Remaja lelaki dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan bunuh – Bernama


Remaja lelaki dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan bunuh

2012/01/26

JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang remaja perempuan di Taman Kempas di sini, awal bulan ini.

Remaja bawah umur itu didakwa kerana menyebabkan kematian C Sivaranjini, 18, di sebuah rumah di Taman Kempas, kira-kira jam 9.30 pagi, 11 Januari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Md Isa Mohamed.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil. – BERNAMA

Ibu: Fifi Ramadhani masih trauma – Sinar Harian


Ibu: Fifi Ramadhani masih trauma

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 24, 2012
Fifi Ramadhani

KUALA LUMPUR- Kanak-kanak berusia 10 tahun, Fifi Ramadhani Safruddin, yang dijadikan tebusan selama enam jam oleh seorang lelaki di rumahnya semalam, masih trauma dengan tragedi yang menimpanya.

Ibu mangsa, Santi Sugiono, 29, berkata, anaknya juga tidak dapat tidur lena apabila seringkali terjaga malam tadi.

“Fifi juga sekarang kurang bercakap. Tetapi saya bersyukur sangat kerana dia masih selamat.

“Esok dia akan bertemu doktor pakar. Cuma sekarang ini, doktor beritahu jangan bercakap mengenai kejadian semalam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian semalam, Fifi berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang semalam.

Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan empat das tembakan mengenai lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

Fifi ketika ditemui hanya mendiamkan diri sambil membaca majalah yang dibawa oleh ahli keluarganya.

Dia hanya menganggukkan kepala dan hanya tersenyum apabila ditanya mengenai keadaan dirinya.

Dalam pada itu, menurut Santi, doktor turut menasihatkan agar dia sekeluarga tidak tinggal di rumah itu lagi.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mempunyai saudara-mara lain dan mungkin akan mengecat semula rumahnya.

“Saya di sini sehelai sepinggang. Saya nak pindah ke mana. Mungkin kami akan cat rumah itu dan berharap Fifi akan lupakan kejadian ini walaupun saya tahu ia mengambil masa lama,” katanya sambil sesekali mengesat air mata.

‘Dia ugut mahu bunuh Fifi saya’ – Kosmo


‘Dia ugut mahu bunuh Fifi saya’

KUALA LUMPUR – Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan seorang lelaki yang begitu gelisah dan takut apabila terpaksa menyaksikan leher anak sulung perempuannya diacukan pisau oleh seorang lelaki bogel untuk dijadikan tebusan selama enam jam semalam.

Kelibat Syafrudin Marlis, 47, yang sebelum itu tidak dipedulikan oleh masyarakat sekeliling tiba-tiba menjadi tumpuan apabila dia memperkenalkan diri kepada wartawan sebagai bapa Fifi Ramadhani, 10, iaitu kanak-kanak yang dijadikan tebusan itu.

Walaupun nampak tenang tetapi naluri kebapaan yang terbit dari hati kecilnya memaksa dia mengalirkan air mata sebelum dia sudi menceritakan kejadian yang mencemaskan itu.

“Saya sebenarnya memakai kaki palsu sebelah kanan selepas ia kudung beberapa lama dulu. Saya tidak mampu untuk melawan penculik yang memasuki rumah dan menjadikan Fifi sebagai tebusan.

“Ketika itu kami sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum lelaki itu menerjah masuk. Dia kemudian mengambil pisau di dapur lalu mengacukannya ke leher anak sulung daripada dua beradik itu,” ceritanya.

Hilang arah – Metro


Hilang arah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang remaja perempuan bukan saja menjadi mangsa pemuas nafsu bapa tirinya malah turut dijadikan tempat melepaskan kemarahan apabila sering dipukul dan ditumbuk lelaki itu.

Difahamkan, mangsa yang berusia 13 tahun sering mengadu kepada ibu kandung dan ibu saudara mengenai perbuatan kejam bapa tirinya yang berusia lewat 20-an itu, namun mereka tidak percaya dan menuduh mangsa berbohong.

Dalam kejadian terbaru malam kelmarin, mangsa hilang arah dan melarikan diri dari rumah keluarganya di Pandan Indah, di sini, selepas dipaksa berkahwin sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa dipaksa mengahwini seorang lelaki pilihan keluarga menyebabkan dia tidak setuju dengan keputusan itu.

 
“Sebelum ini, mangsa mendakwa bapa tirinya itu sering menyelinap masuk ke dalam bilik untuk memuaskan nafsu. Malah lelaki itu turut mengugut mahu membunuhnya sekiranya menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya.