Remaja dituduh bunuh 4 sekeluarga – Utusan


Remaja dituduh bunuh 4 sekeluarga

 

Oleh ZAAIN ZIN
utusansarawak@utusan.com.my

 

SIBU 19 Jan. – Seorang remaja lelaki berusia 17 (gambar) tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membunuh empat sekeluarga dengan menggunakan tukul besi pada awal tahun ini.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, remaja tersebut didakwa membunuh ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36; ibunya, Leong Nyuk Lan, 76; anak lelakinya, David Ling Chei Qi, 10; dan anak perempuannya, Amy Ling Zi Jiun, 7, dengan menggunakan alat tersebut.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong 13B1, RTM Road antara pukul 6.30 dan 7 pagi, 3 Januari lalu.

Keempat-empat pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Remaja itu turut didakwa cuba membunuh seorang lagi anak Tong Hock, Kelvin Ling Chei You, 8, menggunakan senjata sama sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norlisla Abdul Latif.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela mengangguk kepala tanda faham ketika pertuduhan dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan.

Hakim Indra Ayub menetapkan sebutan semula kes itu pada 29 Februari ini.

Sementara itu, ibu remaja terbabit yang berusia 44 tahun dibebaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin dan diarahkan melapor diri di Balai Polis Pusat sebulan sekali.

Dalam kejadian dua minggu lalu, empat sekeluarga berkenaan ditemui mati di kediaman mereka dipercayai dibunuh dengan kejam.

Bagaimanapun isteri baru mangsa, Li Xiao Lan, 28, berjaya melarikan diri melalui tingkap manakala anak tirinya, Kelvin yang cedera parah masih dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Bunuh 4 sekeluarga: Remaja, ibu ditahan bantu siasatan – Bernama


Bunuh 4 sekeluarga: Remaja, ibu ditahan bantu siasatan

06/01/2012 7:06pm

 

SIBU 6 Jan — Polis percaya telah dapat menyelesaikan kes bunuh empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak di Jalan RTM di sini dengan penahanan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan ibunya yang berumur 44 tahun malam tadi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Law Heng Soon berkata, remaja lelaki itu bekerja sebagai kelindan lori dan ibunya suri rumah dan mereka tinggal agak dekat dengan rumah mangsa.

“Saya gembira mengumumkan kami telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh empat hari selepas kejadian berlaku pada Isnin.

“Suspek dan ibunya kini berada dalam tahanan kami untuk kami mendapatkan lebih banyak maklumat untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis menahan ibu remaja itu kerana dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes itu.

Heng Soon berkata, sebaik sahaja kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan.

Law menjelaskan, dengan penahanan dua beranak itu, isteri Ling yang merupakan warganegara China , Li Xiao Lan, 28, yang sebelum ini ditahan reman untuk siasatan selepas mengaku melarikan diri menerusi tingkap untuk pergi ke rumah jiran ketika kejadian, telah dibebaskan hari ini.

Mengenai sama ada remaja lelaki itu menghidapi masalah mental, beliau berkata, perkara itu sedang disiasat dan menurutnya remaja itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun penyalahgunaan dadah. — BERNAMA