‘Macam mana anak saya nak ke sekolah’ – Sinar Harian


‘Macam mana anak saya nak ke sekolah’
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Jun 2012

Sharipah Ismail buntu memikirkan hal persekolahan anaknya selepas tinggal sehelai sepinggang akibat rumah yang didiaminya di Bukit Besi hangus dalam kebakaran huj
JERANGAU SUNGAI – “Sekolah akan dibuka semula sehari dua lagi, tapi anak saya masih tidak mempunyai pakaian sekolah kerana hangus dalam kebakaran tempoh hari, saya tidak tahu di mana harus mengadu. Itu luahan Sharipah Ismail, 46, ibu tunggal yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Bukit Besi, kira-kira jam 8.50 malam, 29 Mei lalu.

Sharipah yang kini menumpang teduh di rumah anak perempuannya, Norhayati Hitam, 25, dekat sini berkata, sebagai ibu tunggal, dia hanya bergantung harap dengan hasil menoreh getah bagi menyara kehidupan.

Menurutnya, kejadian kebakaran itu membuatkan fikirannya benar-benar buntu memikirkan nasib keluarganya kerana segala perkakas rumah serta pakaian sekolah anaknya, Fatira Hitam, 11, musnah dalam tragedi yang meranapkan rumah yang sebelum ini dihuni kakaknya, Rokiah Ismail, 56.

Sharipah berkata, disebabkan kemiskinan hidup, dia tiada tempat tinggal setelah suaminya, Hitam Muda,70 meninggal dunia tiga bulan lalu akibat asma.

“Saya tiada duit simpanan langsung, pendapatan dengan mengambil upah menoreh getah hanya cukup untuk membeli keperluan makanan sahaja, itu pun tidak menentu.

“Kalau anak saya tiada pakaian, bagaimana dia hendak ke sekolah dalam masa terdekat. Ini yang paling merunsingkan. Nak beli baru, saya tak ada duit, hidup sekarang pun menumpang di rumah anak,” katanya.

Sharipah berkata, sebagai warga miskin, apatah lagi wanita berstatus ibu tunggal yang tiada sumber pendapatan, dia amat berharap agar pihak berkenaan dapat menyediakan tempat tinggal untuk membolehkan dia dua beranak berteduh bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, sebagai insan daif, dia tidak tahu bagaimana ingin membebaskan dirinya dari kemelut kemiskinan yang sentiasa menghimpit kehidupannya.

“Bagi mata yang memandang, mereka bercakap memang senang, tapi bagi saya yang melaluinya, hanya Tuhan tahu peritnya,” katanya.