Najib doa calon PMR jawab dengan baik – Metro


Najib doa calon PMR jawab dengan baik

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mendoakan semua 481,424 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjawab dengan baik pada peperiksaan yang masuk hari kedua hari ini.

Perdana Menteri yakin ibu bapa dan guru sudah menyediakan pelajar terbabit dengan persiapan secukupnya sebelum menghadapi peperiksaan itu. “Saya mendoakan agar semua 481,424 calon PMR dapat menjawab dengan baik. “Saya pasti ibu bapa dan guru sudah memberi persiapan secukupnya kepada pelajar terbabit,” katanya dalam tweet terbarunya, di sini semalam. Kelmarin, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyatakan seramai 448,436 calon dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengambil peperiksaan itu.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Bekas Pengerusi SPR Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 – Bernama


Bekas Pengerusi SPR Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012

2012/05/16

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 kepada Datuk Omar Mohd Hashim di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 kepada Datuk Omar Mohd Hashim di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, hari ini. – Foto Muhaizan Yahya

KUALA KANGSAR: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Omar Mohd Hashim hari ini dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012, atas kelebihan dan kekuatan beliau terutama dalam aspek kepimpinan yang cemerlang.

Omar, 77, menerima anugerah itu daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sambutan Hari Guru 2012 peringkat kebangsaan yang bertemakan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara, di Dewan Jubli Perak di sini.

Beliau yang menjadi Penasihat Perkumpulan Bekas Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran, mula menjejak langkah ke dalam bidang pendidikan mengajar di Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar, Kedah, pada tahun 1962.

Apabila bakat kepimpinannya terserlah, Omar terus diberi kepercayaan mengetuai beberapa organisasi antaranya sebagai Pengarah Pelajaran Sabah dan Johor serta Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Kecemerlangan perkhidmatannya dibuktikan apabila beliau sebelum ini pernah menerima anugerah Tokoh Guru Pulau Pinang, Tokoh Penaksiran Pendidikan Malaysia, Felo Terutama Institut Aminuddin Baki dan Felo Persatuan Sejarah Malaysia.

Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sekolah Menengah mendapat pendidikan awal pada tahun 1946 di Sekolah Melayu Permatang, Sekolah Arab Daeratul Maarif Wataniah dan Sekolah Francis Light, Pulau Pinang dan seterusnya ke peringkat menengah di Sekolah Penang Free.

Sementara itu, seorang guru bahasa Inggeris di Sekolah Wadi Sofia, Datuk Hassan Harun, 67, dipilih sebagai Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012, di atas sumbangan dan keupayaan beliau mencetus idea bernas dalam aspek pendidikan.
Anak kelahiran Kelantan ini memulakan khidmatnya sebagai guru seusia awal 18 tahun di sekolah swasta (Kelantan English School) sebelum menyambung pengajian ke peringkat universiti.

Ketika di tahun akhir pengajian di Universiti Malaya, beliau berjaya menubuhkan sekolah Kadir Adabi yang kemudiannya berkembang ke seluruh negara sebagai Kumpulan Maktab Adabi yang terkenal sebagai pembekal utama penuntut ke universiti tempatan.

Hassan, pernah dilantik ke pelbagai jawatan dalam agensi kerajaan dan korporat selain turut menerima pelbagai pengiktirafan daripada institusi pengajian tinggi antaranya dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Perniagaan oleh International Management Centre, United Kingdom.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyampaikan anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2012 kepada bekas Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, 62; bekas pengetua cemerlang Sekolah Menengah Teknik Tawau, Sabah, Datuk Mary Yap Kain Ching, 61; bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Telok Pulai, Klang, Selangor, Mohd Azman Abdul Rashid, 61 dan bekas guru cemerlang kimia di Sekolah Menengah Sains Selangor, Lim Ia Lee, 60. – BERNAMA

LPM didakwa salah cetak slip keputusan SPM tujuh pelajar – Utusan


LPM didakwa salah cetak slip keputusan SPM tujuh pelajar

Lim Xiang Yin ditemani oleh ibunya, Lim Sow Lean (kiri) menunjukkan salinan keputusan peperiksaan SPM yang didakwa terdapat kesilapan percetakan sambil diperhatikan oleh Lim Thoon Leong (dua dari kanan) di Pulau Pinang, semalam.

 

PULAU PINANG 14 Feb. – Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) didakwa membuat kesilapan dalam mencetak keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 hingga menyebabkan tujuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St. George di sini mendapat keputusan berlainan dalam slip dan sijil asal mereka.

Kesilapan LPM itu didakwa turut menyebabkan impian seorang daripada tujuh pelajar itu, Lim Xiang Yin, 19, untuk menjadi seorang doktor tidak tercapai.

Xiang Yin yang mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kursus farmasi di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) berkata, dia mendapat slip keputusan SPM yang tertera 8A+ dan 2A pada Mac 2011.

