Mengaku salah cabul anak tiri – Sinar Harian


Mengaku salah cabul anak tiri
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2013

KUANTAN – “Biarlah orang nak kata saya salah. Saya nak ajar dia,” kata seorang pemandu lori yang mengaku bersalah atas tuduhan mencabul anak tirinya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohd Nasir Abd Manaf, 34, ketika ditanya Majistret dalam kandang tertuduh berkata, dia mahu mengajar anak tirinya yang berusia 14 tahun kerana tidak mendengar kata selepas dipukul.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Indera Semporna dalam tempoh empat bulan.

Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan RM2,000 denda dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Menurut fakta kes, mangsa diperlakukan tertuduh sejak November tahun lalu sehingga Mac lepas dengan meraba seluruh badan mangsa beberapa kali dan tertuduh ditangkap pada 22 Jun lalu pada jam 2.30 petang.

Noor Zaihan bagaimanapun, menasihatkan tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan itu dan insaf selepas menerima hukuman penjara.

“Saya harap kamu tidak ulangi lagi kesalahan ini. Perbuatan kamu ini sungguh jijik. Dalam penjara nanti kamu berfikir dan insaf,” katanya.

Timbalan Pendakwaraya, Farahah Ahmad Nazari dalam pendakwaannya meminta tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya kerana membabitkan anak tiri walaupun tertuduh tidak mempunyai rekod lampau.

Maut ketika berlumba – Metro


Maut ketika berlumba

 9  0 Google +0  1  0

Oleh AZMI KARIM

Muadzam Shah: Tindakan tiga remaja berlumba dan menunjukkan kehebatan menunggang motosikal bertukar tragedi apabila dirempuh lori tangki minyak di Kilometer 120.5 Jalan Kuantan-Segamat, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi, Mohamad Mubarak Mohamad Sabri, 18, dan Mohd Ilham Kusyairy Ahmad Roslan, 16, dari FELDA Keratong 9 di sini, serta Mohd Hakim Ghazali, 17, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, ketika kejadian, tiga sahabat itu berlumba dengan menunggang motosikal masing-masing dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, sebuah lori tangki minyak tanpa muatan dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kereta di depannya tanpa menyedai kehadiran ketiga-tiga mangsa sebelum merempuh mereka.

FotoTIGA motosikal terbabit dalam kemalangan.

“Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori gagal mengelak mangsa dan terus merempuh mereka sebelum kenderaannya terbabas ke bahagian kanan jalan dan terbalik.
“Akibat rempuhan itu, semua mangsa tercampak kira-kira empat meter dan mati di tempat kejadian akibat cedera parah, termasuk pecah kepala dan putus tangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, siasatan juga mendapati ketiga-tiga mangsa berlumba bersama beberapa rakan lain, namun mereka sempat mengelak dirempuh lori.

Johari berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Bagaimanapun, polis masih mengesan pemandu lori yang dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/15

Pelajar berusia 13 tahun maut dirempuh lori tanah – Bernama


Pelajar berusia 13 tahun maut dirempuh lori tanah
1 Ogos 2013

ALOR SETAR – Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Alor Pudak, Pendang petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang Supt Abdul Aziz Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 2 petang itu mangsa Mohammad Fitri Mohd Zamri dari Kampung Alor Berala, Tobiar, Pendang maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala dan muka.

Beliau berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 milik bapanya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah.

Katanya apabila sampai di tempat kejadian mangsa yang dikatakan menunggang motosikal tersebut dengan laju  merempuh bahagian belakang lori yang dalam perjalanan ke Alor Pudak.

“Lori tanah itu berhenti dan menunggu untuk belok dan mangsa tiba-tiba merempuh bahagian belakang lori. Mangsa yang maut di tempat kejadian kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Datuk mangsa Taib Abdullah, 65, berkata selalunya mangsa melalui jalan kampung untuk pergi dan balik ke sekolah dan tidak menyangka cucunya itu menggunakan jalan raya untuk ke sekolah hari ini.

Katanya ibu bapa Mohammad Fitri juga telah merancang untuk membeli pakaian hari raya untuknya serta adiknya yang berusia lapan tahun sebagai persediaan untuk menyambut Aidikfitri tidak lama lagi.

Jenazah Mohammad Fitri dikebumikan di Tanah Perkuburan Tualang dekat sini. – Bernama

Seorang maut, 3 cedera parah – Sinar Harian


Seorang maut, 3 cedera parah

ZUMURNI HAMZAH
15 Julai 2013
Seorang maut, 3 cedera parah
MPV yang dinaiki empat sekeluarga rosak teruk selepas bertembung dengan sebuah lori di Jalan Machang- Pasir Puteh, kelmarin.

MACHANG – Seorang maut dan tiga yang lain cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Machang -Pasir Puteh, di sini  pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Mangsa maut, Anis Syafiqah Harun, 14,  meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia pada jam 11 malam, kelmarin selepas hampir 12 jam mendapatkan rawatan.

