati Shamelin Moodliar, 12, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, jam 7.55 pagi semalam.
Nayati dilarikan dua lelaki menaiki Proton Gen.2 di hadapan sekolahnya di Bukit Kiara sejurus keluar dari kawasan perumahannya kira-kira 50 meter dari sekolahnya pada 27 April lalu.

 

Norzaini yang juga pengurus sebuah kedai serbaneka berkata, dia menemui kanak-kanak itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Subang Jaya bersama suaminya, Muhammad Asif Abdullah, 31, selepas meluangkan masa bersama keluarga di Butterworth, Pulau Pinang selama seminggu.
Menurutnya, selepas lebih tiga jam perjalanan mereka berhenti di R&R Rawang kerana suaminya meminta dia memandu kereta.
“Sebaik saya turun dari kereta, Nayati berlari ke arah saya dalam keadaan menangis sebelum menyoal sama ada saya tahu berbahasa Inggeris dan dia memberitahu dia baru 20 minit dibebaskan.

 

 

“Sebaik melihatnya saya tahu dia kanak-kanak yang diculik kerana pernah melekat risalah mengenai penculikannya di kedai serbaneka tempat saya bekerja.
“Ketika itu keadaannya lemah dan saya memeluk Nayati masuk ke dalam kereta kerana risau kalau-kalau penculiknya masih berada di kawasan sama,” kata Norzaini ketika ditemui Harian Metro, semalam.

 

Norzaini berkata, ketika ditanya sama ada dia tahu punca dia diculik, Nayati menyatakan kerana wang dan dia menyatakan diculik dua lelaki tempatan dengan menggunakan kereta.
“Biarpun lemah dan masih trauma, Nayati masih mengingati nombor telefon ibu bapanya dan saya menghubungi ibunya,” katanya.
Menurutnya, dia diminta membawa Nayati ke kawasan Restoran Jejantas di R&R Sungai Buloh dan 30 minit kemudian, kanak-kanak itu diserahkan kepada ibu bapanya yang ditemani pegawai polis.
Norzaini berkata, dia lega kerana kanak-kanak itu sudah selamat pulang ke pangkuan keluarganya dan dia terharu melihat kedua ibu bapa Nayati memeluk kanak-kanak itu lebih dari lima minit sebaik menemuinya selepas enam hari.
“Saya turut bangga kerana dapat membantu Nayati dan keluarganya. Rasanya, seperti saya dapat menyelamatkan anak sendiri,” katanya.

Nayati temui rakan selepas dibebaskan penculik – Bernama


Nayati temui rakan selepas dibebaskan penculik

3 Mei 2012
Nayati bersama rakanya
Nayati (di tengah) bersama rakanya selepas dibebaskan dengan selamat di Rawang awal pagi tadi. – Foto ihsan @ShamMoodliar

KUALA LUMPUR – Bertemu rakan sekolah dan membuat pemeriksaan perubatan adalah antara aktiviti Nayati Shamelin Moodliar dan keluarganya selepas beberapa jam dibebaskan penculik hari ini.

Biarpun enam hari trauma akibat diculik, Nayati kelihatan sudah mampu tersenyum dalam gambar bersama rakan sekolahnya yang dirakamkan oleh bapanya, Shamelin Moodliar dan disiarkan di laman Twitternya, Sham Moodliar.

Gambar Nayati diambil sedang berjalan pulang bersama rakan sekolahnya dari Sekolah Antarabangsa Mont’ Kiara, yang terletak berdekatan rumahnya di Mont Kiara Ten, di sini.

Dalam gambar terbarunya, Nayati, bertopi dan memakai t-shirt berwarna hijau sambil berpegangan tangan dengan rakan-rakannya.

“Nayati memilih untuk berjalan ke rumah,” kata bapanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana usaha pasukan itu membawa anaknya pulang.

Nayati, 12, dilapor hilang dipercayai diculik dua lelaki berhampiran Sekolah Antarabangsa Mont’ Kiara ketika berjalan berseorangan ke sekolahnya Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata Nayati ditemui selamat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di sini pada pukul 7.55 pagi selepas keluarganya membayar wang tebusan semalam.

Polis kini sedang memburu penculik Nayati itu dengan menubuhkan satu pasukan khas untuk menanganinya.

Moodliar berkata Nayati ingin ke sekolah dengan secepat mungkin dan dalam pertemuan itu dengan rakannya, Nayati memeluk rakan dan gurunya.

“Semangat Nayati sangat kuat. Beliau meminta untuk ke sekolah dengan segera,” kata ayahnya.

Terdahulu, Moodliar berkata anaknya juga telah menjalani pemeriksaan doktor untuk memastikan tiada sebarang kecederaan. – Bernama

Kanak-kanak 6 tahun maut dihempap van – Bernama


Kanak-kanak 6 tahun maut dihempap van

2012/01/25

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dalam kemalangan di KM254.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Senawang, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 6.45 pagi itu, Danish Abdul Latif, mati di tempat kejadian apabila Toyota Joylong yang dinaiki bersama lapan lagi anggota keluarganya terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang di tepi lebuh raya itu.

“Danish mati akibat kecederaan parah di kepala selepas tercampak keluar dan dihempap van berkenaan,” kata jurucakap polis.

Lapan lagi termasuk bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, ibunya, Zurina Omar, 36, bersama enam lagi anggota keluarga mereka cedera ringan dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

Jurucakap polis berkata, van yang dipandu Abdul Latif itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di longkang lebuh raya itu.

“Mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Johor selepas bercuti di Langkawi sempena Tahun Baru Cina,” katanya.

Pegawai Turus Trafik negeri, ASP Abdul Halil Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan punca kejadian.
“Jenazah Danish dihantar ke HTJ untuk bedah siasat dan dituntut keluarganya untuk di bawa pulang ke Segamat, Johor untuk dikebumikan petang ini,” katanya. – BERNAMA