Lelaki dihukum 12 tahun penjara rogol – Bernama


Lelaki dihukum 12 tahun penjara rogol

2013/07/17 – 17:50:26 PMCetakEmel Kawan
GEORGETOWN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang lelaki kerana merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada 2011.

Hakim Zanol Rashid Hussain mendapati Hasli Yaakob, 35, dari Teluk Bahang, bersalah kerana merogol remaja berkenaan yang ketika itu itu berusia 15 tahun, di sebuah rumah di Teluk Bahang antara 11 dan 18 April 2011.

Ketika merayu supaya hukuman terhadap Hasli diringankan, peguam Andy Ooi berkata lelaki yang bertugas sebagai penyelamat itu perlu menjaga ibu bapanya, tetapi permohonannya dibantah Timbalan Pendakwa Raya DPP Lim Cheah Yit dengan alasan Hasli tidak langsung menunjukkan dia menyesali perbuatannya itu.

Ooi kemudian memohon supaya hukuman itu ditangguhkan, tetapi Zanol menolaknya dan memerintahkan Hasli menjalani hukuman penjara mulai Rabu. – BERNAMA

Padah tempias nafsu songsang – Sinar Harian


Padah tempias nafsu songsang

ADILA SHARINNI WAHID
26 Februari 2013

KOTA BHARU – Padah tempias gelora nafsu songsang terhadap seorang kanak-kanak lelaki, seorang penganggur dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hukuman diputuskan oleh Hakim Azman Mustaph selepas tertuduh didapati bersalah di akhir kes pembelaan.

Wan Mokhtar Wan Sidek, 34, didakwa meliwat mangsa yang berusia 12 tahun tiga bulan berdekatan jambatan Sungai Rasau, Pasir Puteh, dua tahun lalu.

Kesalahan dilakukan pada jam 2.30 petang, 29 Jun 2011.

Bapa dihukum penjara 30 tahun rogol anak perempuan – Bernama


Bapa dihukum penjara 30 tahun rogol anak perempuan

2012/11/29 – 20:30:13 PM Cetak Emel Kawan
PUTRAJAYA: Seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun oleh Mahkamah Rayuan hari ini terhadap tiga pertuduhan merogol anak perempuannya berusia 14 tahun.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus mempengerusikan panel hakim tiga anggota membenarkan rayuan pendakwaan supaya hukuman penjara dijalankan secara berasingan mulai 14 Julai tahun lepas.

Lelaki berusia 55 tahun itu dijatuhi hukuman penjara sejumlah 48 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada 7 Mei 2010 selepas dapati dia bersalah terhadap tiga tuduhan merogol anaknya di sebuah rumah di Ampang pada 18 Ogos 2002, 15 Sept 2002 dan 17 Jan 2003.

Dia dihukum penjara 16 tahun bagi setiap pertuduhan tetapi tidak dikenakan rotan kerana usianya melebihi 50 tahun.

Lelaki itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pada 14 Julai 2011, mahkamah membenarkan rayuannya supaya hukuman penjara berjalan serentak, bermakna dia hanya perlu menjalani hukuman selama 16 tahun.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hishamudin, ketika membenarkan rayuan pendakwaan agar lelaki itu menjalani hukuman penjara secara berasingan, berkata mahkamah berpendapat setiap kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan berbeza.
Bagaimanapun, beliau berkata demi keadilan, mahkamah mengurangkan tempoh hukuman dari 48 tahun kepada 30 tahun selepas mengambil kira dia menjalani hukuman penjara empat tahun dan enam bulan ketika ditahan sewaktu menunggu keputusan Mahkamah Sesyen.

Hishamudin yang mengetuai panel itu bersama hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohtarudin Baki dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zawawi Salleh, berkata tidak ada apa-apa yang menunjukkan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi mengambil kira tempoh tahanan empat tahun dan enam bulan yang dijalani lelaki itu.

Beliau berkata, mahkamah juga turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk usia lelaki itu.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu merogol anak perempuannya apabila isterinya tiada di rumah.

Mangsa menceritakan insiden itu kepada rakan sekelasnya yang kemudian memaklumkan kepada guru disiplin. Guru itu memanggil ibu mangsa ke sekolah dan memberitahu kejadian itu. Mangsa telah membuat laporan polis.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili lelaki itu berhujah sekiranya lelaki itu diarah menjalani hukuman penjara selama 48 tahun, ia akan memberi ‘kesan yang teruk’ kepadanya kerana faktor usia.

Katanya, anak guamnya akan berusia 102 tahun apabila dibebaskan daripada penjara, dan menambah jangka hayat lelaki Malaysia adalah 70 tahun.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abas. – BERNAMA

Guru besar mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah – Berita Harian


Guru besar mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah

2012/11/21 – 11:26:31 AMCetakEmel Kawan
ALOR SETAR: Seorang guru besar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas lima pertuduhan rasuah mambabitkan nilai RM32,400 berhubung pemberian kontrak pembekalan pakaian seragam unit beruniform dua tahun lalu.

Tertuduh, Zakaria Md Lazim, 54, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman dan meminta untuk dibicarakan.

Remaja antara dituduh rompak bersenjata – Sinar Harian


Remaja antara dituduh rompak bersenjata

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 September 2012

KOTA BHARU – Tiga termasuk seorang remaja berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang kakitangan hotel di Tanah Merah, bulan lalu.

Tertuduh pertama, pesalah juvenil yang sudah tidak bersekolah didakwa bersama dua lagi rakannya, Mohammad Faqrie Zakaria, 22, dan Mohd Firdaus Mian, 28.

Mereka bertiga berdepan tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas merompak mangsa, Muhammad Amirul Asyraf Roslee, 16, dengan menggunakan senjata parang serta sabit.

Kesalahan dikatakan berlaku pada jam 3 pagi, 23 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, wang tunai mangsa berjumlah RM400 dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung Duos dilarikan.

Pada prosiding semalam, kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Susulan itu, Hakim Azman Mustpha menetapkan sebutan semula pada 19 September depan.

Kes bersambung di Mahkamah Pasir Mas. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari.