KPWKM syor suspek kes rogol bawah umur dikenakan tindakan undang-undang – Bernama


KPWKM syor suspek kes rogol bawah umur dikenakan tindakan undang-undang

24 Mei 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengesyorkan Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Syariah mempertimbangkan supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap suspek lelaki kes rogol membabitkan kanak-kanak perempuan bawah umur.

Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata menerusi Mahkamah Sesyen, suspek boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan manakala Mahkamah Syariah boleh mengambil tindakan bagi kesalahan persetubuhan haram mengikut Seksyen 80 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.

“Sesungguhnya, undang-undang negara menetapkan bahawa hubungan seksual dengan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dengan atau tanpa kerelaan, dikategorikan kes rogol bawah umur.

“Perkara ini termaktub di bawah perenggan 375(g) Kanun Keseksaan yang dipinda melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2006 [Akta A 1273] yang dikuatkuasakan pada 7 Sept 2007 melalui P.U.(B) 321/2007,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rohani berkata, kerajaan bertanggungjwab melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi, keganasan dan penderaan dari segi aspek fizikal, mental, emosi dan psikologi.

KPWKM memandang serius akan laporan akhbar tempatan berhubung kes di Kota Kinabalu, Sabah ini mengenai perkahwinan bawah umur seorang kanak-kanak perempuan dengan lelaki berumur 40 tahun yang dikatakan telah merogolnya,” katanya.

Riduan Masmud, 40, seorang pengurus restoran didakwa merogol gadis berusia 12 tahun enam bulan dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika perbicaraan.

Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya.

Kelmarin, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi jaminan bahawa kes itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya. – Bernama

Bapa Lepaskan Anak Perempuan 12 Tahun Berkahwin Untuk Elak Maksiat – mStar


Bapa Lepaskan Anak Perempuan 12 Tahun Berkahwin Untuk Elak Maksiat

Oleh SIMREN KAUR

 

Mohd Fahmi Alias dan Nor Fazira Saad, bahagia selepas majlis akad nikah pada 17 November lalu. -foto HARIAN METRO

 

KULIM: Seorang penduduk kampung bersetuju untuk mengahwinkan anak perempuannya berusia 12 tahun dengan pemuda 19 tahun, mengatakan bahawa mereka tidak perlu terjebak dengan perbuatan haram.

Saad Mustafa berkata dia telah berfikir masak-masak tentang perkahwinan anaknya yang masih muda itu dan sedar tanggungjawab dalam kehidupan selepas berkahwin.

“Lebih baik mereka berkahwin daripada melakukan sesuatu yang tak elok (tidak wajar),” katanya di rumahnya di Kampung Padang Cina di sini, Khamis.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan anak perempuan Saad, Nur Fazira Saad, 12, telah berkahwin dengan Mohd Fahmi Alias, 19, minggu lalu selepas keluarga kedua-dua pihak bersetuju untuk menyatukan mereka.

Majlis akad nikah pasangan itu telah diadakan pada Sabtu selepas Nur Fazira mendapat kebenaran Mahkamah Syariah Kulim untuk berkahwin kerana dia masih di bawah umur.

Nur Fazira, yang akan memasuki umur 13 tahun bulan depan dan Mohd Fahmi telah mengenali antara satu sama lain untuk tempoh yang agak lama.

Saad, 43, berkata dia telah meminta Mohd Fahmi untuk berkahwin dengan anak perempuannya selepas anaknya tidak pulang satu malam bulan lepas.

“Keesokan harinya, saudara saya di kampung berhampiran memberitahu saya bahawa Fazira Nur tinggal di tempat Mohd Fahmi,” katanya.

Saad berkata anak perempuannya kemudian memberitahunya bahawa tidak ada apa-apa yang telah berlaku kerana dia telah menghabiskan harinya dengan Mohd Fahmi sebelum dia dihantar ke rumah saudara.

“Saya mengarahkan dia memanggil Mohd Fahmi. Apabila Mohd Fahmi datang ke rumah saya, dia memberitahu saya bahawa dia akan bertanggungjawab terhadap anak perempuan saya dan akan menjaganya.

“Saya kemudian menjawab jika demikian, mereka harus berkahwin,” katanya, sambil menambah dia berharap anaknya akan dijaga oleh suami dan keluarganya.

Akhbar harian itu memetik Mohd Fahmi sebagai berkata bahawa dia berjanji untuk menjadi suami yang baik untuk Nur Fazira.

“Lebih baik berkahwin dan bukannya terlibat dalam maksiat (hubungan haram). Saya bersetuju memang pelik berkahwin pada usia yang begitu muda,” katanya.

