Selagi ajal belum tiba – Metro


Selagi ajal belum tiba

Oleh Shalfarina Shahriman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARAN: Seorang warga emas dan cucunya berusia 11 tahun parah selepas Perodua Kancil yang mereka naiki dirempuh sebelum diseret lebih 20 meter oleh lori tangki yang dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah, semalam.

Kejadian di Kilometer 102.8, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, berhampiran Kampung Jengka Batu 13, di sini, menyebabkan warga emas terbabit, Arsad Sidek, 73, patah kedua-dua kaki manakala cucunya, Danial Hakim Zainudin, 11, cedera di muka serta beberapa bahagian badan selepas dirempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

Kedua-duanya dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh dan dilaporkan stabil.

Pemandu lori berusia 20-an itu tidak cedera dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran selepas polis menemui peralatan menghisap syabu di dalam kenderaan berat berkenaan manakala ujian air kencing ke atas pemandu itu juga mendapati dia positif dadah.

 
Difahamkan, ketika kejadian jam 7.05 pagi itu, Arsad dalam perjalanan menghantar Danial Hakim ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jengka Batu 13 kerana cucunya dijadualkan menduduki peperiksaan akhir tahun yang bermula semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11

Tertuduh kes cabul naik angin, ugut jurugambar – Sinar Harian


Tertuduh kes cabul naik angin, ugut jurugambar

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 September 2012

KUANTAN – Seorang pemandu lori yang didakwa atas tuduhan mencabul bertindak agresif apabila menjerit sambil mengugut untuk menendang jurugambar yang cuba merakam wajahnya ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret Kuantan, semalam.

Tertuduh, berusia 50 tahun dari Taman Seri Mahkota, Jalan Gambang juga cuba membaling selipar yang dipakai walaupun dalam keadaan tangan digari bersama tertuduh lain.

“Kenapa ambil gambar saya? Hendak kena sepak ke?,” jeritnya bagaimanapun kekecohan itu berjaya ditenangkan anggota polis yang mengiring.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang remaja berusia 16 tahun dengan maksud mencabul kehormatan apabila bertindak mencium pipi dan mulut gadis itu.

Kejadian dilakukan .dalam sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback di tepi jalan berdekatan sebuah premis di Jaya Gading kira-kira jam 4.57 pagi, 1 September lalu.

Mashudi didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilla Md Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh memohon supaya dikurangkan jaminan dengan alasan terpaksa menyara dua isteri dan 16 anak.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh supaya menjauhkan diri dan tidak berhubung dengan pengadu sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan kemudiannya menetapkan tarikh 18 September depan untuk lantikan peguam.

Kanak-kanak maut digilis lori – Sinar Harian


Kanak-kanak maut digilis lori

M FEISAL NORAWI
17 Ogos 2012
Kanak-kanak maut digilis lori
Mayat mangsa ditutup dengan surat khabar sementara menunggu untuk dibawa ke hospital.

MENTAKAB – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mati dalam keadaan menyayat hati apabila digilis sebuah lori dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli mainan di sebuah kedai runcit dekat Taman Tualang Indah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa Khairul Azmer Abd Rasid menunggang basikal dari rumahnya ke kedai runcit berkenaan untuk membeli mainan tidak lama selepas berbuka puasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, pada masa sama sebuah lori tiga tan dengan muatan pelbagai barangan kedai runcit dari arah stesen minyak Petronas Taman Tualang Indah dipandu Rohizat Remeli, 37, berhenti, di kedai runcit berhampiran untuk membeli rokok.

Menurutnya, pemandu lori terbabit kemudian meneruskan perjalanan sebaik selesai membeli rokok, namun dikejutkan dengan bunyi seretan pada bahagian hadapan lori dipandunya.

“Pemandu lori terus memberhentikan kenderaannya lalu melihat sebuah basikal terperosok di bawah lori dan mayat seorang kanak-kanak di bahagian belakang lori dalam keadaan tertiarap,” katanya.

Zundin berkata, mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat pecah kepala.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa keluar dari kedai selepas membeli mainan terus menunggang basikal untuk pulang ke rumah dan pada masa sama tanpa disedari, ada sebuah lori yang baru memulakan perjalanan dari arah sama.

“Pemandu lori mendakwa tidak nampak mangsa di hadapan kenderaannya kerana saiz basikal yang kecil terlindung dengan saiz lori yang besar dan tinggi.

“Akibatnya, mangsa digilis di bawah lori tersebut lalu mendapat kecederaan teruk di kepala serta mati di tempat kejadian,” katanya.

Zundin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori terbabit ditahan sementara waktu untuk membantu siasatan.

Dua remaja maut dalam kemalangan – Bernama


Dua remaja maut dalam kemalangan
13:57:50 PM Cetak Emel Kawan

IPOH: Dua remaja terbunuh manakala seorang warga Bangladesh cedera apabila motosikal mereka dirempuh sebuah lori yang terbabas di satu persimpangan di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, malam tadi.

Mangsa yang terbunuh ialah Nor Azman Ahmad Jamil, 16, dan Muhammad Fakaruddin Mohamed Rasoi, 15, kedua-duanya dari Tanjung Tualang, Kampung Gajah. Mereka meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Changkat Melintang.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, warganegara Bangladesh tersebut yang turut menunggang motosikal dan cedera parah hanya dikenali sebagai Mathir, 40.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan A. Martin Silva, 48, hanya cedera ringan.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.45 malam apabila lori yang dipandu Martin dari arah Teluk Intan ke Bota Kanan dikatakan gagal dikawal semasa mengelak sebuah motosikal yang keluar dari simpang berkenaan.

“Akibat kejadian itu, lori terbabit terbabas dan merempuh dua buah motosikal yang dinaiki remaja terbabit dan warga Bangladesh itu yang ketika itu berhenti di simpang itu,” katanya. – BERNAMA