Pesara guru maut sebelum sarapan – Sinar Harian


Pesara guru maut sebelum sarapan

ROSNANI SAAD
15 Mei 2012
Pesara guru maut sebelum sarapan
Shahruzzaman maut berhampiran gerai menjual roti jala kegemarannya.

ALOR SETAR – Hasrat seorang pesara guru bersarapan roti jala kegemarannya tidak kesampaian apabila maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultanah, kira-kira jam 10.15 pagi semalam.

Shahruzzaman Othman, 67, yang menunggang motosikal jenis Modenas, dipercayai terbabas dan terjatuh selepas bergesel dengan sebuah lori.

Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Dee, 46, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang minum di gerai makan berhampiran dan terus membuat panggilan kecemasan.

“Ketika itu, saya lihat motosikal ditunggang mangsa bergerak seiring dengan sebuah lori tanah. Ia kemudian bergesel dan menyebabkan mangsa jatuh ke atas jalan raya.

“Saya kenal mangsa kerana kerap terserempak ketika makan di kedai ini. Namun saya tidak sangka dia yang terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Rohani Aziz, 67, berkata, dia terkejut sewaktu menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi, memaklumkan mengenai kemalangan yang meragut nyawa suaminya.

Menurutnya, Shahruzzaman yang merupakan bekas pengajar di Sekolah Menengah Vokasional Alor Setar, bersara 12 tahun lalu dan bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-67 pada 25 Mei ini.

“Boleh dikatakan setiap hari, dia bersarapan roti jala kegemarannya. Pagi tadi (semalam) makcik keluar dari rumah di Taman Lumba Kuda lebih awal daripada arwah kerana ada urusan lain. Sewaktu dalam perjalanan, makcik terima panggilan dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah makcik memang tidak menyangka dia maut di hadapan kedai roti jala kegemarannya dan tidak sempat menyambut hari jadi,” katanya.

Sementara itu, peniaga roti jala yang enggan dikenali berkata, Shahruzzaman adalah pelanggan tetapnya.

“Pada minggu lalu, sewaktu datang ke gerai, dia terjatuh tidak jauh dari lokasi kemalangan akibat tersepak batu.

“Memang saya tidak sangka kemalangan ini berlaku dan meragut nyawanya,” katanya yang tidak dapat menahan kesedihan.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Jamil Ahamed mengesahkan kejadian berkenaan.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya.