Kanak-kanak pengsan 12 jam dipanah petir di Pasir Mas – Bernama


Kanak-kanak pengsan 12 jam dipanah petir di Pasir Mas

2012/04/19

PASIR MAS: Seorang kanak-kanak lelaki pengsan selama 12 jam selepas terkena panahan petir ketika hujan lebat di Kampung Kolam, Tok Uban, di sini, semalam.

Mohd Khairul Mohd Rosdi, 9, turut cedera di belakang telinga kiri dan dirawat di Hospital Lati, Pasir Mas.

Kejadian pada jam 3.30 petang itu turut menyebabkan nenek, kakak dan seorang adiknya, yang ketika itu berehat di beranda rumah mereka terpelanting apabila panahan petir itu mengenai sebantang tiang berhampiran tempat mereka duduk.

Nenek kanak-kanak itu, Lijah Samad, 63, berkata panahan petir itu turut menyebabkan dia cedera di bahagian belakang badan dan barangan elektrik di dalam rumah mereka rosak.

“Kejadian itu menyebabkan saya dan cucu saya iaitu Nur Zainawati Mohd Rosdi, 11, Mohd Khairul dan Suzilawani, 7, terpelanting.

“Selepas keadaan reda baru saya menyedari kehilangan Mohd Khairul yang tercampak ke tanah. Saya menemuinya terbaring di atas tanah dengan kepalanya berada di dalam sebuah baldi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Lijah berkata, beliau meminta bantuan jirannya untuk menghantar Mohd Khairul yang pengsan ke Klinik Tok Uban sebelum dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas.
Mohd Khairul sedar dari pengsan kira-kira jam 3 pagi ini, kata Lijah. – BERNAMA

Catu makanan 11 anak – Sinar Harian


Catu makanan 11 anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2012
catu mknn anak

CHE LIJAH – “Dengan pendapatan sebagai tukang rumah yang tidak seberapa, saya kadangkala tersepit untuk menguruskan perbelanjaan sekolah anak, malah kadangkala kami terpaksa catu makanan agar ia mencukupi,” kata Nyak Sulaiman Nyak Banta, 57, yang sering dihimpit kemiskinan kerana jumlah tanggungan yang ramai.

Sulaiman yang mendiami sebuah pondok kecil berdekatan satu kawasan taku-ngan air dekat sini berkata, sebagai bapa yang tidak mempunyai pendapatan tetap, membesarkan 11 anak termasuk difahamkan tujuh daripadanya masih bersekolah bukan satu perkara mudah.

Sulaiman berkata, pendapatannya yang tidak menentu dan tidak mencukupi menyebabkan dia sering terputus bekalan makanan, malah pernah suatu ketika mereka sekeluarga terpaksa makan hanya sekali dalam sehari.

“Kalau dah tak ada duit nak beli beras dan makanan lain, kenalah catu, makan sekali sehari sahaja.

“Kesusahan kami siapa yang ambil tahu, nak harapkan bantuan, kami memang tak pernah merasai semua itu, ada pemimpin pun mereka tidak pernah jenguk kami, di sini” katanya.

Sementara itu, isterinya, Mek Ani Muhammad, 43, berkata, sebagai suri rumah, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk membantu suaminya khususnya bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung.

Katanya, bilangan anaknya yang ramai dengan jarak umur yang dekat menyukarkannya untuk mencari pekerjaan bagi menambah pendapatan membantu suaminya.

“Nasib baik kami dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan, ringanlah sikit beban kami sekeluarga.

“Kalau tak ada bantuan tersebut, tak tahulah nak cakap apa, masa suami saya tidak kerja, mungkin kami terpaksa berlapar,” katanya.

Menyentuh mengenai bantuan persekolahan anak pula Mek Ani berkata, setiap kali musim persekolahan bermula, dia buntu memikirkan persediaan persekolahan anaknya.

Katanya, kadangkala anaknya terpaksa memakai pakaian yang sudah lusuh kerana tidak mampu untuk membeli pakaian sekolah baru.

“Usah kata nak beli baju sekolah baru, kadang-kadang anak saya ke sekolah pun tak bawa wang saku.

“Nasib baik ada bantuan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disediakan di sekolah, kalau tak anak kami mesti kelaparan,” katanya.