Sumbang mahram: Pengutip kelapa sawit dipenjara, sebat – Utusan


Sumbang mahram: Pengutip kelapa sawit dipenjara, sebat

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 5 Sept. – Seorang pengutip kelapa sawit terpaksa meringkuk dalam penjara selama 15 tahun dan dikenakan sebatan 12 kali atas dua kesalahan sumbang mahram dengan anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 12 tahun.

Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini diketuai oleh Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus ketika menolak rayuan akhir lelaki itu terhadap sabitan manakala rayuan terhadap hukuman dibenarkan.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Lim Yee Lan mengurangkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 24 kali yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya.

Panel itu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan enam kali bagi setiap tuduhan. Hukuman diperintah berjalan serentak.

Pada 6 November 2009, Mahkamah Sesyen Melaka menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 12 kali bagi setiap tuduhan yang diperintahkan berjalan serentak. Mahkamah Tinggi pula mengekalkannya pada 14 Januari tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, V. Shoba manakala lelaki berusia 47 tahun itu diwakili oleh peguam V. Aravindhakshan. – UTUSAN

Kes rogol: Hormati keputusan mahkamah ke atas Noor Afizal – Bernama


Kes rogol: Hormati keputusan mahkamah ke atas Noor Afizal

29 Ogos 2012
Pemain boling tenpin handalan kebangsaan Noor Afizal Azizan
Pemain boling tenpin handalan kebangsaan Noor Afizal Azizan.

KUALA LUMPUR- Keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan pemain boling tenpin handalan Noor Afizal Azizan dengan perintah berkelakuan baik dan ikat jamin kerana merogol gadis bawah umur perlu dihormati dan kemuliaan mahkamah perlu dipelihara dan disanjungi.

Menegaskan demikian, Setiausaha agung Majlis Kebangsaan Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk M.Ramalingam berkata hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah bersusah payah menjelaskan rasional di sebalik keputusan mereka terhadap “pesalah terhadap kanak-kanak buat pertama kalinya itu”.

Noor Afizal diperintah berkelakuan baik selama lima tahun dan ikat jamin RM25,000 kerana kesalahan berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata: “Tidak timbul soal hakim-hakim kita menyalahgunakan peluang yang dibentangkan pada semakan kehakiman demi kepentingan masyarakat sivil.

“Ía menuntut kebijaksanaan dan pengetahuan serta perpaduan hakim untuk mencapai keputusan yang dapat diterima secara sah dengan kepentingan awam dilindungi dengan betul,” kata beliau.

Pada 8 Ogos, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Noor Afizal supaya dikekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 5 Julai tahun lepas yang memerintahkannya berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikan jamin RM25,000.

Mahkamah tersebut mengambil kira beberapa faktor termasuk kewujudan hubungan seks atas persetujuan bersama antara tertuduh dengan gadis berkenaan.

Noor Afizal, 21, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu ke atas gadis berusia 13-tahun di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka antara 12.30 pagi dan 5 pagi 5 Jun, 2009.

Namun berikutan rayuan pihak pendakwa, Mahkamah Tinggi Melaka pada 20 Sept tahun lepas menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Noor Afizal.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif dalam membenarkan rayuan pihak pendakwa untuk hukuman lebih berat, sebulat suara mengetepikan hukuman penjara lima tahun ke atas Noor Afizal oleh Mahkamah Tinggi itu.

Pemain boling tenpin itu pernah mewakili Negeri Sembilan antara 2004-2010 dan serentak itu, mewakili Malaysia dalam Kategori Belia Kebangsaan selama lima tahun (2004-2008).

Noor Afizal juga pernah beraksi di Kejohanan Terbuka Thailand International pada April tahun ini, dan dijangka mewakili Kedah dalam beberapa pertandingan yang bekal menjelang termasuk Kejohanan Terbuka Antarabangsa KL 2012. -Bernama

Rayuan empat pelajar batal PPSMI ditolak – Utusan


Rayuan empat pelajar batal PPSMI ditolak

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 23 Mei – Empat pelajar termasuk anak bekas Menteri Besar Perak gagal mendapat perintah agar dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diisytiharkan batal dan tidak sah, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka hari ini.

Mereka ialah Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar, 16, Mohammad Fadzil Nor Mohd. Rosni, 21, Nur Najihah Muhaimin, 21, dan Syazaira Arham Yahya Ariff, 22. Kesemuanya mengemukakan permohonan itu melalui bapa masing-masing.

Mahkamah berpuas hati rayuan mereka untuk mencabar surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan berhubung penguatkuasaan PPSMI, kini bersifat akademik selepas membenarkan bantahan awal pihak Kerajaan. Merit rayuan tidak didengar hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing bersetuju bahawa rayuan itu kini akademik berikutan pemansuhan PPSMI melalui surat pekeliling ikhtisas bertarikh 4 November 2011.

Perayu-perayu diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala pihak Kerajaan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan. – UTUSAN