Pelajar kecewa dituduh terbabit kes buli – Bernama


Pelajar kecewa dituduh terbabit kes buli

2013/04/13 – 17:13:40 PMCetakEmel Kawan
BUTTERWORTH: Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah Sekolah Menengah di sini kecewa kerana dituduh membuli seorang pelajar lain, bulan lalu.

Luqman Al Hakim Ahmad, 15, menafikan bahawa dia terbabit dengan kes itu dan suadh membuat laporan polis sebaik mengetahui gambarnya dimuat naik di laman sosial dan dianggap sebagai suspek utama kejadian itu.

Dia turut merasa trauma untuk keluar rumah, katanya.

“Saya pelik apabila ibu bertanya sama ada saya terbabit dengan kejadian buli di sekolah. Ibu beritahu sepupu saya ada datang ke rumah dan maklumkan bahawa gambar saya dimuat naik di blog kerana membuli seorang pelajar.

“Saya terus periksa telefon bimbit saya dan terkejut melihat banyak nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin telefon saya. Kemudian saya semak akaun Facebook, Twitter dan Instagram saya yang semuanya penuh dengan komen dari orang yang saya tak kenal.

“Mereka tuduh saya macam-macam, saya jadi takut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anak bongsu dari lima beradik itu kemudiannya bertindak menutup sementara akaun lama sosialnya kerana tertekan dengan tohmahan orang ramai yang tidak tahu keadaan sebenar.
“Saya juga tidak boleh tidur lena, susah untuk beri tumpuan ketika belajar dan takut untuk keluar rumah kerana bimbang dicederakan,” katanya.

Baru-baru ini tersiar sebuah klip video di Facebook dan Youtube yang memperlihatkan seorang pelajar lelaki dibelasah bertubi-tubi oleh seorang pelajar yang kemudiannya turut disertai dua pelajar lain.

Jabatan Pelajaran Negeri berkata ketiga-tiga pelajar terbabit sudah dikenakan tindakan dibuang sekolah sementara mangsa dilapor tidak mengalami kecederaan serius.

Luqman Al Hakim yang mengenali ketiga-tiga pelajar terbabit berkata ketika kejadian dia berada di dalam kelas yang berlainan dan hanya mengetahui insiden itu seminggu selepas kejadian.

“Saya hairan kenapa saya dikaitkan dalam kejadian itu, mungkin mereka ingat saya yang terbabit sebab wajah saya mirip salah seorang daripada pelajar berkenaan, kemudian gambar saya disebar di Internet,” katanya. – BERNAMA

Ibu bapa diminta tidak terpedaya – Sinar Harian


Ibu bapa diminta tidak terpedaya

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Januari 2013
Ibu bapa diminta tidak terpedaya
K Anjadevi, 52, (kiri) dari Kampung Sungai Yu lega menerima sumbangan RM100 untuk menampung perbelanjaan persekolahan empat cucunya.

TANJONG KARANG – Ibu bapa diminta tidak mudah terpedaya dengan helah pembangkang berhubung bantuan yang diberikan Kerajaan Persekutuan termasuk Bantuan Persekolahan RM100 yang kini disalurkan di seluruh negara.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihak sekolah perlu memastikan supaya bantuan RM100 itu diberikan sepenuhnya kepada murid-murid tanpa sebarang potongan.

Menurutnya, isu bayaran yuran dikenakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) bukan untuk kerajaan tetapi membiayai aktiviti dirancang demi pembangunan pendidikan anak murid.

“Tidak timbul isu yang mendakwa yuran berkenaan dinaikkan selepas kerajaan persekutuan memberikan bantuan RM100 kepada murid.

“Ini satu dakwaan tidak berasas oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana yuran PIBG bukan untuk tabung kerajaan sebaliknya untuk aktiviti persatuan berkenaan di sekolah masing-masing.

“Perkara ini perlu diterangkan, kita tidak mahu ibu bapa keliru dan pihak tidak bertanggungjawab putar belit isu ini sedangkan yuran persekolahan memang diberikan percuma oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan IBu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Sungai Terap dan Penyampaian Bantuan Persekolahan RM100 Parlimen Tanjong Karang, di sini semalam.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, pembangkang tidak akan bersetuju dengan program dan bantuan diberikan dan akan buat macam-macam tuduhan seperti ‘tangan kanan memberi, tangan kiri ambil semula’.

