Sekolah tidak perlu sewa van lagi – Sinar Harian


Sekolah tidak perlu sewa van lagi

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Sekolah tidak perlu sewa van lagi
Sabri (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada Ahmad sebagai gimik penyerahan di perkarangan Maahad Muhammadi Pasir Pekan.

TUMPAT – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyumbangkan sebuah van Toyota Hiace bernilai RM104,000 kepada Sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan bagi kemudahan pengangkutan 884 pelajar, di sini.

Penyerahan van tersebut disempurnakan Ketua Eksekutif PKINK, Sabri Abdullah kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, merangkap Adun Pasir Pekan.

Pengetua Maahad Muhammadi Pasir Pekan, Tarmizi Said berkata, sumbangan van ini memberi manfaat besar kepada pelajar.

“Setiap kali aktiviti kokurikulum di luar sekolah, pihak sekolah tidak perlu menyewa pengangkutan lain kerana ada pengangkutan sendiri.

“Begitu juga bagi kegunaan pelajar asrama untuk ke mana-mana destinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan van sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Pelajar, Huda Syafinaz Badri pelajar tingkatan empat berkata, dia gembira dengan sumbangan van tersebut kerana ia kemudahan yang bernilai kepada pelajar.

“Biasanya, setiap kali aktiviti luar, pihak sekolah perlu menyewa bas dan van sekolah, paling dibanggakan di van itu ada nama sekolah,” katanya.

Pelajar tingkatan enam, Siti Salsadila Ishak berkata, wajar di setiap sekolah ada pengangkutan sendiri dan sumbangan ini merealisasikan impian pelajar di sini.

“Ia aset berharga sekolah kami dan terima kasih kepada PKINK atas keprihatinan mereka menyumbangkan van kepada sekolah kami,” katanya.