12,520 calon SPM ulangan Selasa, Rabu – Bernama


12,520 calon SPM ulangan Selasa, Rabu

 

KUALA LUMPUR 7 Jun – Seramai 12,520 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Ulangan) 2013 di 232 pusat peperiksaan di seluruh negara Selasa dan Rabu ini (11 dan 12 Jun).

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan hari ini, daripada jumlah itu, 7,148 calon mendaftar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, 2,932 mata pelajaran Matematik dan 2,440 lagi bagi kedua-dua mata pelajaran.

“Seramai 1,207 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan,” jelas kenyataan itu.

Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM (Ulangan) masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130607/dn_38/12520-calon-SPM-ulangan-Selasa-Rabu#ixzz2VWYFSO2o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Daftar calon persendirian SPM, SPMU hingga 31 Mac – Bernama


Daftar calon persendirian SPM, SPMU hingga 31 Mac

5 Mac 2013

KUALA LUMPUR – Pendaftaran calon persendirian untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2013 dibuka dari 1 hingga 31 Mac ini.

Lembaga Peperiksaan dalam kenyataan hari ini berkata pendaftaran perlu dibuat di Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Negeri terdekat.

Borang permohonan dan maklumat lanjut boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan di www.moe.gov.my/lp.

“Calon diingatkan supaya mematuhi tarikh yang ditetapkan kerana permohonan lewat tidak akan dilayan,” kata kenyataan itu. – Bernama

Pencapaian keseluruhan calon STAM 2012 meningkat – Utusan


Pencapaian keseluruhan calon STAM 2012 meningkat

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

PUTRAJAYA 30 Jan. – Pencapaian keseluruhan calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lalu meningkat sebanyak 0.08 mata, iaitu daripada indeks Gred Purata Nasional (GPN) 3.16 mata pada 2011 kepada 3.08 mata pada 2012.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan, Dr. Na’imah Ishak berkata, seramai 3,925 calon atau 67.4 peratus calon STAM tahun lalu memperoleh sijil sekurang-kurangnya peringkat Maqbul (Lulus).

Beliau berkata, bilangan itu menunjukan peningkatan seramai 505 calon atau 3.9 peratus berbanding 3,420 calon pada tahun sebelumnya.

“Calon yang mendapat peringkat Mumtaz (Cemerlang) bertambah seramai 59 calon atau 0.5 peratus, iaitu daripada 326 calon pada 2011 kepada 385 calon pada tahun lepas.

“Calon yang mendapat Jayyid Jiddan (Sangat Baik) adalah sebanyak 1,263 calon, Jayyid (Baik) seramai 1,868 calon, manakala seramai 409 calon mendapat peringkat Maqbul,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman STAM di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130130/dn_15/Pencapaian-keseluruhan-calon-STAM-2012-meningkat#ixzz2JScYcuA5
© Utusan Melayu (M) Bhd

UPSR: Calon dapat semua A menurun – Utusan


UPSR: Calon dapat semua A menurun

PUTRAJAYA 19 Nov. – Gred Purata Nasional (GPN) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini menurun sebanyak 0.01 mata iaitu 2.31 berbanding 2.30 pada tahun lepas.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan, Dr. Na’imah Ishak berkata, peratusan calon yang mendapat pencapaian Baik dengan minimum gred C iaitu tidak termasuk semua A bagi semua mata pelajaran yang diduduki, meningat sebanyak 1.49 peratus daripada 55.45 peratus pada tahun lepas kepada 56.94 peratus pada tahun ini.

“Namun begitu, pencapaian calon Cemerlang yang mendapat semua A, menurun sebanyak 0.54 peratus iaitu daripada 9.48 peratus pada 2011 kepada 8.94 peratus pada 2012,” katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121119/dn_11/UPSR-Calon-dapat-semua-A-menurun#ixzz2CevJMeDw
© Utusan Melayu (M) Bhd