Rambo Bentong Didakwa Bunuh Dan Rogol Remaja 17 Tahun – mStar


Rambo Bentong Didakwa Bunuh Dan Rogol Remaja 17 Tahun

TEMERLOH: Rambo Bentong yang sedang menjalani hukuman penjara berjumlah 133 tahun selain 50 sebatan atas kesalahan rogol, seks luar tabii serta cubaan membunuh anggota polis, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan membunuh dan merogol seorang remaja perempuan pada 2009.

Tertuduh atau nama sebenarnya Rabidin Satir, 42, didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara pukul 11.30 malam 7 Mac 2009 hingga 1.50 tengah hari 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong.

Rabidin, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Tertuduh juga didakwa merogol mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 376(4) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Rabidin mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Dusun oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Azman kemudiannya menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.Rabidin diwakili peguam Richard Bong Chong Fook manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustaffa.

Pada 5 Februari lepas, Rabidin yang tidak bekerja dijatuhi hukuman penjara berjumlah 115 tahun dan 50 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii ke atas empat mangsa perempuan berumur antara lapan hingga 17 tahun.

Pada 21 Mac lepas pula dia dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen Raub selepas mengaku bersalah menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, 24, dengan sebilah parang di sebuah rumah bernombor 43 di Taman Shahbandar Husin, Bentong pada kira-kira 6 petang, 14 November 2012. – BERNAMA

Kanak-Kanak Perempuan 14 Tahun Peroleh Status Warganegara Selepas Jalani Ujian DNA – mStar


Kanak-Kanak Perempuan 14 Tahun Peroleh Status Warganegara Selepas Jalani Ujian DNA

 

Yanesha

 

KUALA LUMPUR: Adalah saat-saat yang menggembirakan bagi N.Yanesha, kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun, yang terpaksa menjalani ujian DNA untuk membuktikan bapa kandung beliau adalah seorang rakyat Malaysia dan beliau akhirnya mendapat kerakyatan Malaysia.

Peguam Yanesha, Annou Xavier memaklumkan perkara ini kepada Hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop pada Rabu.

Yanesha berkata beliau sangat gembira mendapat status kewarganegaraan Malaysia.

“Saya telah mengambil kad pengenalan (IC) di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya seminggu yang lalu,” kata Yanesha, yang bapanya dari Malaysia manakala ibunya dari Filipina.

Ibu saudaranya, S.Yogeswari berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menghantar surat minggu lalu kepada bapa Yanesha, S.Nanthakumar memaklumkan bahawa permohonan IC beliau telah diluluskan dan beliau boleh mengambil IC di mana-mana pejabat JPN.

“Pada hari pertama, dia mendapat sijil kerakyatan Malaysia dan kemudian dia mendapat IC pada hari berikutnya,” katanya.

Yogeswari berkata ujian DNA yang telah dibayar Nanthakumar sebanyak RM1,500 bagi mendapatkan status kerakyatan Malaysia untuk anak perempuannya adalah berbaloi.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Xavier berkata Hakim Rosilah mengarahkan Peguam Persekutuan Haryati Ahmad untuk mendapatkan arahan bagi mendapatkan sijil kelahiran baru kanak-kanak itu, yang menyatakan statusnya sebagai “warganegara”.

“Dia kini mempunyai MyKad yang ditunggu selama lapan tahun,” katanya.

Peguam Nizam Bashir, yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi NGO – Voice of Children, berkata Malaysia perlu mengkaji semula mengenai Konvensyen Hak Kanak-kanak 1951, Perkara 7 bahawa setiap kanak-kanak diberi hak warganegara kerana ia boleh menjejaskan hak-hak pendidikan mereka dalam sekolah kebangsaan.

Ibu bapanya telah berpisah dan gadis itu, yang dilahirkan di Bandar Sunway di Petaling Jaya pada 3 Mei, 1999, tinggal dengan emak saudaranya dan memegang sijil kelahiran yang menyatakan status “Bukan Warganegara”.

