LGBT bukan isu remeh – Sinar Harian


LGBT bukan isu remeh

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Februari 2013
LGBT bukan isu remeh
Mohd Puad berbincang dengan guru dan ibu bapa yang hadir pada seminar berkenaan, semalam.

BATU PAHAT – Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang menjadi masalah sosial dalam kalangan masyarakat masa kini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia dilihat boleh menjadi penyumbang kepada HIV/Aids.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bukan sahaja penagih dadah yang membawa HIV/Aids, tetapi golongan LGBT juga penyumbang utama hasil aktiviti seks bebas sesama jenis.

“Bagi memerangi masalah itu dan mendidik murid-murid supaya tidak terlibat dengan LGBT, Kementerian Pelajaran tidak akan menyekat penglibatan guru dalam seminar (Keibubapaan-Menangani Isu LGBT) untuk pendedahan dan akan disampaikan kepada pelajar mereka.

“Selain memberitahu pelajar, mereka juga turut didedahkan langkah pencegahan dan akibatnya jika mengamalkan gejala buruk itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Keibubapaan (Menangani Isu LGBT) kali ke-22 peringkat Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, semalam.

Seminar anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang memberi pendedahan berhubung keburukan gejala LGBT itu dihadiri 3,500 tetamu terdiri daripada ibu bapa serta warga pendidik.

Lebih bermakna apabila seminar itu turut dihadiri dua bekas gay dan transgender yang telah insaf kesilapan pernah dilalui berkongsi pengalaman mengenai kesan dan keburukan gejala LGBT.

Mohd Puad berkata, seminar berkenaan yang sudah memasuki kali ke-22 itu mendapat sambutan luar biasa terutamanya di Selangor.

Menurutnya, seminar itu kini mula diadakan di peringkat daerah di Selangor seperti di Gombak, Kuala Selangor dan Ampang Jaya, namun hanya melibatkan golongan pendidik sahaja pada peringkat permulaan.

“Walaupun seminar itu tidak melibatkan murid-murid sekolah, namun penglibatan ibu bapa dan guru amat penting bagi menangani gejala LGBT yang dikesan mudah terdedah kepada remaja.

“Ibu bapa dan warga pendidik memainkan peranan penting untuk memantau dan mencegah jika mendapati anak mereka atau anak murid dikesan menunjukkan simptom terjebak ke arah gejala LGBT.

“Kita tidak mahu mendiskriminasikan mereka yang terlibat dalam LGBT, tetapi gejala yang boleh membawa kepada liberalisme agama ini perlu ditangani lebih awal dan cepat supaya ia tidak merosakkan norma kehidupan,” katanya.