Beliau turut meminta semua pihak supaya berhati-hati terutamanya mereka yang menguruskan bantuan berkenaan kepada rakyat, agar mesej dan tujuan utama kerajaan persekutuan mencapai sasaran iaitu bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Tuduhan dibuat sangat tidak masuk akal, jadi setiap mesej bantuan yang kita berikan perlu jelas dan mengikut ketetapan yang dibuat.

“Seperti bantuan persekolahan ini, kita mahu ia sampai terus kepada murid-murid dan ibu bapa tanpa perlu dipotong hanya dengan alasan mereka mempunyai tunggakan,” katanya.

Ibu rayu gadis dua kali hilangkan diri pulang – Bernama


Ibu rayu gadis dua kali hilangkan diri pulang

30 September 2012

KUALA TERENGGANU – Seorang ibu yang bimbang dengan keselamatan anak perempuannya, yang menghilangkan diri buat kali kedua bulan lepas, merayu gadis berusia 17 tahun itu supaya segera pulang ke pangkuan keluarga.

Zakiah Abdul Majid, 49, berkata anaknya Noor Farah Hieza Mokhtar bertindak keluar daripada rumah pada Hari Raya kedua pada 20 Ogos lalu dengan memakai Baju-T dan seluar pada kira-kira 2 petang.

Menurutnya anaknya sudah berhenti sekolah semasa tingkatan tiga dan membantu keluarga menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Kami balik ke rumah kira-kira pukul 1 petang dan abangnya katanya dia adiknya keluar rumah sebelum itu. Abang dia ingat dia nak pergi ke rumah kawan dekat rumah kami tetapi kira-kira pukul 4 petang kami pergi cari tapi dia tiada.

Katanya pada sebelah pagi pada hari kejadian, anaknya bersama keluarga telah pergi menziarahi sanak saudara sempena Aidilfitri di Bukit Kecil di sini.

“Saya percaya Farah hanya membawa kad pengenalan sahaja kerana duit serta telefon bimbitnya ditinggalkan di rumah,” katanya kepada Bernama di Chendering, dekat sini, hari ini.

Zakiah berkata anaknya pernah menghilangkan diri kali pertama pada Mei lepas dan berjaya ditemui semula di Johor Baharu, 17 hari kemudian.

Beliau berkata sebelum menghilangkan diri bulan lepas anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan tidak mengetahui sama ada anaknya mempunyai
teman lelaki.

“Saya bersama suami sentiasa bimbang dengan keselamatan anak kami sampai jatuh sakit, maklumlah orang di luar itu macam-macam,” katanya dengan nada sebak.

Sementara itu, bapa gadis itu, Mokhtar Harun merayu sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung anaknya supaya menghubunginya di talian 014-8324040 atau mana-mana balai polis. – Bernama

Aidilfitri lebih bermakna – Metro


Aidilfitri lebih bermakna

Oleh Mohamad Naufal Mohamad Idris
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: “Dapat juga saya beli baju Melayu, songkok dan samping. Jarang saya dapat peluang begini,” kata Salman Hakimi Malik, 7, antara anak yatim dari Rumah Kesayanganku Bukit Beruntung dan Kondo Rakyat Pantai Dalam yang diberi peluang membeli-belah dalam Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media anjuran Kelab Kebajikan, Sukan & Rekreasi, Jabatan Pengarang The New Straits Times Press (NSTP) di Pasaraya Giant, Seksyen 13 di sini, semalam.

Salman ketika ditemui berkata, dia gembira dapat bersama kawan-kawan membeli-belah barang keperluan Aidilfitri dan merasakan sambutan kali ini lebih bermakna.
“Saya dan rakan-rakan bersyukur kerana dapat pilih macam-macam barang untuk Aidilfitri dan saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menaja kami,” katanya.

