Mahkamah batal saman bekas guru terhadap empat defendan – Bernama


Mahkamah batal saman bekas guru terhadap empat defendan

18 Oktober 2012

JOHOR BHARU – Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini membatalkan saman seorang bekas guru terhadap Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Johor Baharu dan tiga yang lain berhubung arahan perpindahannya ke sekolah lain sehingga menyebabkannya mengalami tekanan perasaan pada 2008.

Dalam penghakimannya, Hakim Vernon Ong Lam Kiat berkata plaintif tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mengaitkan arahan perpindahannya mengajar ke sekolah lain mempunyai unsur mala fide.

Mahkamah turut mengarahkan Fauzia Khanom Irshad Ali Khan membayar kos mahkamah sebanyak RM3,000.

Dalam samannya yang difailkan hari ini, Fauzia Khanom, 45, menamakan Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, Pengarah Pelajaran Johor, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai empat defendan.

Plaintif dalam tuntutannya memohon mahkamah mengisytiharkan arahan perpindahan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Skudai Baru 2 ke SK Tampoi Utama, pada 1 Jun 2008 dibuat secara tidak sah dan berniat jahat.

Selain itu, beliau memohon supaya defendan mengumumkan alasan utama dia dipindahkan dan mendakwa tidak dapat membela diri bagi pertukaran berkenaan.

Plaintif yang menjadi guru sejak 1989 juga menuntut bahawa pemotongan gaji dan elaun khas miliknya juga tidak sepatutnya dibuat, selain memohon ganti rugi am dan kos perubatan daripada defendan berkenaan.

Plaintif mendakwa perpindahan itu menyebabkan beliau mengalami tekanan perasaan dan dirujuk kepada dua doktor sehingga menyebabkannya tidak hadir ke sekolah, sekali gus gaji serta elaunnya dipotong.

Plaintif yang juga bekas guru Bahasa Inggeris diwakili T Rajasekaran, manakala kesemua defendan diwakili Lee Chee Thiam.

Ketika ditemui selepas prosiding itu, Fauzia Khanom berkata beliau akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah itu dalam masa terdekat. – Bernama

Banjir terburuk sejak 27 tahun lalu – Kosmo


Banjir terburuk sejak 27 tahun lalu

 

Oleh MOHD. ZAINI SAMSU HADI
zaini.hadi@kosmo.com.my

 

TIGA murid membantu membersihkan kelas mereka yang dilanda banjir di SKSS, Serdang semalam.

 

SERDANG – Penduduk mendakwa banjir kilat yang melanda di sini kelmarin merupakan bencana paling buruk pernah berlaku sejak 27 tahun lalu.

Rata-rata mendakwa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca kejadian tersebut berlaku selain tidak mampu menampung hujan lebat.

Tinjauan mendapati, penduduk dan peniaga menyalahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan yang dikatakan gagal mengurus sistem perparitan dengan baik.

Seorang peniaga restoran, Haniffa Syed Mohamad, 63, berkata, sebelum ini, banjir kilat yang berlaku tidak seteruk kelmarin.

“Saya telah berniaga di sini sejak 12 tahun lalu dan banjir kilat yang berlaku adalah yang terburuk sekali. Ada kata paling teruk sejak 27 tahun lalu,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi peniaga, Lee Chee Chin, 48, pula memberitahu, akibat kejadian itu dia menanggung kerugian RM30,000 ekoran alat ganti motosikalnya ditenggelami air.

“Saya tidak sempat hendak menyelamatkan barang-barang dalam kedai kerana banjir berlaku sekelip mata,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 20 Serdang, Kamaruzaman Ibrahim pula mengaitkan faktor tadbir urus yang kurang sempurna menjadi punca berlaku banjir kilat.

“Kawasan ini sudah membangun. Disebabkan itu, pihak yang terlibat perlu lebih teliti sebelum meluluskan projek pembangunan baharu agar penduduk sedia ada tidak terjejas seperti apa yang berlaku hari ini,” jelasnya.

Remaja lega boleh ambil PMR – Utusan


Remaja lega boleh ambil PMR

 

Oleh LEE HOOI BOON
utusanpenang@utusan.com.my

 

JONATHAN Loo Shon Sheuan menunjukkan surat status taraf kewarganegaraan Malaysia yang diperoleh dari JPN di Pusat Komuniti Paya Terubong, Pulau Pinang, semalam.

 

PULAU PINANG 10 Jan. – Seorang remaja kini boleh menarik nafas lega apabila akhirnya mendapat status warganegara.

Lebih menggembirakan bagi Jonathan Loo Shon Sheuan, 14, dengan status tersebut, dia boleh mendapatkan MyKad dan seterusnya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun depan.

“Hati saya begitu lega apabila diberitahu mendapat status kewarganegaraan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Jumaat lalu.

“Saya amat bersyukur dengan anugerah ini kerana membolehkan saya mengambil peperiksaan PMR tanpa masalah dan juga tidak perlu risau lagi untuk melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima sijil kewarganegaraan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong dalam satu majlis di sini, hari ini.

Turut hadir datuknya, Loo Choon Seng, 72 dan nenek, Tan Say Kim, 64.

Masalah untuk mendapatkan MyKad Jonathan timbul kerana ibu bapanya hanya mendaftarkan perkahwinan mereka setelah dia dilahirkan dan ditambahkan pula kegagalan untuk menghubungi ibunya seorang warga Indonesia yang telah bercerai dengan bapanya.

Sementara itu, Chee Leong memberitahu, sejak tiga tahun lalu, lebih 10 peratus rakyat Malaysia berkahwin dengan warga asing terutama dari Indonesia dan China.

“Oleh itu, saya menyarankan golongan terbabit agar mendaftar perkahwinan mereka di JPN bagi mengelak masalah sebegini berlaku sehingga menjejaskan masa depan anak mereka,” ujarnya.