Lima remaja ditahan curi motosikal – Utusan Malaysia


Lima remaja ditahan curi motosikal

Adzman Mohd. Jan (kiri) menunjukkan enjin dan kerangka motosikal yang berjaya ditemui di Alor Setar, semalam.

 

ALOR SETAR 5 Jun – Lima remaja termasuk dalang yang baru berusia 14 tahun ditahan setelah dipercayai terlibat dalam jenayah curi motosikal di sekitar Anak Bukit di sini sejak Januari lalu.

Kesemua tangkapan itu dibuat secara berperingkat-peringkat sejak 26 Mei lalu dan dalam serbuan itu, polis menemui empat rangka, dua rim dan sebuah enjin motosikal dipercayai dicuri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzman Mohd. Jan memberitahu, polis percaya dengan tangkapan ini, lima kes kecurian motosikal di sekitar kawasan tersebut berjaya diselesaikan.

“Tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar yang diketuai oleh Inspektor Mohd. Hafeez Assad Mohd. Saad,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menurut Adzman, remaja berusia 14 tahun yang berasal dari Gunung Keriang itu ditahan orang awam ketika cuba mencuri motosikal di Anak Bukit kira-kira pukul 3.15 pagi pada 26 Mei lalu.

Katanya, susulan tangkapan itu, pihaknya menahan empat lagi rakannya yang berusia antara 13 hingga 19 tahun serta menemui tiga rangka motosikal di kawasan semak berhampiran rumah suspek pertama, sebuah rangka lagi di dalam tali air dan sebuah enjin.

“Tiga daripada remaja terbabit termasuk suspek utama masih bersekolah. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti saki-baki anggota kumpulan itu.

“Kesemua suspek kini ditahan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan,” katanya.