Yanesha, yang bapanya adalah warga Malaysia dan ibu Judith Guballo, dari Filipina memfailkan tuntutan sivil melalui Yogeswari.

Dia itu menamakan Ketua Pengarah JPN, Setiausaha Agung KDN dan kerajaan sebagai defendan.

Antara lain, Yanesha meminta perisytiharan warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memohon kepada mahkamah untuk mengarahkan defendan mengeluarkan sijil kelahirannya, MyKad dan perintah bahawa JPN mendaftar dan mengemas kini namanya ke dalam daftar.

Pemandu lori bebas tuduhan rogol gadis bawah umur – Bernama


Pemandu lori bebas tuduhan rogol gadis bawah umur
17 April 2013

PUTRAJAYA – Seorang pemandu lori dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini daripada tuduhan merogol seorang gadis bawah umur.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Abdul Malik Ishak berkata sabitan terhadap Shuid Desa dan hukuman penjara lapan tahun serta empat sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak selamat.

“Oleh itu, sabitan itu diketepikan dan perayu (Shuid) dibebaskan,” katanya.

Hakim Abdul Malik berkata pertuduhan terhadap Shuid adalah cacat dan prejudis terhadapnya (Shuid).

Beliau berkata tidak ada bukti bebas yang jelas yang menunjukkan Shuid merogol gadis itu, yang ketika itu berumur 14 tahun empat bulan.

Hakim Abdul Malik berkata terdapat keraguan sama ada perbuatan itu dilakukan

Shuid atau orang lain berdasarkan keterangan doktor perubatan pakar yang memeriksa gadis itu.

Shuid, 42, yang diwakili oleh peguam G.Ravi Shankar dan Rahamathullah Baharudeen, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap gadis berkenaan di sebuah motel di Gurun, Kedah pada pukul 10 pagi pada 8 Sept, 2009.

Pada 16 Mac, 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani mendapati Shuid bersalah atas tuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan.

Pada 4 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Mahkamah Sesyen.

Dalam hujahnya, Ravi Shankar berkata keterangan doktor tidak selaras dengan kejadian rogol.

Beliau berkata doktor memeriksa gadis itu pada 10 Sept, iaitu 48 jam selepas dakwaan kejadian di motel, bagaimanapun, beliau (doktor) menyatakan perbuatan berlaku dalam tempoh 72 jam.

Fakta-fakta kes mendedahkan bahawa Shuid dan gadis itu telah ditangkap oleh pegawai kerajaan tempatan yang memeriksa motel semasa bulan puasa ketika itu.

Kedua-duanya diserahkan kepada pegawai jabatan agama kerana didakwa melakukan khalwat yang kemudiannya menghubungi kakak gadis itu yang kemudian membuat laporan polis kerana mensyaki kejadian rogol. – Bernama

 

Perbicaraan Nayati: Guru cerita cubaan untuk halang kereta penculik – Bernama


Perbicaraan Nayati: Guru cerita cubaan untuk halang kereta penculik

15 April 2013

KUALA LUMPUR – Seorang guru menceritakan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagaimana beliau mendengar jeritan dari mangsa culik Nayati Shamelin Moodliar, seorang kanak-kanak warga Belanda berusia 12 tahun, berdekatan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di sini.

Jonathan Robert Daley, 38, seorang guru pendidikan jasmani di sekolah berkenaan, memberitahu bagaimana beliau cuba mengejar kereta penculik selepas melihat seorang lelaki tidak dikenali memasukkan mangsa ke dalam kereta.

“Saya mengejar kereta itu sebelum kereta itu bertukar arah ke arah saya. Saya berada di sebelah jalan apabila kereta itu menuju ke arah saya.

“Pada ketika itu, saya berada di tengah jalan dan terpaksa mengelak kerana kereta itu dipandu laju dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hendak berhenti,” katanya di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Daley, yang merupakan saksi pertama pendakwaan, berkata beliau hanya sempat menendang pintu sebelah kereta pemandu.

Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran apa yang menyebabkan beliau bertindak sedemikian, Daley berkata beliau menendang pintu kereta kerana mengetahui ada seorang kanak-kanak di dalam kereta tersebut.

Beliau berkata demikan pada perbicaraan kes tiga lelaki yang didakwa menculik Nayati di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, Brickfields di sini, kira-kira pukul 7.30 pagi, 27 April, 2012.

Tiga tertuduh tersebut Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri dan dua rakannya, Foong Khar Fai, 20, seorang jurujual telefon bimbit, Lee Phak Seng, 34, seorang penggangur dan seorang lagi yang masih bebas didakwa mengikuti Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika disabit kesalahan.

Nayati dibebaskan penculiknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS, pada 7.55 pagi, 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan sekolah mangsa.

Menjawab soalan lain, Daley berkata beliau hanya mengenali identiti kanak-kanak itu selepas beliau dan beberapa guru lain melihat beberapa buku latihan mangsa yang bertaburan di atas jalan.

Guru itu berkata beliau tidak dapat mengenalpasti pemandu kereta itu kerana kejadian itu berlaku dengan pantas.

Chong diwakili peguam Rejinder Singh manakala Foong dan Lee masing-masing diwakili oleh Datuk Hanif Hashim dan K.T. Wong.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama

Hukuman bapa rogol anak ditambah 15 tahun lagi – Utusan


Hukuman bapa rogol anak ditambah 15 tahun lagi

SHAH ALAM 27 Mac – “Kamu dah berkahwin pun masih mahu rogol anak, buaya yang memasukkan anak ke dalam mulut untuk pindahkan ke tempat lebih selamat pun tak makan anaknya tapi kamu boleh rogol darah daging sendiri, saya tak dapat bayangkan.”

Demikian tegas seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap seorang penganggur berusia 32 tahun yang tergamak merogol anak kandungnya selepas pulang dari sekolah sebanyak tiga kali dalam tiga kejadian berasingan, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah berkata demikian sebelum memerintahkan hukuman penjara terhadap perayu ditambah daripada 15 tahun kepada 30 tahun dan sebatan maksimum dikenakan iaitu sebanyak 24 kali.

Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap lelaki berkenaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130328/ma_02/Hukuman-bapa-rogol-anak-ditambah-15-tahun-lagi#ixzz2OmvoAid8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kes cabul pelajar dibicara semula – Sinar Harian


Kes cabul pelajar dibicara semula

GOKINA MORGANAN
14 Mac 2013
Kes cabul pelajar dibicara semula
Jagdeep bersama Ismail di luar mahkamah semalam.

GEORGETOWN – Seorang ustaz diperintah dibicarakan semula di Mahkamah Jawi, Seberang Perai Selatan atas tuduhan mencabul kehormatan pelajar tingkatan tiga dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani Abdul Rahim memerintahkan Ismail Shafiee, 45, dibicara semula di hadapan majistret lain.

Zamani berkata keputusan majistret yang dibuat tanpa mempertimbangkan hujahan pembelaan di akhir pendakwaan adalah satu tindakan tidak adil dan melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan artikel berkenaan, setiap tertuduh mempunyai hak untuk dibicarakan secara adil di mana seseorang majistret perlu mendengar atau mempertimbangkan hujahan pihak pembelaan di akhir pendakwaan dan pembelaan.

“Dalam semakan kehakiman ini, saya memutuskan bahawa kes Ismail dibicarakan semula di hadapan majistret lain di mahkamah sama,” katanya.

Pada 28 Disember lalu, Ismail diperintah membela diri atas dakwaan mencabul kehormatan seorang pelajar berusia 15 tahun di sebuah rumah di Sungai Bakap, kira-kira jam 9 pagi, 9 Januari, 2011.

Mohamed Aznin membuat keputusan itu tanpa mengambil kira hujahan yang dikemukakan pihak pembelaan di akhir penghujahan kes.

Difahamkan, pihak pembelaan menghantar hujahan lewat dari tarikh yang ditetapkan oleh majistret berkenaan. Ia diserahkan dan diterima dua minggu sebelum majistret membuat keputusan.

Ketua Unit Pendakwaan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Suhaimi Ibrahim mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada lima anak itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit manakala Ismail diwakili Jagdeep Singh Deo.

Kes luar tabii: Rayuan warga emas ditolak, hukuman penjara ditambah – Bernama


Kes luar tabii: Rayuan warga emas ditolak, hukuman penjara ditambah

8 Februari 2013

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang warga emas berusia 62 tahun menjalani hukuman penjara berjumlah 20 tahun secara berasingan bagi kesalahan melakukan seks di luar tabii terhadap dua beradik berumur lima dan tujuh tahun, yang berada di bawah jagaan isterinya.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Radzi Ahmad terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Februari 2011.

Dalam penghakimannya, Nurchaya berkata keputusan itu berasaskan kepada sabitan yang dicapai Mahkamah Sesyen, yang tidak sama sekali terkhilaf di sisi undang-undang.

“Setelah mengambil kira fakta, kepentingan awam dan jenis kesalahan, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan pertama dan 10 tahun penjara bagi kesalahan kedua. Kedua-dua kesalahan itu hendaklah berjalan secara berasingan,” katanya.

Mohd Radzi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa tanpa kerelaan mereka di sebuah rumah di Kampung Nakhoda Kanan, Batu Caves, Gombak antara 6.30 pagi dan 6.30 petang, antara 14 April 2008 hingga 26 Mei 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, Mohd Radzi merupakan suami pengasuh kanak-kanak malang itu.

Pemeriksaan doktor pada 27 Mei 2008 mendapati ada kesan koyakan lama pada selaput dara kedua-dua mangsa dan tertuduh kemudian ditahan sehari kemudian.

Hakim Mahkamah Sesyen Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan pertama yang dilakukan ke atas mangsa berumur tujuh tahun, dan 10 tahun penjara bagi kesalahan kedua yang membabitkan kanak-kanak berusia lima
tahun.

Bagaimanapun, Hasbi memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak.

Mohd Radzi diwakili peguam P.Sutheswary manakala Timbalan Pendakwa Raya Fazilah Begum Abdul Ghani hadir bagi pihak pendakwaan. – Bernama

Pemandu lori dijel setahun pukul anak – Utusan


Pemandu lori dijel setahun pukul anak

SHAH ALAM 10 Jan. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang pemandu lori yang didapati bersalah memukul anaknya yang berusia lapan tahun dengan kerusi di kepala, tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menetapkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Nor Azlizan Jusoh, 33, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret yang hanya mengenakan denda terhadap lelaki itu.

Menurut hakim tersebut, hukuman denda RM6,000 atau penjara enam bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 2 November tahun lalu terhadap tertuduh adalah terlalu ringan.

Beliau bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret itu manakala hukuman penjara setahun diperintah berkuat kuasa selepas hukuman penjara enam bulan yang sedang dijalani oleh tertuduh kerana gagal membayar denda, berakhir.

Hakim Abdul Halim turut menetapkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun selepas menjalani hukuman berserta syarat dia menjaga kebajikan anak dan isterinya.

Beliau menasihati tertuduh mengenai tanggungjawab suami dan bapa sepatutnya melindungi dan membelai isteri serta anak bukannya memukul mereka.

Abdul Halim juga berharap hukuman tersebut akan memberi pengajaran dan kesedaran kepada tertuduh dan orang ramai bahawa kesalahan tersebut sangat serius.

Tertuduh sebagai seorang yang memelihara anaknya Kamelia Emelda didakwa menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal di kepala dengan memukul mangsa menggunakan kerusi plastik.

Kejadian berlaku di No.95, Jalan Sultan Abdul Samad 3, Bandar Sultan Suleiman, Klang pada pukul 8.30 malam, 26 Oktober tahun lalu.

