‘Akhirnya bapa pulang jua’ – Sinar Harian


‘Akhirnya bapa pulang jua’

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Disember 2012
Datanglah jenguk saya, ayah
Nursyuzana sangat berharap ayahnya dapat datang memberi semangat sebelum dia menjalani pembedahan di Hopsital Bukit Mertajam Khamis ini.

BAGAN AJAM – “Rasanya hilang kesakitan yang ditanggung apabila bapa muncul malam semalam,” luah Nursyuzana, 11, apabila rayuannya untuk bertemu dengan bapanya, Mohd Huzairi Md Isa, 36, yang lama terpisah dimakbulkan semalam.

Kemunculan Mohd Huzairi di Hospital Bukit Mertajam (HBM) pada jam 10 malam itu dinantikan Nursyuzana kerana selepas tiga tahun ditinggalkan, inilah kali pertama dia dapat menatap wajah bapa kesayangan.

Mohd Huzairi berpisah dengan ibu Nursyuzana, Nurshila Suid, 35, sekitar 2010 yang lalu dan sejak itu bapanya menghilangkan diri dan gagal dikesan sebelum muncul malam semalam.

Nursyuzana kini tinggal bersama abangnya, Hafiz Ikhmal, 14, dijaga Nurshila yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kampung Bagan Lebai Tahir di sini.

“Kemunculan bapa bukan sahaja membuktikan dia masih menyayangi saya sebagai anaknya tetapi turut prihatin dengan keadaan kesihatan saya.

“Malah kata-kata perangsangnya memberi kekuatan untuk saya tabah dan tidak takut menghadapi pembedahan yang dijadualkan hari ini,” katanya.

Kelmarin anak bongsu bekas pasangan Mohd Huzairi dan Nurshila terpaksa membuat rayuan supaya bapanya yang lama menghilangkan diri muncul bertemu dengannya.

Rayuan ini dilakukan dalam usahanya untuk mendapat sokongan moral dan kekuatan semangat bagi menghadapi pembedahan hidung yang akan dijalaninya di HBM.

Bagaimanapun usaha Sinar Harian untuk merakam pertemuan dua beranak itu tidak dibenarkan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Dalam pada itu, Nurshila yang ditemui berkata, kemunculan bekas suaminya itu memang dinanti bukan sahaja sebagai pendorong semangat untuk anaknya menghadapi pembedahan itu semata-mata tetapi lebih dari itu.

“Kemunculan ini akan memberi peluang kepada saya untuk  berbincang dengannya pelbagai perkara yang perlu diselesaikan berkaitan masalah dihadapi.

“Tapi saya akan memberi ruang kepadanya untuk melepaskan rindu dan bertemu Nursyuzana serta berada di sisinya sehingga selesai pembedahan terlebih dahulu sebelum kami bersemuka membincangkan kebajikan anak-anak,” katanya.

Murid hilang ditemui selamat – Sinar Harian


Murid hilang ditemui selamat

ROSDALILAH ZAHARI
3 Mei 2012
Murid hilang ditemui selamat
Muhammad dicium bapanya, Zahar dan ibunya, Sharifah tanda gembira apabila anak mereka pulang semula ke rumah

IPOH – “Syukur anak kami selamat,” luah Zahar Ahmad, 37, bapa kepada Muhammad Norman Zahar yang dilaporkan hilang, Ahad lalu.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan, pulang ke rumah rakan sekolahnya itu di Kampung Manjoi, di sini tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada ibu dan bapanya.

Akibat insiden tersebut, emosi ibu kanak-kanak tersebut, Sharifah Mustafa, 35, turut terganggu kerana mefikirkan nasib anaknya itu.

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan St Michael itu dilaporkan hilang selepas selesai program perkhemahan badan beruniform anjuran sekolahnya pada hari yang sama.

Zahar berkata, dia dan isteri sangat gembira apabila dimaklumkan anaknya berada dalam keadaan selamat selepas empat hari berjauhan.

“Mula-mula kami bimbang jika kemungkinan dia diculik. Lantas dengan segera kami memaklumkan kepada saudara mara dan rakan-rakan mengenai perkara tersebut.