Tiga mangsa yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital yang sama manakala pemandu lori yang mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Machang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, Anis Syafiqah  yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, kemalangan di Kilometer 4.7 Jalan Machang- Pasir Puteh itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori yang dipandu seorang pemuda.

Menurutnya, MPV yang dipandu wanita itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Kedah sebelum bertembung dengan sebuah lori berdekatan Sekolah Menengah  Kebangsaan Hamzah 2, dekat sini.

“Rempuhan kuat tersebut menyebabkan MPV tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian pemandu dan mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Machang.

“Lori  yang dalam perjalanan dari arah Machang Pasir Puteh itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV  itu.  Kes disiasat  di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Hampir hujung nyawa – Metro


Hampir hujung nyawa

 13  5 Google +1  0  0

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Tindakan seorang remaja memberhentikan basikalnya di persimpangan jalan untuk membetulkan rantai basikal mengundang padah apabila dia nyaris dirempuh sebuah lori yang berlanggar dengan sebuah kereta di Taman Sri Kurau,di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Muhammad Marzuki, 15, berkata dia terpaksa memberhentikan basikalnya apabila rantai basikalnya terlucut ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

“Ketika itu saya membetulkan rantai basikal, tetapi terkejut apabila mendengar bunyi rempuhan kuat. Saya jadi kaku melihat sebuah lori dan kereta berlanggar sebelum terbabas ke arah saya.

“Saya hanya mampu memejamkan mata dan berserah kepada Allah SWT kerana tidak sempat lagi mengelak,” katanya.

FotoORANG ramai melihat keadaan kereta dan lori yang remuk akibat kemalangan di Taman Sri Kurau, semalam.

Marzuki berkata, dia ketika itu sudah terbayang kejadian buruk bakal menimpanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/07

Polis Dapat Petunjuk Baru Kes Kanak-Kanak Hilang Ogos Lepas – mStar


Polis Dapat Petunjuk Baru Kes Kanak-Kanak Hilang Ogos Lepas

SEBERANG PERAI: Polis mendapat petunjuk baharu berhubung kes seorang kanak-kanak lelaki T. Sathiskumar, 6, yang dilapor hilang sejak 8 Ogos lepas di kawasan Jalan Permatang Pauh, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata sehingga kini polis telah mengambil keterangan daripada 11 individu termasuk ibu kandung, bapa kandung, bapa tiri, datuk dan jiran kanak-kanak itu.

“Siasatan memang dijalankan walaupun kanak-kanak itu hilang sejak enam bulan lepas,” katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Md Azman Kadir di talian 019-5633014 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, 04-5382222 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, Mazlan meninjau lokasi mangsa dilapor hilang bersama Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah di Jalan Permatang Pauh, di sini .

Dalam kejadian 8 Ogos tahun lepas, Sathiskumar dilapor hilang kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas turun daripada lori yang diparkir di tepi jalan untuk mengekori datuknya membeli makanan di sebuah kedai tidak jauh dari situ.

Kanak-kanak itu dikatakan sempat meminta wang daripada bapa tirinya sebanyak RM1. Bagaimanapun, datuknya yang kembali semula ke lori tidak lama kemudian mendapati cucunya tiada.

Kali terakhir Sathiskumar dilihat memakai kemeja-T dan seluar pendek warna hijau, bertopi kuning bercorak Spiderman dan berkasut serta memakai stokin.

Ketika hilang, tinggi kanak-kanak itu lebih kurang 70 sentimeter dan berat badan kira-kira 15 kilogram. –BERNAMA

Tersepit bawah katil – Metro


Tersepit bawah katil

 2  7 Google +0  0  0

Oleh Ravale Savarinathan

Teluk Intan: “Saya panik sebaik mendengar jeritan seorang anak saudara dan dua anak lelaki yang tersepit di bawah runtuhan kayu dan katil sejurus rumah kami roboh dirempuh sebuah lori yang dikejar kereta peronda polis,” kata pemilik rumah, Mohd Kadri Ambu Amar, 43, yang menetap di Kampung Belakang Kilang Padi, Jalan Jawa, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sebuah lori seberat satu tan merempuh tiang bahagian anjung hadapan rumah berkenaan menyebabkan sebuah bilik di atas rumah kayu itu runtuh.

Kejadian itu menyebabkan tiga mangsa yang sedang tidur, Khairul Amirin Mohd Kadri, 8, dan abangnya, Khairul Ihwan, 12, serta sepupu mereka, Mohd Maizie Syarezal Mohd Nor, 20, tersepit di bawah katil serta runtuhan dinding rumah yang roboh.

“Kejadian berlaku ketika saya dan isteri, Rahimah Awang, 43, sedang tidur di bilik berasingan sebelum terdengar dentuman kuat yang menggegarkan rumah kayu.