Nur Fazira, yang telah berhenti sekolah selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas, berkata dia tidak menganggap umur menjadi halangan, sambil menambah bahawa dia sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri yang baik.

Majlis bersanding pasangan itu akan diadakan di Kampung Naga Lilit, Padang Serai, pada tengah hari Sabtu.

Keluarga restu remaja nikah gadis 13 tahun – Berita Harian


Keluarga restu remaja nikah gadis 13 tahun

2012/11/22 – 03:43:17 AM Oleh Azahar HashimCetakEmel Kawan
Kulim: “Daripada buat maksiat, lebih baik kami kahwin,” demikian kata Mohd Fahmi Alias, 17, yang berhasrat berkahwin dengan seorang budak perempuan yang baru mencecah usia 13 tahun.

Walaupun menyedari hasratnya itu mungkin dibantah termasuk menimbulkan andaian kurang menyenangkan, namun bagi Mohd Fahmi pernikahannya dengan Nor Fazira Saad dianggap sebagai langkah terbaik bagi mereka berdua.

“Saya sudah sedia memikul tanggungjawab untuk bergelar suami. Saya percaya kami boleh berdikari dan saya akan tumpukan kepada perniagaan keluarga untuk menyara hidup kami berdua.

“Saya tidak kisah apa pandangan masyarakat terhadap kami berdua kerana yang penting keluarga di kedua-dua belah pihak sudah bersetuju,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Naga Lilit, di sini, semalam.

Katanya, mereka akan melangsungkan majlis perkahwinan di kediamannya pada 24 November ini.

Ditanya mengenai masa depan Fazira, Fahmi berkata beliau tidak akan menghalang kalau Fazira ingin melanjutkan pelajaran selepas berkahwin dan ia bergantung kepada kemahuan pasangannya itu.

Fazira berkata, usianya bukan penghalang menjadi dan sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.
“Kami sudah dapat restu kedua ibu bapa kami dan saya kini banyak menerima tunjuk ajar keluarga Fahmi yang sememangnya memahami kesulitan dialami saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim, Azmi Ahmad, mengesahkan waris gadis berkenaan membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah Daerah mengikut Enakmen Keluarga Islam 2008 (Pindaan) Negeri Kedah.

Bapa mohon di mahkamah untuk kahwinkan anak enggan pulang rumah – Bernama


Bapa mohon di mahkamah untuk kahwinkan anak enggan pulang rumah

21 November 2012

KULIM – Seorang bapa terpaksa merayu kepada Mahkamah Syariah supaya meluluskan perkahwinan anak gadisnya berusia 12 tahun yang enggan pulang ke rumah tetapi mahu tinggal di rumah teman lelakinya.

Pembantu Pegawai Tadbir Agama Daerah Kulim Azmi Ahmad berkata peristiwa itu berlaku kira-kira dua minggu lalu dan gadis itu dan teman lelakinya berusia 19 tahun akan mendirikan rumah tangga bulan depan.

“Gadis itu baru sahaja mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala pasangannya pula menganggur tetapi ibu bapa mereka bersetuju pasangan itu dinikahkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kem Bina Generasi al-Quran di Masjid Al-Ittihad, Sungai Kob dekat sini hari ini.

Azmi yang mewakili Pegawai Tadbir Agama Daerah Kulim melancarkan program tersebut berkata waris gadis berkenaan telah membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah Daerah sebagai mematuhi Enakmen Keluarga Islam 2008 (Pindaan) Negeri Kedah.

“Bagi pihak perempuan yang berumur di bawah 16 tahun yang mahu bernikah dan lelaki pula yang berusia di bawah 18 tahun perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah melalui enakmen tersebut,” katanya yang juga Ketua Bahagian Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim.

Azmi berkata kes itu julung kali berlaku sejak berpuluh tahun beliau berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam di Kedah.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Kem Bina Generasi al-Quran 1434 Hijrah Abdul Rahim Omar, berkata seramai 105 peserta yang berusia sembilan hingga 15 tahun dari Sungai Petani, Yan, Seberang Perai dan Pulau Pinang menyertai kem selama sebulan itu bermula hari ini hingga 20 Dis.

Katanya peserta yang tinggal di asrama dikenakan yuran penyertaan RM300 seorang manakala yang berulang-alik pula RM200 bagi tempoh sebulan itu.

Mereka terdiri daripada 70 peserta lelaki dan 35 perempuan yang akan diasuh selaras dengan modul yang telah disusun atur.