“Lebih mengejutkan apabila salah seorang saudara saya memberitahu dia terserempak dengan anak saya dalam sebuah kereta dua hari lalu.

“Kerana takut anak saya diapa-apakan, saya segera membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada malam kejadian,” katanya ketika ditemui dirumahnya, semalam.

Menurutnya, dia mengenali rakan sekolah anaknya itu kerana sering melihat mereka berdua bersama terutama ketika mengambilnya dari sekolah setiap hari.

Tambahnya, dia sekeluarga juga membuat keputusan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap keluarga rakan anaknya itu memandangkan anaknya sudah ditemui dalam keadaan selamat.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Muhammad Norman hilang selepas selesai menghadiri perkhemahan pasukan beruniform sekolahnya pada 29 April lalu.

Duka empat beradik yatim – Sinar Harian


Duka empat beradik yatim

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 18, 2012
Duka empat beradik yatim

SUNGAI SIPUT (U) – “Peristiwa kehilangan ibu dua tahun lalu masih segar di fikiran kami, kini terpaksa berdepan masalah hilang tempat berteduh akibat kebakaran,” luah Meor Shaharudin Musa, 17 mangsa kebakaran di Felda Lasah, di sini, semalam.

Meor Shaharudin berkata, sewaktu kejadian dia dan adik-adiknya berada di sekolah dan dimaklumkan oleh pengetua mengenai kebakaran itu.

Menurutnya, mereka adik-beradik terkejut dan sangat sedih dengan kejadian itu, tambahan pula peristiwa kehilangan ibu masih lagi terasa.

“Sejak pemergian ibu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dua tahun lalu, ayah yang me­ngambil alih segala tugasan di dalam rumah.

“Selain keluar mencari rezeki, urusan makan minum dan keperluan semua ayah yang urusan untuk kami adik beradik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, walaupun sedih kami redha dengan ujian ini dan saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk menggapai cita-cita menjadi seorang tentera serta membela nasib keluarga.

Hanya lihat api marak

BAPANYA, Musa Abd Manaf, 48, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu apabila dihubungi oleh salah seorang saudara.

“Ketika sampai ke rumah, saya lihat api sedang marak dan bomba juga sudah ada melakukan operasi memadam kebakaran.

“Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan hanya mampu melihat rumah kami musnah dan saya hanya ada pakaian menoreh ini sahaja,” katanya.

Katanya, dia dan anak-anaknya terpaksa menumpang teduh di rumah saudara-mara.

3 minit kawal api

SEMENTARA itu, Ketua Balai Bomba Sungai Siput, Rozaman Wok berkata, seramai tujuh anggota dikejarkan dalam operasi berkenaan dan pihaknya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk memadam kebakaran rumah terbabit.

“Kami terima panggilan pada jam 9.51 pagi dan tiba di lokasi dalam 16 minit kemudiannya memandangkan jarak lokasi kebaka­ran­ dari Pekan Sungai Siput ialah kira-kira 18 kilometer.

“Dengan menggunakan satu jentera, kami dapat mengawal kebakaran dalam masa 3 minit dan 90 peratus rumah berkenaan musnah,” katanya.

Katanya, punca sebenar kejadian dan kerugian masih lagi dalam siasatan.

Bantuan segera RM2,000

MANAKALA, Pengerusi Majlis Pembangunan Kebajikan Parlimen Sungai Siput (Mayang), Datuk Dzulkifli Harun berkata, sumbangan segera diberikan bagi membantu keluarga berkenaan, lebih-lebih lagi bagi memudahkan urusan persekolahan anak-anak mangsa.

“Mayang menghulurkan sumbangan sebanyak RM1,000, manakala bagi pihak peribadi saya menambah sebanyak RM1,000 lagi memandangkan segala keperluan persekolahan anak-anak musnah.

“Kita bersimpati dengan nasib keluarga ini, dan pihak atau jabatan berkaitan diharapkan dapat membantu mereka,” katanya.

Katanya, difahamkan netbook yang diberikan kerajaan kepada anak mangsa turut musnah, dan pihaknya akan meminta pihak sekolah menguruskan permohonan lain, manakala Jabatan Pendaftaran diharapkan dapat memudahkan urusan mereka untuk membuat kad pengenalan baru.