Mabuk sebelum waktu sahur – Sinar Harian


Mabuk sebelum waktu sahur
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Julai 2012

Anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan.
BANDARAYA MELAKA – Akibat terlalu panik, seorang lelaki yang sedang leka minum arak lari lintang pukang apabila pusat hiburan dikunjunginya diserbu sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), awal pagi semalam.

Bagaimanapun, lelaki berusia 40-an itu berjaya ditangkap anggota penguatkuasa ketika Operasi Cegah Jenayah Syariah yang dijalankan kira-kira 12.30 tengah malam dan berakhir 3 pagi.

Lelaki itu antara dua individu yang ditahan daripada 30 orang diperiksa dalam serbuan ketiga buah premis di Batu Berendam dan Melaka Raya oleh 20 anggota penguatkuasa diketuai Ketua Operasinya, Zulkifli Zainal.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, sebanyak 28 saman dikeluarkan dalam operasi dilakukan dengan kerjasama polis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu.

“Seramai 30 umat Islam termasuk 24 wanita berusia 17 hingga 50 tahun dikenakan tindakan atas beberapa kesalahan jenayah syariah, iaitu lima orang meminum arak, selain 24 wanita berkelakuan tidak sopan di tempat awam. Manakala, seorang lelaki ditahan atas kesalahan berpakaian menyerupai wanita.

“Dua daripada mereka ditahan termasuk lelaki yang cuba melarikan diri. Manakala, selebihnya dikenakan saman supaya hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Rahimin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 50, Seksyen 71 dan Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991