Katanya, dia menyedari keputusan itu sepatutnya 9A+ dan 1A apabila memperoleh sijil asal SPM pada awal Februari tahun ini.

“Saya mengambil tindakan segera dengan meminta guru memanjangkan perkara ini yang melibatkan keputusan mata pelajaran Pendidikan Muzik dan LPM mengesahkan terdapat kesilapan dalam percetakan dan kini ia sedang disiasat.

“Saya kecewa dengan kesilapan percetakan ini kerana ia membawa kesan besar kepada masa depan saya. Kemungkinan besar saya boleh mendapat biasiswa JPA untuk mencapai impian saya itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA negeri, Jalan Pahang, di sini, hari ini.

Turut hadir ibu Xiang Yin, Lim Sow Lean, 52.

Berikutan perkara itu, Xiang Yin berharap JPA boleh meluluskan rayuannya untuk melanjutkan pengajian dalam kursus farmasi di Universiti Monash yang bermula Isnin depan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Lim Thoon Leong berkata, beliau akan membantu Xiang Yin membuat rayuan bagi membolehkannya belajar di Universiti Monash.

“Pada masa sama, saya juga akan melaporkan kes Xiang Yin kepada MCA Pusat yang mempunyai tawaran biasiswa kepada pelajar cemerlang sekiranya JPA tidak meluluskan rayuan berkenaan.

“LPM seharusnya memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab kerana perbezaan gred dalam keputusan SPM pasti memberi impak besar kepada masa depan seseorang pelajar,” katanya.

3,996 lulus 10 subjek STAM – Berita Harian


3,996 lulus 10 subjek STAM
Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2012/01/27

MOHAMMAD Azrul  (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi) dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid  berkongsi kejayaan  ketika ditemui di Maahad Johor, semalam. Untuk berita lanjut, dapatkan akhbar Berita Harian hari ini. - Foto Dazar Suarman

MOHAMMAD Azrul (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi) dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid berkongsi kejayaan ketika ditemui di Maahad Johor, semalam. Untuk berita lanjut, dapatkan akhbar Berita Harian hari ini. – Foto Dazar Suarman

Kelulusan 60.7 peratus melayakkan calon lanjut pelajaran di universiti

PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 memperoleh sijil dengan sekurang-kurangnya pangkat Maqbul (Lulus) dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil pada peperiksaan itu, tahun lalu.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na’imah Ishak, berkata daripada jumlah itu, 326 calon mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 pula Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya, Maqbul.

Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menambah baik penguasaan bahasa Arab calon. – Dr Na’imah Ishak, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia

“Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lalu di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, ” katanya ketika mengumumkan keputusan STAM 2011, di Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.
Na’imah berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi STAM 2011 turut menunjukkan peningkatan 0.04 peratus berbanding 3.23 pada 2010.

Peperiksaan STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000 melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Mengenai prestasi mata pelajaran, Na’imah berkata, enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya’ dan Mutala’ah, Tafsir dan Ulumuhu serta ‘Arudh dan Qafiyah mencatatkan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) lebih tinggi berbanding 2010.
Selain itu, katanya, empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq.

Sehubungan itu, katanya, satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.

“Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran, lokasi atau faktor calon sendiri yang menjadi punca penurunan empat subjek itu dan peningkatan jumlah calon yang mencatat semua Rasib (gagal).

“Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menangani perkara ini, termasuk menambah baik penguasaan bahasa Arab dalam kalangan calon.

“Calon yang kurang berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun sebelum melanjutkan pengajian mereka ke universiti,” katanya.

Kerjasama kaji kurikulum, nilai rangka pengajaran bahasa Inggeris – Metro


Kerjasama kaji kurikulum, nilai rangka pengajaran bahasa Inggeris

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan Badan Amanah Pendidikan dan Pembangunan Cambridge Malaysia (CMEDT) untuk mengkaji kurikulum dan menilai rangka kerja pengajaran bahasa Inggeris di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara prinsipnya beliau bersetuju kajian itu dilaksanakan selaras usaha meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah di negara ini.
Menurutnya, tujuan utama adalah bagi meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar khususnya kemahiran lisan dan penulisan mereka. “Ia selaras usaha mewujudkan standard yang diperlukan bagi penguasaan bahasa dalam konteks Malaysia termasuk kecekapan guru dan pertimbangan demografi, dengan menggunakan kepakaran dan sumber CMEDT.

 

“Sehubungan itu satu kumpulan kerja ditubuhkan yang terdiri daripada wakil kementerian, CMEDT dan Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk meneliti kerjasama yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Eksekutif Pusat Kajian Komanwel Malaysia, Cambridge (MCSC), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Pengarah MCSC, Dr Anil Seal dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Wan Mohd Noordin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerjasama itu juga selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

 

 

Namun katanya, bentuk kerjasama itu akan diumumkan dalam masa terdekat.