Mahasiswa dan peduli pendidikan – Sinar Harian


Mahasiswa dan peduli pendidikan
MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH
11 Jun 2012
FALSAFAH Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta 550 – Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menyatakan: “Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”. Frasa ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai definisi pendidikan yang ditunjangi falsafah yang tersendiri dan termaktub secara rasmi dalam undang-undang negara.

Walau bagaimanapun, sistem dan pengamalan pendidikan nasional dilihat masih di takuk yang kurang memberangsangkan. Isu-isu berkaitan pendidikan, persekolahan, perguruan, keciciran pelajar dan prestasi yang memalukan mengikut piawaian antarabangsa dilihat sebagai sesuatu petanda kemerosotan dan masalah besar sistem pendidikan negara.

Dalam usaha mentransformasi sistem pendidikan negara, Kementerian Pendidikan kini mengambil inisiatif mengadakan dialog nasional pedidikan negara yang diadakan di seluruh negara bagi memungut suara dan pendapat rakyat Malaysia nerhubung isu pendidikan. Keprihatinan dan usaha Kementeroan Pelajaran ini wajar dipuji, namun mahasiswa dan pelajar tidak mahu perbincangan seluruh negara ini sekadar menjadi suatu sandiwara tanpa tindakan yang konkrit dan menguntungkan.

Mengambil peluang daripada inisiatif Kementerian Pelajaran ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menganjurkan Diskusi Meja Bulat isu Halatuju Pendidikan Nasional dan Masa Depan Negara. Diskusi tidak hanya tertumpu kepada isu pendidikan melibatkan persekolahan malah menjangkau isu di Institut Pengajian Tinggi dan keseluruhan sistem berkaitan seperti ekonomi dan sistem sokongan sosial.

Diskusi Meja Bulat ini telah diadakan pada 10 Jun 2012 bertempat di Kolej Dar al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Kajang Selangor.

Diskusi ini dihadiri oleh wakil-wakil Persatuan Pelajar Islam negeri-negeri seluruh Malaysia. Persatuan-persatun yang terlibat dalam diskusi ini ialah Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias), Persatuan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP), Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP), Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ), Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Pulau Pinang (PEMBIMBING), Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN), Persatuan Pelajar Islam Darul Aman, Kesatuan Pelajar Islam Terengganu, Persatuan Pelajar Islam Kelantan, Persatuan Pelajar Islam Melaka, Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan dan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak.

Pelbagai dapatan dan cadangan diterima daripada para perwakilan meja bulat. Antara isu hangat yang dibincangkan ialah isu pendidikan Islam, tulisan jawi dan bahasa kebangsaan, pendidikan untuk golongan kurang upaya, pendidikan jasmani, pendidikan berteraskan prinsip Sembilan Kebijaksanaan, pendidikan guru, pengisian Latihan Dalam Perkhidmatan, bebanan subjek, peranan masyarakat, pengkomoditian ilmu, politisasi dalam institusi pendidikan dan lain-lain lagi.

Diskusi Meja Bulat ini diharap dapat membantu pihak Kementerian Pelajaran untuk menggubal sistem pendidikan sedia ada yang dilihat sedang tenat dan memerlukan transformasi segera.
Mohammad Fazril Mohd Saleh, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia