29 pelajar ditahan ponteng sekolah, lokasi panas diserbu – Sinar Harian


29 pelajar ditahan ponteng sekolah, lokasi panas diserbu

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Februari 2012
Ponteng

KOTA BHARU – Niat untuk berseronok sambil mengikut rakan ponteng sekolah, akhirnya menyebabkan 29 pelajar lelaki sekolah menengah di sekitar jajahan ini, ditahan dalam satu operasi bersepadu ponteng sekolah yang dijalankan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu di sini semalam.

Operasi yang bermula jam 9.30 pagi itu turut disertai hampir 60 anggota, termasuk kakitangan PPD, serta agensi jerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Pengarah Pelajaran Negeri, Hussin Awang berkata, operasi kali pertama yang dijalankan pada tahun ini di sekitar 15 lokasi panas di daerah ini, adalah sebagai usaha untuk membanteras gejala ponteng sekolah.
“Kita akan jalankan operasi seumpama ini secara berterusan bagi memberikan kesedaran kepada mereka dan mendidik pelajar-pelajar supaya menjadi golongan yang berguna.
“Selain itu dalam operasi ini kesemua pelajar yang ditahan di bawa ke Masjid Mukim Telipot bagi menjalani sesi kaunseling serta tazkirah rohani bagi menyedarkan diri golongan terbabit,” katanya kselepas bertemu dengan 29 pelajar yang ditahan di masjid berkenaan semalam.
Turut menyertai operasi Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu Che Ab Aziz Daud.
Hussin berharap agar ibu bapa turut memberi kerjasama bagi menangani isu ini dan memastikan anak-anak mereka pergi ke sekolah dan sampai di kawasan yang sepatutnya.
“Setakat ini kita sudah kenal pasti kesemua lokasi terbabit termasuk pusat membeli belah, sekitar Kota Jembal, Panji, Kemumin, Pengkalan Chepa, Mulong, Taman Tengku Anis, Telipot, belakang Kolej Sultan Ismail (SIC) serta beberapa lokasi lain.
“Pelajar-pelajar yang ditahan hari ini (semalam) akan dihantar ke sekolah semula dan ibu bapa akan dipanggil bagi proses runding cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar terbabit,” katanya.

Kaji kaedah beri dana guru Kafa, imam – Bernama


Kaji kaedah beri dana guru Kafa, imam

JAMIL Khir Baharom (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Kamaruddin Mat Zain (kiri) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, semalam. Tiga dari kiri Mustapa Mohamed.

 

KOTA BHARU 6 Feb. – Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji kaedah pemberian dana latihan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta imam di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu bagi memastikan dana tersebut dapat memenuhi matlamat membantu golongan sasar.

Tanpa menyebut kos pembiayaan kerajaan, beliau berkata bantuan itu membabitkan 34,000 guru Kafa dan 14,000 imam di seluruh negara.

“Kita sedang mengkaji kaedah pemberian dana itu, sama ada disalurkan kepada kerajaan negeri atau diagihkan secara berpusat,” katanya selepas merasmikan sambutan Mau lidur Rasul di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian malam tadi.

Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan cek bernilai RM3.8 juta kepada Naib Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Datuk Kamaruddin Mat Zain sebagai bantuan elaun imam di negeri ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, pemberian kerajaan menerusi dana khas itu bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan guru Kafa dan imam kepada masyarakat melalui latihan yang diberikan selain menambah elaun kakitangan terbabit.

“Ini dapat dilaksanakan menerusi modul latihan yang diberikan melalui Institut Latihan Ilmu Islam Malaysia (ILIM) di bawah Jakim,” katanya. – BERNAMA

Pelajar ponteng baca al-Quran – Bernama


Pelajar ponteng baca al-Quran

Hussin Awang (tiga dari kanan, berdiri) memberikan nasihat kepada 28 orang pelajar yang ditahan sewaktu operasi mencegah ponteng di Kota Bharu, semalam.

 

KOTA BHARU 6 Feb. – Seramai 28 pelajar lelaki beberapa sekolah menengah sekitar daerah Kota Baharu yang ditahan kerana ponteng sekolah hari ini, diarah membaca al-Quran.

Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Kelantan, Hussin Awang berkata, kesemua pelajar yang ditahan itu dibawa ke Masjid Mukim Telipot, di sini untuk diberi kaunseling dan diarah membaca al-Quran di bawah bimbingan imam masjid itu, Ahmad Yunus.

Pelajar terbabit yang berumur antara 15 dan 18 tahun, ditahan antaranya di pusat beli-belah, taman perumahan dan surau.

“Ada kalangan pelajar yang ditahan itu sedang merokok,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hussin berkata, pelajar terbabit kemudiannya dibebaskan selepas diambil kenyataan dan latar belakang mereka oleh guru disiplin atau kaunselor untuk tindakan lanjut.

Operasi bersepadu melibatkan lapan agensi kerajaan berkaitan, selama dua jam bermula 9.30 pagi itu, adalah lebih kepada usaha untuk mendidik pelajar agar tidak ponteng sekolah, katanya.

Katanya, terserah kepada pihak sekolah untuk memanggil ibu bapa atau penjaga pelajar terbabit untuk dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukan anak mereka itu.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras penglibatan pelajar dengan kegiatan tidak sihat.

Operasi bersepadu itu melibatkan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Baharu, polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis Perbandaran Kota Baharu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. – BERNAMA