Remaja mengaku salah pecah masuk sekolah, curi komputer riba – Bernama


Remaja mengaku salah pecah masuk sekolah, curi komputer riba

8 Ogos 2012
PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memecah masuk sebuah sekolah agama dan mencuri komputer riba serta wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM3,000 tahun lepas.

Mohd Shah Rezzan Asmara, 19, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu tetapi menukar pengakuannya ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Surya Wati Shawal, hari ini.

Mohd Shah Rezzan didakwa bersama seorang lagi rakannya memasuki pejabat guru di Sekolah Agama KAFA, Jalan SS 15/2E Subang Jaya antara 6 petang pada 17 Januari 2011 dan 7.30 pagi, keesokan hari.

Bagaimanapun, rakannya itu, Muhamad Aizat Arizan, 22, mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya. Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mohd Shah Rezzan yang diwakili peguam Azry Ahmad memohon mahkamah mempertimbang pengakuan bersalah dan usia muda anak guamnya itu sebelum menjatuhkan hukuman.

Mahkamah menetapkan 21 September untuk menjatuhkan hukuman serta sebut semula kes Muhamad Aizat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala Muhamad Aizat diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin. – Bernama

Remaja didakwa bunuh ibu angkat – Metro


Remaja didakwa bunuh ibu angkat
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

DIDAKWA…remaja bawah umur (kanan) bersama kakak tirinya dibawa ke mahkamah, semalam.
KLANG: Seorang pelajar berusia 16 tahun dan kakak tirinya dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh ibu angkat berusia 72 tahun dengan cara menekup muka mangsa dengan bantal di Klang dekat sini, dua minggu lalu.

Remaja itu dan pekerja, Zahidah Ahmad, 29, yang memakai baju lokap berwarna ungu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ho Kwong Chin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Sepanjang prosiding, remaja itu dilihat mengalirkan air mata, manakala Zahidah kelihatan tenang.

 

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa membunuh Tanziah Zainuddin yang juga guru agama di sebuah rumah di Taman Sri Wangi, Kapar, Klang jam 5.30 petang pada 14 Julai lalu.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/28

Penjual batu permata didakwa culik anak Datuk – Bernama


Penjual batu permata didakwa culik anak Datuk

25 Julai 2012
SHAH ALAM – Seorang penjual batu permata dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan menculik, mengurung dan menahan seorang budak lelaki berumur sembilan tahun yang juga anak kepada seorang ‘Datuk’, bagi menuntut wang tebusan RM850,000 tujuh tahun lepas.

K. Sangelee Thevan, 38, dari Kulim, Kedah, didakwa bersama V. Ayakannu, 39, yang telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan sama serta dua lagi yang masih bebas melakukan perbuatan itu di Seksyen 13 di sini, kira-kira 1.30 tengah hari pada 4 Mac 2005.

Sangelee Thevan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang ditangkap pada 12 Julai lepas mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, namun tiada pengakuan direkodkan. Majistret Nurul Syahida Zainal menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 2007, Ayakannu, seorang buruh kontrak, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas dia mengaku bersalah terhadap kesalahan itu. – Bernama

Remaja didakwa bunuh seorang lelaki – Bernama


Remaja didakwa bunuh seorang lelaki

25 Julai 2012
PETALING JAYA – Seorang remaja yang menganggur hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan membunuh seorang lelaki tahun lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian pada tahun lepas didakwa membunuh A.Murugaiyah, 24, di lampu isyarat Batu 16, Sungai Pelong, Jalan Kuala Selangor, di antara 3 pagi hingga 5 pagi, 12 Disember 2011.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Kubur guru digali semula – Utusan


Kubur guru digali semula

Oleh AZRAN FITRI RAHIM dan YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Anggota Polis mengangkat jenazah seorang guru di Tanah Perkuburan Islam Lada Wakaf Bharu yang digali semula selepas mendapat perintah Mahkamah Majistret Tumpat , semalam.
TUMPAT 16 Jun – Kubur seorang guru yang meninggal dunia kelmarin terpaksa digali semula pada petang ini selepas bapanya membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya itu mati disebabkan dipukul oleh suaminya sendiri.

Allahyarham berusia 40-an dikebumikan pada hari yang sama di Tanah Perkuburan Islam Lada, Wakaf Bharu dan sebelum ini dikatakan meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mendapatkan perintah Mahkamah Majistret Tumpat untuk menggali semula kubur guru wanita itu.

“Semalam kita telah menerima laporan oleh bapa si mati mengatakan arwah meninggal dunia di sebabkan dipukul oleh suaminya.

Lelaki dituduh bunuh kanak-kanak – Bernama


Lelaki dituduh bunuh kanak-kanak

2012/05/10

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana membunuh seorang kanak-kanak perempuan bulan lalu.

Abdul Aziz Abdullah, 44 dari rumah bernombor 01-10 Blok 12, Jalan Desa Mutiara 7, Taman Desa Mutiara Taman Desa Mutiara yang ditahan pada 26 April, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Nur Jalilah Abdullah, 12, di rumahnya pada 1 tengah hari 25 April lalu.

Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya. Majistret Noor Aisyah Ahmad menetapkan 28 Jun sebagai tarikh sebutan kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

Remaja lelaki bunuh bapa didakwa – Bernama


Remaja lelaki bunuh bapa didakwa

10 Mei 2012

IPOH – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan membunuh bapanya minggu lepas.