Menurut fakta kes, isteri tertuduh melaporkan kepada pihak polis tentang kejadian itu selepas melihat suaminya memukul anak mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130111/ma_03/Pemandu-lori-dijel-setahun-pukul-anak#ixzz2Hf8p3WdK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pemandu lori dijel setahun pukul anak dengan kerusi – Utusan


Pemandu lori dijel setahun pukul anak dengan kerusi

SHAH ALAM 10 Jan. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang pemandu lori yang didapati bersalah memukul anaknya yang berusia lapan tahun dengan kerusi di kepala, tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menetapkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Nor Azlizan Jusoh, 33, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret yang hanya mengenakan denda terhadap lelaki itu.

Menurut hakim tersebut, hukuman denda RM6,000 atau penjara enam bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 2 November tahun lalu terhadap tertuduh adalah terlalu ringan.

Beliau bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret itu manakala hukuman penjara setahun diperintah berkuat kuasa selepas hukuman penjara enam bulan yang sedang dijalani oleh tertuduh kerana gagal membayar denda, berakhir.

Hakim Abdul Halim turut menetapkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun selepas menjalani hukuman berserta syarat dia menjaga kebajikan anak dan isterinya. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130110/ma_03/Pemandu-lori-dijel-setahun-pukul-anak-dengan–kerusi#ixzz2HZEbRE5m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiga Lelaki Dihukum Gantung Bunuh Remaja Berusia 17 Tahun – Bernama


Tiga Lelaki Dihukum Gantung Bunuh Remaja Berusia 17 Tahun

MELAKA: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap tiga lelaki selepas didapati bersalah membunuh seorang remaja berusia 17 tahun yang mayatnya ditemui dalam sebuah but kereta pada 11 Mac 2010.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dalam keputusannya berkata ketiga-tiga tertuduh,Chua kim Hock, 23, Lim Chin Aun, 21, dan Choo Ching Chye, 27, telah menyebabkankematian Yap Wai Seng di alamat 149A, Jalan Johor, Semabok dekat sini.

Manakala seorang lagi tertuduh, juvana berusia 17 tahun sewaktu dihadapkan ke mahkamah pada 24 Mac 2010 diperintahkan ditahan di suatu tempat selagi diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-kanak2001.

Kesemua tertuduh iaitu Chua yang bekerja sebagai penjual sayur, manakala Lim penganggur, Yeo peniaga gerai makanan dan juvana itu adalah pembantu di kedai peralatan logam, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori.

Mangsa yang beralamat di Taman Seri Kerubong, di sini, tidak lagi bersekolahdan bekerja sambilan sebagai mekanik motosikal.

Dalam penghakimannya, Ahmadi berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu dan beliau berpuas hati terhadap hujah dan fakta yang dibentangkan pihak pendakwaan.

“Walaupun saya prihatin terhadap rayuan dan mitigasi yang dikemukakan oleh pembelaan tetapi hukuman terhadap kes ini hanyalah satu iaitu hukuman gantung,” katanya.

Sebelum keputusan dibacakan, mahkamah hari ini turut mendengar keterangan ibu mangsa, Lee Ling Ling yang memberitahu betapa sayu hatinya sewaktu melihat mayat anaknya mengalami kecederaan di tangan, kaki dan tulang belakang.

“Saya melihat kesan jerutan tali di leher dan mulutnya berdarah,” katanya dalam kenyataan impak mangsa yang dibenarkan mahkamah setelah dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abdul Aziz.

Lee, 38, yang merujuk kepada sehelai kertas memberikan keterangannya dalam bahasa Mandarin.

Keempat-empat tertuduh diwakili peguam A.Rengganathan, J.Amardas dan Mohan Singh.

Akhbar melaporkan mayat Yap ditemui dalam but kereta yang dinaiki empat lelaki pada satu pemeriksaan oleh anggota polis yang mengadakan sekatan jalan raya di Ayer Keroh pada 1.15 pagi, 12 Mac 2010. BERNAMA