Kanak-kanak hilang dipercayai dibawa arus longkang – Bernama


Kanak-kanak hilang dipercayai dibawa arus longkang

8 Mac 2012

IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dilapor hilang, dikhuatiri tergelincir ke dalam longkang di Kem Syed Putra, Jalan Tambun di sini, semalam.

Ibu kanak-kanak itu, Mazlinah Rintan@Baki, 31, berkata anaknya Yushairiezal Judin keluar bermain bola sepak dengan rakan-rakannya petang semalam dan tidak pulang ke rumah sehingga tengah malam tadi.

“Saya membuat laporan polis pagi ini selepas gagal mencarinya di sekitar kawasan kem dan sekolah sehingga lewat malam tadi,” katanya.

Beliau berkata Yushairiezal dikatakan bermain berhampiran dua longkang besar ketika hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan sebaik polis menerima laporan mengenai kejadian itu.

Polis hanya menemui sehelai seluar biru dipercayai milik mangsa yang tersangkut di ranting di Sungai Pinji, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat akan disambung esok. – Bernama

Pelajar hidu debu setiap hari – Sinar Harian


Pelajar hidu debu setiap hari

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Februari 2012
hidu debu

GELIGA – Ibu bapa dan penduduk meminta pihak kontraktor yang melakukan kerja pembersihan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga agar tidak meninggalkan sisa selut yang telah dikorek dari dalam longkang bagi mengelakkan masalah debu.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Geliga Baru, Zulkarnean Zubir yang mewakili penduduk mendakwa, disebabkan pihak kontraktor melakukan kerja mudah dengan meninggalkan sisa selut menyebabkan sisa berkenaan mengalir ke kawasan pintu pagar sekolah selepas hujan.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan itu dilakukan sebelum sesi persekolahan 2012 iaitu pada awal Januari lalu.

“Apabila cuaca panas selut yang telah merebak ke kawasan hadapan sekolah iaitu di hadapan pintu pagar keluar sekolah menyebabkan berlakunya masalah debu terutama apabila ada kenderaan keluar masuk sekolah.

“Disebabkan itu juga pintu pagar keluar terpaksa ditutup kerana dipenuhi selut tebal. Malah ketika sesi persekola­han­ baru dibuka Januari lalu, ada kereta guru terperangkap dalam selut ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Akibat hanya satu pintu pagar digunakan, menurutnya, pintu pagar utama menjadi sibuk kerana menjadi laluan masuk dan keluar pada satu-satu masa.

Zulkarnean berkata, lebih parah apabila cuaca hujan, air akan bertakung di hadapan sekolah berkenaan menyebabkan pelajar dan seluruh warga sekolah tidak selesa.

“Selain tidak selesa, masalah debu ini juga dikhuatiri boleh mengganggu kesihatan pelajar yang setiap hari terpaksa menghidu debu,” katanya.

Sehubungan itu, pihak berkenaan diharap dapat memastikan kawasan longkang dibersihkan sepenuhnya.

“Kita juga harap pihak berwajib dapat menaik taraf jalan di bahagian pintu keluar SMK Geliga agar ia lebih tinggi sepertimana jalan di pintu pagar masuk. Kita juga minta disediakan sebuah lagi hentian bas untuk kegunaan pelajar SMK Geliga ini. Dengan pelajar sekarang
berjumlah 1,500 orang hentian bas sedia ada tidak mampu menampung keperluan pelajar,” katanya.

Ibu cari anak maut dilanggar – Utusan


Ibu cari anak maut dilanggar

 

Oleh Amran Muluppengarang@utusan.com.my

 

Samad Saliman di samping mayat Rosmariah Mohamad yang menjadi mangsa langgar lari di Melaka, semalam.

 

MELAKA 28 Jan. – Seorang wanita yang berjalan kaki bersendirian ketika keluar mencari anaknya yang tidak pulang-pulang dari bermain futsal ditimpa malang apabila mati dilanggar sebuah kereta di Jalan Tun Teja, Cheng di sini awal pagi ini.

Lebih menyedihkan mayat mangsa, Rosmariah Mohamad, 34, yang tercampak kira-kira lima meter ke dalam longkang berhampiran hanya ditemui orang ramai kira-kira pukul 8 pagi.

Malah, suami mangsa langsung tidak mengetahui kejadian menimpa isterinya dan hanya menyedari Rosmariah tiada di rumah sewaktu terjaga dari tidur kira-kira pukul 4 pagi.

Suami mangsa, Samad Saliman, 38, berkata, isterinya dipercayai keluar dari rumah mereka di Rumah Pangsa Cheng Mutiara bagi mencari dua anak lelaki mereka, Mohamad Shazurin Farhan, 15, dan Mohamad Shazrul Fahmi, 12, yang tidak balik-balik daripada bermain futsal di sebuah gelanggang tidak jauh dari rumah mereka.

“Kira-kira pukul 12.30 tengah malam, isteri saya keluar dari rumah mencari kedua-dua anak yang keluar sejak pukul 10.30 malam.

“Selepas dia keluar, saya terus tertidur dan apabila terjaga, saya menyedari isteri saya tiada. Puas saya cari di gelanggang futsal yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah, tetapi gagal menemuinya,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua anaknya juga memberitahu tidak berjumpa dengan ibu mereka sewaktu bermain futsal.

Bagaimanapun, kata Samad, kira-kira pukul 8 pagi ini, penduduk berhampiran kecoh berikutan penemuan mayat di dalam longkang bersebelahan jalan tidak jauh dari rumah mereka.

“Mulanya saya tidak syak apa-apa dan apabila pergi ke tempat kejadian saya terkejut melihat mayat terbujur di dalam longkang itu adalah isteri saya.

“Luluh hati saya melihat mayat isteri saya yang mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, kemalangan yang menimpa Rosmariah itu diklasifikasikan sebagai langgar lari.

Menurutnya, berdasarkan penemuan cermin sisi sebuah kenderaan dan dahan-dahan pokok yang patah di tempat kejadian, disyaki sebuah kenderaan melanggar wanita itu sehingga mangsa tercampak ke dalam longkang.

“Mangsa dipercayai terpelanting ke pokok seterusnya ke pagar berhampiran sebelum masuk ke dalam longkang. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Ujarnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.