 

Salman adalah antara 180 anak yatim yang dibawa khas untuk program anjuran Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi NSTP bersama Giant dan Adabi itu.
Semua anak yatim diberi baucar Giant RM70 setiap seorang untuk membeli kelengkapan hari raya di pasar raya itu, selain menerima sumbangan duit raya daripada Adabi.
Pengerusi Kelab, Shahiman Sharip berkata, 1Malaysia Amal Media adalah sebahagian daripada projek kebajikan warga NSTP membantu golongan kurang bernasib baik ketika Ramadan dan Syawal, sekali gus menyahut seruan kerajaan ke arah masyarakat prihatin dan penyayang.

 

 

“Selain meraikan anak yatim ini, kita juga adakan program bubur lambuk 1Malaysia yang sudah bermula sejak 22 Julai lalu dan akan berakhir pada Isnin ini. Permulaan program ini diadakan di Ibu Pejabat NSTP di Bangsar dan akan berakhir di Seri Pentas TV3, Bandar Utama,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program itu di sini.
Pada majlis itu, sebanyak 14 periuk bubur lambuk dimasak di pekarangan Giant untuk diagihkan kepada orang ramai. Hadir sama Pengurus Pemasaran Adabi, Adrian Roslan; Pengurus Pemasaran GCH Retail (M) Sdn Bhd, Ho Mun Chu dan Duta Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media, artis Farawahida.

 

Shahiman berkata, Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media itu yang mula diperkenalkan sejak sembilan tahun lalu diteruskan tahun ini berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/13

Najib beri tempoh 3 bulan – Utusan


Najib beri tempoh 3 bulan

 

Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my

 

KUANTAN 21 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sedang diteliti pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

Menurut Perdana Menteri, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai ‘rumah siap, pahat berbunyi.’

“Sebelum ini saya dengar yang di bawah, kenaikannya terlalu rendah dan yang di atas kenaikannya terlalu tinggi, macam-macam saya dengar.

“Tak apalah, saya bagi tempoh tiga bulan kepada jawatankuasa ini kaji semula dan insya-Allah kita akan dapatkan hasil yang disifatkan sebaik-baiknya supaya kita dapat memberi kepuasan kepada semua,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Awam bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang dekat sini hari ini.

Majlis yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu disertai kira-kira 7,000 kakitangan awam melibatkan pelbagai peringkat termasuk Pusat dan negeri.

Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam ditubuhkan setelah Najib mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) baru-baru ini mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang didakwa tidak adil terhadap mereka.

Sementara itu, dalam ucapannya juga, Najib sekali lagi mengingatkan penjawat awam bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir maka sebab itu pendekatan sekarang adalah secara merendah diri.

Katanya, malah beliau sendiri tidak boleh mendakwa bahawa kerajaan yang ada sudah cukup sempurna dan mana-mana kepincangan yang wujud perlu diperbetulkan dan ditambah baik.

“Kalau rakyat kata tak betul, kita lakukan penambahbaikan, kalau sudah laksanakan pun, kalau perlu kaji, kita kaji balik. Yang penting sekali, rakyat terbela sepenuhnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, pemberian subsidi secara langsung seperti menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat memberi impak besar kepada penerima yang cukup menghargainya.

Katanya, ini berbeza dengan pemberian subsidi tidak langsung seperti petrol, gas memasak dan barangan keperluan asas lain walaupun jumlahnya melibatkan peruntukan yang jauh lebih besar.

“Subsidi untuk keperluan asas ini bertambah setiap tahun dengan tahun ini sahaja kita sediakan RM22 bilion untuk membantu rakyat. Tetapi anehnya yang BR1M ini kita bagi RM500, dia punya impak lebih daripada RM22 bilion.

“Saya semalam di Wilayah Persekutuan, tengok penerima dapat RM500, cium tangan kita tahap lain macam. Rupanya impak tunai lain, ia berkait psikologi manusia. Bila dapat tunai, orang Kedah kata ‘ketaq lutut.’

“Apa pun kita buat ini kerana rakyat perlukan bantuan kerajaan yang kita boleh berikan hasil daripada perancangan jangka panjang kita,” ujarnya.