Remaja bawah umur itu dituduh membunuh bapanya yang berusia 40 tahun, di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai antara pukul 11.30 malam, 30 April dan 12.30 malam, 1 Mei lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof di dalam kamar Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Peguam tertuduh K.Nahtan yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya telah memohon kepada mahkamah untuk merujuk remaja itu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu itu tiba pada kira-kira 9.30 pagi di mahkamah tanpa ditemani anggota keluarganya.

Selepas pendakwaan dilakukan, remaja itu kelihatan bersahaja ketika jurugambar berpusu-pusu merakam gambarnya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang merupakan peniaga kayu ditemui mati dalam bilik tidurnya dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam dengan pisau di bahagian perutnya. – Bernama

Pekerja pemasangan wayar didakwa bunuh guru – Bernama


Pekerja pemasangan wayar didakwa bunuh guru

2012/04/25

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pemasangan wayar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini, terhadap pertuduhan membunuh seorang guru wanita di Rawang, bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh, N Sritharan hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki.

Sritharan, 19, didakwa bersama seorang lagi, yang masih bebas, membunuh S Usharani, 47, di Perhentian Bas PKNS, Batu 17, Jalan Ipoh, Rawang, Gombak dekat sini, pada jam 7 pagi 27 Mac lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Terdahulu, peguam K Muthiah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan merujuk kepada pihak pendakwaan untuk mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi anak guamnya kerana mangsa meninggal semasa berada di hospital dan bukan di tempat kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Abd Raheem Aliyas.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Jun untuk sebutan kes.
Akhbar sebelum ini melaporkan guru wanita itu cedera selepas disimbah cecair dipercayai asid ketika sedang menunggu bas untuk ke sekolah di perhentian bas Batu 17, Rawang. – BERNAMA

Bapa balik, remaja tidak sempat berasmara – Sinar Harian


Bapa balik, remaja tidak sempat berasmara

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 April 2012

BALING – Seorang remaja 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling setelah dituduh mencabul kehormatan kekasihnya pada 9 April lalu di rumahnya di Kampung Seberang Ketil, Kupang, di sini.

Ketiadaan ibu dan bapa di rumah mengakibatkan tertuduh nekad membawa kekasihnya yang berumur 13 tahun itu ke rumahnya untuk bermadu asmara.

Namun, tertuduh hanya sempat meraba buah dada dan kemaluan kekasihnya setelah ayahnya pulang ke rumah secara tiba-tiba.

Tertuduh menipu ayahnya dengan mengatakan kekasihnya itu hanya seorang rakannya sebelum bertindak menghantar kekasihnya pulang ke rumah.

Perbuatan tertuduh terbongkar setelah kekasihnya itu dikatakan telah melarikan diri dari rumah dan sedang dicari oleh ahli keluarga perempuan itu.

Tindakan menghantar pulang kekasihnya membawa padah setelah keluarga kekasihnya itu curiga dengan tindakan tertuduh menghantar anak gadis keluarga itu ke rumah.

Sehubungan itu keluarga terbabit membuat laporan polis.

Tertuduh yang kelihatan tenang itu mengaku bersalah ketika pertuduhan di bacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizudin Ramli.

Berikutan tertuduh masih dibawa umur, mahkamah menetapkan 20 Mei untuk laporan akhlak sebelum diberikan hukuman yang setimpal kepada tertuduh.

Tertuduh disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000.

Sementara itu, seorang lagi remaja berusia 15 tahun dari Kampung Guar Reban mengaku bersalah selepas dituduh mencabul seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada 13 April lalu.

Remaja terbabit dituduh menceroboh sebuah rumah di Kampung Charuk Bemban sebelum bertindak mencabul seorang gadis di dalam rumah itu dengan meramas buah dadah gadis malang itu.

Mahkamah turut menetapkan 20 Mei untuk laporan akhlak dan mengenakan wang jaminan sebanyak RM 5,000 kepada remaja terbabit.

Remaja tersebut dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, manakala Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Timbalan Pendakwa Raya diwakili Muhamad Syaiful Akmal Mohd Razi.

Guru pukul murid didakwa – Sinar Harian


Guru pukul murid didakwa

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2012
Guru pukul murid didakwa

BUTTERWORTH – Seorang guru pusat asuhan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mendedahkan kepada kecederaan emosi dan fizikal terhadap kanak-kanak berusia lapan tahun menggunakan rotan hingga menyebabkan kecederaan.

Beh Yong Kong, 28, yang merupakan guru lepasan ijazah membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Abdul Wahab.

Dia dituduh dengan sengaja mencederakan mangsa dengan memukulnya menggunakan rotan hingga lebam dan cedera di badan, lengan dan leher di sebuah pusat asuhan, di sini, jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Yong Kong didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda sehingga boleh sampai RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masnuraznim Abd Malik sementara Yong Kong yang hadir berbaju oren diwakili peguam yang enggan namanya dikenali.

Lelaki itu bebas dengan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin oleh kenalannya dan kes disebut semula 7 Mei depan.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak mendakwa dirotan oleh pengasuhnya hingga cedera.

Sehari selepas itu, ibu kanak-kanak tersebut membuat laporan polis.

Kejadian itu disedari ibu mangsa semasa menjemput anaknya pulang ke rumah tengah hari semalam sebelum bertindak membuat laporan polis sejurus selepas itu.