Ditemui merayau – Metro


Ditemui merayau
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

ALOR GAJAH: Menyedihkan apabila seorang pelajar madrasah ditemui berkeliaran tanpa hala tuju dalam keadaan berkaki ayam dan berpakaian lusuh di pekan ini, Isnin lalu.

Mangsa berusia 13 tahun yang memakai seluar dan baju sukan berwarna kuning serta bertopi merah itu ditemui kebingungan oleh anggota keselamatan kira-kira jam 9 malam.
Sumber berkata, beberapa anggota keselamatan yang melihat gerak-geri mangsa mendekatinya dan meminta dia menunjukkan rumahnya.

“Anggota keselamatan kemudian membawa pelajar itu ke beberapa rumah di sekitar pekan ini, namun penghuninya menafikan itu adalah anak mereka.
“Selepas buntu mencari rumahnya, pelajar itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya di sini, semalam.
Katanya, pelajar malang itu dihantar ke JKM bagi mendapatkan perlindungan sementara sebelum usaha mengesan ibu bapanya dilakukan.
Pegawai JKM Daerah Alor Gajah, Shahrawati Shahruddin berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima pelajar terbabit yang ditemui merayau di sekitar pekan ini, kelmarin.
Katanya, mangsa dihantar dua anggota keselamatan kira-kira jam 2 petang dan pihaknya mendapati pelajar itu seperti ketakutan dan hanya mendiamkan diri.

“Selepas dipujuk, pelajar itu memberitahu dia tinggal di Tanjung Agas, Port Dickson. Kami kemudian terus ke rumah keluarganya dan diberitahu mangsa masih bersekolah di sebuah madrasah di Gadek, dekat sini, sebelum membawanya ke sana.
“Pengetua madrasah mengakui budak itu adalah pelajarnya dan memberitahu sudah membuat laporan polis berhubung kehilangannya,” katanya.
Menurutnya, pelajar itu kemudian diserahkan kepada madrasah berkenaan memandangkan dia masih belajar di sana.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan terus memantau pergerakan pelajar terbabit bagi mengelak kejadian sama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/26

Anak gadis lari ikut kekasih – Sinar Harian


Anak gadis lari ikut kekasih

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mei 2012
Anak gadis lari ikut kekasih
Gambar Hazirah (belakang, kanan) bersama adik- beradiknya.

JELI – Seorang bapa di sini,meminta bantuan orang ramai untuk mencari anak gadisnya, yang didakwa terpedaya dengan pujuk rayu kekasihnya, sehingga sanggup melarikan diri.

Sudah 10 hari Hazirah Yusof, 16, menghilangkan diri, dan kejadian itu disedari bapanya setelah pulang dari madrasah berhampiran, apabila dimaklumkan anak gadisnya meninggalkan rumah di Kampung Sungai Long, Batu Melintang dengan menaiki kereta Iswara kira-kira jam 8 malam minggu lalu.

Bapa gadis berkenaan, Yusuf Musa, 57, berkata, sebelum ini anaknya sudah tiga kali bertindak meninggalkan rumah namun, akan pulang semula selepas beberapa hari kemudian.

Yusuf berkata, mereka sekeluarga tidak pernah memarahinya walaupun dia pernah melakukan kesalahan.

“Tidak tahu apa sebab dia  mengambil keputusan itu, saya percaya Hazirah diperdaya dengan pujuk rayu kekasihnya.

“Kerana lelaki itu dia sanggup meninggalkan kami sekeluarga, dan saya berharap orang ramai yang menjumpai Hazirah segera menghubungi saya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, sebelum keluar dari rumah Hazirah sempat memberitahu ibunya yang dia mahu ke kedai berdekatan untuk membeli barang.

Tambahnya, alasan yang diberikan Hazirah membuatkan isteri Zainab Yusuff, 46, tidak mengesyaki apa-apa, kerana anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahaningin lari rumah.

“Kehilangan Hazirah membimbangkan kami sekeluarga, kerana selepas dia keluar rumah masih tiada khabar berita mengenainya walaupun sudah banyak tempat kami cari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan, Sheik Azhar Sheik Omar mengesahkan ada menerima laporan itu dan siasatan akan dijalankan