Lima beranak berhimpit di ruang tamu – Metro


Lima beranak berhimpit di ruang tamu
Laporan dan foto JAUHARIATUL AKMAL JOHAR
am@hmetro.com.my

RANTAU PANJANG: Lima beranak hanya mampu tidur beralaskan tikar getah dan berhimpit di ruang tamu memandangkan rumah yang didiami sejak 17 tahun tidak mempunyai bilik tidur.

Pasangan suami isteri, Abdullah Yah, 39, dan isterinya, Fatimah Mat Hassan, 49, hidup dalam kemiskinan, menyebabkan mereka tidak mampu untuk membaik pulih rumah di Kampung Kubang Puyuh, di sini.
Tiga anak mereka berusia 18 hingga 14 tahun terpaksa dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan dua daripadanya masih meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periuk.

Menurut Abdullah, dia mempunyai pendapatan tidak menentu dan hanya melakukan kerja kampung yang cukup untuk digunakan bagi makan dan minum sekeluarga.
“Rumah ini didirikan atas tanah mentua yang diserahkan kepada isteri. Ini saja rumah yang mampu saya sediakan untuk keluarga berteduh dan ia semakin usang.
“Saya tidak mampu mengeluarkan wang bagi membaik pulih rumah kerana pendapatan sekadar cukup untuk menyara keluarga,” katanya.

Tinjauan Harian Metro ke rumah itu semalam, mendapati keadaan rumah keluarga terbabit terlalu sempit untuk didiami dan hanya mempunyai ruang tamu serta dapur.
Keluarga terbabit juga terpaksa tidur beralaskan lantai papan kerana tidak mampu membeli tilam.

Abdullah berkata, dia sedar sememangnya tidak sesuai bagi dua anak lelaki dan perempuannya untuk tidur di satu ruang sama, namun mereka tiada pilihan lain.
Katanya, selain masalah rumah, dia runsing mengenai keadaan kesihatan isteri yang menghidap penyakit kencing manis dan perlu mendapatkan rawatan susulan setiap bulan.
“Isteri saya perlu mengambil suntikan sebanyak dua kali disebabkan penyakit kencing manis dialami selepas melahirkan anak bongsu.
“Mengenai rumah, saya memohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan berharap ia dapat dipertimbangkan supaya dapat tinggal dalam rumah lebih selesa,” katanya.