Desak Koperal Jenain mohon maaf secara terbuka – Sinar Harian


Desak Koperal Jenain mohon maaf secara terbuka

RUWAIDA MD ZAIN
8 Disember 2012
Desak Koperal Jenain mohon maaf secara terbuka
Khalid, Azura, dan Norsiah ketika sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM – Koperal Jenain Subi  didesak memohon maaf secara bersemuka dengan ibu dan keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah, 15 yang mati terkena tembakan anggota polis terbabit dua tahun lalu.

Kakak mangsa, Aisyah berkata, Jenain, 42, perlu menemui ibunya, Norsiah Mohamad, 62, untuk meminta maaf dan menceritakan segala yang berlaku kepada mereka pada malam kejadian.

“Dia (Jenain) perlu datang berjumpa, bersemuka dan meminta maaf dengan kami, terutamanya ibu. Kami hendak dengar dari mulut dia sendiri, apa sebenarnya berlaku pada malam tersebut,” katanya.

Norsiah kesal dengan tindakan Jenain yang hanya memohon maaf kepada keluarganya  di hadapan pemberita, selepas dibebaskan  daripada hukuman penjara dalam kes tersebut Rabu lalu.

Beliau juga terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Jenain atas alasan hanya menjalankan tugas dan membunuh tanpa niat.

Seorang lagi kakak Allahyarham, Azura, berkata, walaupun keluarga mereka menghormati keputusan mahkamah itu mereka berasa mereka tiada berpeluang untuk membela diri seadilnya.

“Saya amat berharap semakan berhubung kes kematian adik kami dibuat semula,” katanya pada sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang hadir di sidang media tersebut, berkata, pihak Peguam Negara mesti menyemak dan melihat semula keputusan mahkamah berkenaan.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima rayuan Jenain dan membebaskan dia daripada hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya pada September 2011 berhubung kes menembak mati remaja lelaki itu, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempertimbangkan rayuannya memutuskan demikian selepas mendapati Jenain, 49, tidak mempunyai niat untuk membunuh remaja berkenaan tetapi tujuan utamanya hanya untuk memberhentikan kenderaan dipandunya.

Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Bapa dihukum penjara 30 tahun rogol anak perempuan – Bernama


Bapa dihukum penjara 30 tahun rogol anak perempuan

2012/11/29 – 20:30:13 PM Cetak Emel Kawan
PUTRAJAYA: Seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun oleh Mahkamah Rayuan hari ini terhadap tiga pertuduhan merogol anak perempuannya berusia 14 tahun.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus mempengerusikan panel hakim tiga anggota membenarkan rayuan pendakwaan supaya hukuman penjara dijalankan secara berasingan mulai 14 Julai tahun lepas.

Lelaki berusia 55 tahun itu dijatuhi hukuman penjara sejumlah 48 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada 7 Mei 2010 selepas dapati dia bersalah terhadap tiga tuduhan merogol anaknya di sebuah rumah di Ampang pada 18 Ogos 2002, 15 Sept 2002 dan 17 Jan 2003.

Dia dihukum penjara 16 tahun bagi setiap pertuduhan tetapi tidak dikenakan rotan kerana usianya melebihi 50 tahun.

Lelaki itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pada 14 Julai 2011, mahkamah membenarkan rayuannya supaya hukuman penjara berjalan serentak, bermakna dia hanya perlu menjalani hukuman selama 16 tahun.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hishamudin, ketika membenarkan rayuan pendakwaan agar lelaki itu menjalani hukuman penjara secara berasingan, berkata mahkamah berpendapat setiap kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan berbeza.
Bagaimanapun, beliau berkata demi keadilan, mahkamah mengurangkan tempoh hukuman dari 48 tahun kepada 30 tahun selepas mengambil kira dia menjalani hukuman penjara empat tahun dan enam bulan ketika ditahan sewaktu menunggu keputusan Mahkamah Sesyen.

Hishamudin yang mengetuai panel itu bersama hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohtarudin Baki dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zawawi Salleh, berkata tidak ada apa-apa yang menunjukkan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi mengambil kira tempoh tahanan empat tahun dan enam bulan yang dijalani lelaki itu.

Beliau berkata, mahkamah juga turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk usia lelaki itu.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu merogol anak perempuannya apabila isterinya tiada di rumah.

Mangsa menceritakan insiden itu kepada rakan sekelasnya yang kemudian memaklumkan kepada guru disiplin. Guru itu memanggil ibu mangsa ke sekolah dan memberitahu kejadian itu. Mangsa telah membuat laporan polis.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili lelaki itu berhujah sekiranya lelaki itu diarah menjalani hukuman penjara selama 48 tahun, ia akan memberi ‘kesan yang teruk’ kepadanya kerana faktor usia.

Katanya, anak guamnya akan berusia 102 tahun apabila dibebaskan daripada penjara, dan menambah jangka hayat lelaki Malaysia adalah 70 tahun.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abas. – BERNAMA

Rogol anak: Penganggur dipenjara 30 tahun – Bernama


Rogol anak: Penganggur dipenjara 30 tahun

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 29 Nov. – Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang penganggur menjalani hukuman penjara 30 tahun atas tiga kesalahan merogol anak kandungnya yang masih di bawah umur, 12 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan hukuman penjara 16 tahun bagi ketiga-tiga kesalahan dijalankan serentak.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Pendakwa raya merayu agar keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Julai tahun lalu diketepikan manakala keputusan Mahkamah Sesyen Ampang pada 7 Mei 2010 yang memerintahkan hukuman penjara 16 tahun itu berjalan berasingan, dikekalkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas mewakili pihak pendakwaan manakala lelaki tersebut diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad. – UTUSAN.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121129/ma_04/Rogol-anak-Penganggur-dipenjara-30-tahun#ixzz2DbuZe4SN
© Utusan Melayu (M) Bhd