Dua lagi pelajar sekolah ditahan – Sinar Harian


Dua lagi pelajar sekolah ditahan
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 September 2013
  • Dua lagi pelajar sekolah ditahanSuspek masih beruniform sekolah ketika ditahan.
< 1 / 1 >

LUNAS – Dua pelajar lelaki tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan sebaik keluar dari kawasan sekolah kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya mendapat maklumat ada dalam kalangan pelajar sekolah terutama lelaki menunggang motosikal curi ke sekolah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal curi berkenaan akan diletakkan kira-kira 100 meter dari kawasan sekolah sebelum berjalan kaki ke sekolah bagi mengelakkan kenderaan itu dikesan.

“Kita telah membuat pemantauan terhadap pelajar sekolah dan sekolah yang terlibat dalam masalah motosikal curi.

“Pihak Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPPJ) Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, kemudiannya diarah menunggu suspek di luar sekolah dengan berpakaian preman. Sebaik sahaja suspek keluar dari sekolah, kami menahan mereka dan membawa mereka ke Balai Polis Lunas untuk pemeriksaan,” katanya.

Ghuzlan berkata, beberapa pelajar lain turut terlibat dan pihaknya sekali lagi ke rumah suspek kedua sebelum bertindak menahannya.

“Suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut. Sehingga kini lebih 20 pelajar sekolah telah ditahan dan ada dalam kalangan mereka yang sudah di hadapkan ke mahkamah,” katanya.

Katanya, polis akan terus memburu remaja dan kumpulan yang masih bergerak aktif melakukan kegiatan curi motosikal itu.

Pokok besar bahayakan murid – Sinar Harian


Pokok besar bahayakan murid
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2013
  • Pokok besar bahayakan muridMohd Asrul dan seorang pengawal keselamatan sekolah menunjukkan salah satu pokok besar yang sudah tumbang.
< 1 / 1 >

TANJUNG TOKONG – Tiga pokok besar di sini dikatakan hanya menunggu masa untuk tumbang sekali gus mengancam keselamatan kira-kira 350 murid.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Kebangsaan Tanjung Tokong, Mohd Asrul Ismail berkata, kesemua pokok itu terletak dalam kawasan padang sekolah.

Menurutnya, lebih membimbangkan, kawasan berkenaan juga menjadi tempat murid menunggu ibu bapa mereka apabila pulang dari sekolah.

“Namun, buat masa ini kawasan berhampiran dengan pokok sudah pun ditutup kerana dikhuatiri tumbuhan berkenaan tumbang pada bila-bila masa.

“Ini kerana bahagian dalaman pokok sudah semakin reput dan kami yakin jika berlaku ribut, pokok berkenaan akan tumbang. Malahan aduan mengenai masalah itu telah dibuat sejak dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Seorang guru yang enggan nama disiarkan berkata, sebuah tempat letak kereta juga terpaksa dikosongkan akibat masalah itu.

Jelasnya, semua kakitangan sekolah bimbang jika pokok itu tumbang dan menghempap kereta guru di sini.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi menangani  masalah berkenaan,” katanya.

Fahaman Syiah dalam buku teks? – Sinar Harian


Fahaman Syiah dalam buku teks?
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Julai 2013
  • Fathul Bari Fathul Bari Mat Jahaya
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya tidak menafikan terdapat unsur fahaman Syiah dalam kandungan buku teks pendidikan Islam.

Beliau berkata, simptom tersebut dapat dikenal pasti melalui cerita yang dipaparkan dalam buku teks.

“Antara yang jelas ialah kritikan terhadap Saidina Uthman yang dikatakan gagal memimpin dengan baik. Sedangkan perkataan terhadap sahabat Nabi tidak boleh kasar kerana Baginda melarang kita menghina para sahabat.

“Unsur-unsur ini dipaparkan menerusi cerita. Saya dapati ia masuk sedikit demi sedikit dengan cara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Fathul Bari turut mencadangkan agar modul pengajian pendidikan Islam di sekolah dan universiti dikemas kini.

“Banyak sejarah dan fakta yang perlu diperbetulkan semula. Malah, pengajian mengenai perbezaan kelompok yang menisbahkan diri mereka kepada Islam juga perlu dibuat dengan lebih mendalam lagi.

“Ini penting agar masyarakat dididik sejak sekolah rendah lagi perbezaan Syiah dan Sunni. Dengan penerangan jelas, barulah mereka tidak akan terpengaruh dengan Syiah,” katanya.