FotoKEADAAN rumah mangsa yang dirempuh lori.

“Sebaik mendengar bunyi dentuman itu, saya dan isteri serta seorang anak perempuan berlari ke anjung rumah dan terkejut apabila mendapati sebuah bilik tidur runtuh, manakala tiang besar rumah tercabut akibat diseret lori berkenaan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

Padah tidak pakai topi keledar – Sinar Harian


Padah tidak pakai topi keledar

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Disember 2012
Padah tidak pakai topi keledar
Anggota polis memeriksa mayat remaja yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Sungai Buloh arah Kepong, semalam.

PETALING JAYA – Padah menunggang motosikal tanpa topi keledar, seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang  sebuah  lori 11 tan di Lebuhraya Sungai Buloh arah Kepong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa Ravind Raj, 16, tercampak selepas  gagal mengelak lori yang mahu membelok ke  kiri  untuk ke Sri  Damansara.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal  Honda EX 5 cedera parah bahagian kepala mati serta merta di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dari rumahnya di Damansara Damai menggunakan lebuh raya untuk ke Kepong.

“Ketika kejadian sebuah kereta Proton  Wira dari arah yang sama cuba mengelak melanggar mangsa turut dilanggar sebuah lagi lori menyebabkan pemandunya gagal mengawal lalu terbabas melanggar pembahagi jalan,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah dapat mengenal pasti lori yang terlibat dalam kemalangan itu bagaimanapun pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita masih menyiasat lagi punca kejadian dan beberapa keterangan dari saksi  sudah diambil,” katanya

Katanya, kes di siasat dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Sementara itu, suasana di tempat kejadian sayu apabila ahli keluarga yang hadir meratapi kematian mangsa.

Kemalangan juga menyebabkan laluan itu sesak sepanjang dua kilometer berikutan sikap pemandu yang memperlahankan kenderaan ketika melalui tempat kejadian dan  keadaan itu terpaksa dikawal oleh anggota polis trafik bertugas.

Dua koma nahas motosikal – Berita Harian


Dua koma nahas motosikal

2012/11/19 – 04:53:25 AM Oleh Zuliaty ZulkiffliCetakEmel Kawan
Alor Setar: Dua kanak-kanak berusia tiga dan 14 tahun koma, manakala dua lagi cedera ringan selepas motosikal dinaiki bersama dua lagi saudara mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanah di Kampung Pisang, dekat sini, petang kelmarin.

Mohd Nabil Yaakob, 14, yang menunggang motosikal dan sepupunya, Mohd Nur Adam Shukri, 3, dilapor koma selepas cedera parah pada muka serta kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Dua lagi mangsa, Nur Azwan Shukri, 10, yang juga abang Muhd Nur Adam serta sepupu mereka, Muhamad Safwan Akhbar Sardin, 11, luka di tangan dan kaki dan dirawat sebagai pesakit luar.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 5 petang ketika empat bersaudara itu yang menaiki sebuah motosikal dalam perjalanan pulang dari kedai berhampiran rumah mereka di Kampung Pisang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, motosikal dinaiki empat kanak-kanak itu bertembung dengan sebuah lori yang ketika itu dikatakan sedang membelok ke simpang jalan.

Buat masa sekarang, kes sedang disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis di talian 04-7321222 untuk membantu siasatan, katanya.

Sementara itu, Muhammad Safwan ketika ditemui berkata, ketika dalam perjalanan pulang, sebuah lori tanah tiba-tiba membelok ke simpang jalan berhampiran dengan laju menyebabkan mereka gagal mengelak dan terus merempuhnya.
Saya yang duduk paling belakang terasa seperti terbang sebelum jatuh tertiarap di atas jalan tar. Pada waktu itu saya nampak dua sepupu dalam keadaan tidak sedarkan diri termasuk Muhd Nur Adam yang ketika itu pengsan, selain Mohamad Nabil dengan darah kelihatan mengalir dari mulutnya, katanya.

Remaja maut digilis lori – Sinar Harian


Remaja maut digilis lori

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 November 2012

IPOH – Seorang remaja maut digilis lori selepas terjatuh motosikal ketika melalui Laluan Hulu Bercham 1, Bercham, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Syakir Omar Shah, 15, dari Kampung Che Zainal Tambahan, Chemor, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang laju dan bersaing dengan motosikal lain dipercayai ditunggang rakannya.

“Tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan rakannya sebelum terjatuh dan digilis tayar belakang sebuah lori yang datang dari arah sama.

“Bagaimanapun, rakan mangsa didapati telah menghilangkan diri. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Wan Sharuddin berkata, pemandu lori berusia 30 tahun itu diambil keterangan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita juga akan mengambil keterangan pemilik motosikal berkenaan dan cadangan akan disyorkan pada Timbalan Pendakwa Raya  setelah lengkap siasatan,” katanya.