Abdul Rahim berkata dua masjid iaitu Masjid Al-Ittihad, Sungai Kob dan Masjid Al-Mujahiddin, Batu Puteh di sini terbabit dalam penganjuran berkenaan. – Bernama

Khalwat: Satu rumah, tiga pasangan – Sinar Harian


Khalwat: Satu rumah, tiga pasangan
WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Jun 2012
KLUANG – Tiga pasangan remaja ditangkap berkhalwat oleh Penguat kuasa Jabatan Agama Johor daerah Kluang di sebuah rumah sewa yang terletak di Taman Kluang Barat, di sini, pagi Jumaat lalu.

Ketiga-tiga pasangan itu ditahan pegawai penguat kuasa di rumah berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi ketika orang lain sibuk keluar bekerja.

Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, serbuan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam sebelum ini.

“Ketiga-tiga pasangan yang ditangkap berusia dalam lingkungan 17 hingga 27 tahun dan dua remaja yang berusia 17 tahun itu dipercayai sudah berhenti sekolah hasil soal siasat yang dijalankan.

“Kesemua mereka didapati hanya bekerja sambilan di sekitar bandar Kluang dan tidak tinggal bersama keluarga disebabkan masalah keluarga bahkan ada juga yang tidak sempat untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Khalil berkata, kebanyakan mereka menghadapi kesukaran untuk dijamin kerana ibu bapa mereka tidak dapat hadir sebagai penjamin disebabkan mereka sudah lama tidak tinggal bersama keluarga berikutan ada ibu bapa yang sudah bercerai.

Beliau berkata, pasangan terlibat akan didakwa di mahkamah syariah di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor iaitu khalwat.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Dalam pada itu, saya mahu mengingatkan sekiranya orang ramai ada maklumat mengenai maksiat boleh membuat aduan atau datang ke Pejabat Agama Daerah Kluang, atau boleh menghubungi terus di talian bebas tol 1-800-88-3072.

“Saya juga menasihatkan penduduk beragama Islam di daerah ini sentiasa menjaga maruah diri serta keluarga dan tidak hanya mengikut nafsu semata- mata dan sekiranya ada aduan boleh menghubungi kami kerana talian kami dibuka 24 jam bagi seluruh negeri Johor,” katanya.

Guru didera suami rayu ditukarkan – Bernama


Guru didera suami rayu ditukarkan

2012/01/16

ALOR SETAR: Seorang guru sandaran yang mendakwa tidak tahan didera hampir setahun oleh suaminya, seorang penagih dadah, nekad melarikan diri dan memohon Kementerian Pelajaran meluluskan pertukarannya atas faktor keselamatan.

Siti Muniroh Mohd Shukri, 31, berkata selepas melarikan diri dari Lahad Datu, Sabah, bersama anak lelakinya yang berusia sembilan bulan pada 22 Julai tahun lalu, gajinya ditahan sehingga kini.

“Suami saya, Aldin Osdam, 31, yang terjebak dengan najis dadah pada 2010, sangat cemburu, mengurung dan memukul saya saban hari. Dia juga meminjam dengan Ah Long, mohon kad kredit dan beli kereta guna nama saya.

“Apabila tidak jelaskan hutang, saya jadi mangsa, diterajang dan disepak hampir setahun,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumah bapanya di sini hari ini.

Siti Muniroh nekad melarikan selepas berbincang dengan Guru Besar Sekolah Rendah St Dominic di Lahat Datu, tempat beliau bertugas, manakala ibu mertuanya membelikan tiket penerbangan ke Alor Setar.

Sebelum melarikan diri, beliau membuat laporan polis di Lahat Datu sebanyak dua kali selain ke Mahkamah Syariah untuk menuntut cerai.

Siti Muniroh berkata, Aldin yang dipenjara tiga bulan di Lahat Datu kerana kesalahan dadah akan dibebaskan 18 Januari ini dan sudah menghubunginya tiga hari lalu serta mengugut hendak ‘menyembelih’ beliau jika terjumpa di Sabah.
Beliau berkata, laporan mengenai ugutan itu telah dibuat di Balai Polis Alor Setar.

“Atas faktor keselamatan diri untuk kembali bertugas di Lahat Datu, saya memohon pihak berkenaan di Kementerian atau Jabatan Pelajaran menimbang kes saya dengan wajar.

“Sahabat bapa saya, Redzuan Ishak sudah tiga kali membawa saya dan bapa ke Kementerian Pelajaran di Putrajaya menemui pegawai bahagian pertukaran” katanya.

Siti Muniroh juga membuat permohonan secara dalam talian kepada Guru Besar dan Jabatan Pendidikan Sabah selain bertemu pegawai Jabatan Pendidikan Kedah serta kaunselor.

Sehubungan itu, beliau merayu masalah tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin kerana statusnya sebagai guru sandaran terlatih dan belum disahkan jawatan. – BERNAMA