Minat belajar kembali segar – Metro


Minat belajar kembali segar

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEPAKAT...Noraini dibantu anak-anaknya  menyiapkan tempahan makanan pelanggan.
SEPAKAT…Noraini dibantu anak-anaknya menyiapkan tempahan makanan pelanggan.

JOHOR BAHRU: “Saya tidak sangka dapat menjejakkan kaki kembali ke sekolah selepas berhenti belajar sejak akhir tahun lalu demi meringankan beban tiga adik yang kerap ponteng untuk menjual nasi lemak bagi menyara keluarga.

“Melihat keadaan keluarga yang bertambah baik selain dorongan ramai, saya berminat belajar semula dan mengejar cita-cita menjadi guru,” kata kakak kepada tiga murid yang ponteng sekolah 100 hari, Nazirah, 16, di sini, semalam.
Kisah Nazirah dan tiga adiknya, Alyah, 8; Nabilah, 9; dan Hamirul, 11, didedahkan Harian Metro pada 23 Julai lalu, selepas ibunya yang mahu dikenali sebagai Noraini, 35, digantung tidak bertali.

 

Akibat kesukaran hidup, Nazirah berhenti sekolah manakala Alyah, Nabilah, dan Hamirul berjalan kaki tiga kilometer sehari menjual nasi lemak kerana mahu membantu menampung perbelanjaan keluarga sehingga terpaksa ponteng sekolah 100 hari.
Selepas kisah kesusahan Noraini dan anak-anaknya disiarkan akhbar ini, mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru serta Majlis Agama Islam Johor (Maij), selain sumbangan orang ramai dan pasar raya Econsave yang menyumbang barangan harian bernilai RM1,300.
Nazirah berkata, dia berterima kasih kepada Jabatan Pelajaran Johor yang memberi peluang kepadanya menyambung pelajaran dalam tingkatan lima tahun depan.

 

 

Menurutnya, sementara menunggu tempoh persekolahan bermula tahun depan, dia yang ketinggalan dalam pelajaran hampir setahun meluangkan masa secukupnya untuk mengulang kaji pelajaran setiap hari.
“Saya mahu belajar bersungguh-sungguh dan berjanji menjadi contoh baik kepada adik.

 

“Dalam tempoh empat bulan sebelum sesi persekolahan bermula, saya berusaha mengulang kaji pelajaran sebanyak mungkin sebelum masuk ke kelas,” katanya yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Rahmat.
Noraini berkata, dia sekeluarga bersyukur dengan rezeki diterima termasuk bantuan daripada JKM.
“Antaranya bantuan kanak-kanak berjumlah RM400 sebulan selain geran pelancaran perniagaan RM2,700.
“Saya bercadang membuka gerai makan pada masa depan menggunakan wang bantuan geran pelancaran perniagaan itu,” katanya.
Menurutnya, kini anaknya tidak perlu lagi bersusah-payah menjual nasi lemak, sebaliknya mereka hanya menghantar tempahan makanan dibuat penduduk di Taman Kemas, Tampoi, di sini, pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14

SABK: Kuasa mutlak raja tidak terjejas, titah Sulan Johor – Bernama


SABK: Kuasa mutlak raja tidak terjejas, titah Sulan Johor

14 Ogos 2012
JOHOR BAHARU- Pendaftaran 28 buah Sekolah Agama Negeri Johor sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) tidak sesekali mengurangkan bidang kuasa kerajaan negeri dan Sultan Johor terhadap pengurusan sekolah berkenaan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kuasa mutlak baginda terhadap hal ehwal agama Islam Johor juga tidak akan terjejas atau berkurangan berikutan pendaftaran sekolah tersebut sebagai SABK.

“Kuasa mutlak raja tidak akan terkurang atau terjejas dengan pendaftaran itu. Sebarang keputusan (mengenai sekolah terbabit) hendaklah selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Negeri Johor dan disembah (kepada baginda) terlebih dahulu,” titah baginda hari ini.

Baginda bertitah demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman pendaftaran sekolah agama negeri sebagai SABK di Persada Johor, di sini.

Turut hadir pada majlis adalah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Pada majlis itu, sebanyak 20 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan lapan buah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) di Johor didaftarkan sebagai SABK.

Sultan Johor selaku ketua agama Islam negeri bertitah sekiranya terdapat sebarang pelanggaran perjanjian yang ditandatangani hari ini, baginda tidak akan teragak-agak untuk membatalkannya.

“Perjanjian hari ini tidak bermakna pengambilalihan kuasa kerajaan negeri tentang pentadbiran sekolah-sekolah agama oleh kerajaan pusat,” titah baginda.

Mengenai pelantikan guru besar dan guru di sekolah agama itu, baginda mahu keutamaan diberi kepada rakyat Johor, sebelum dibuka kepada calon luar sekiranya tiada calon dari negeri ini.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata perjanjian tersebut tidak akan menjejaskan kuasa Sultan Johor, Majlis Agama Islam Johor, Jabatan Agama Johor dan pihak berkepentingan yang lain.

“Ini telah ditetapkan dalam Perkara 17 memorandum persefahaman yang jelas menyatakan bahawa kuasa-kuasa pihak berkepentingan adalah kekal, malah masih mempunyai tanggungjawab terhadap sekolah-sekolah berkenaan,” kata beliau.

Katanya dengan kemasukan sekolah agama negeri Johor sebagai SABK, seramai 684 guru dan 116 petugas sokongan akan diberi peluang menjawat jawatan tetap dan berpencen di bawah Kementerian Pelajaran.

Melalui perjanjian hari ini, katanya pelbagai kemudahan disediakan kepada guru termasuk latihan, gaji yang kompetitif, kenaikan pangkat, pencen dan pinjaman perumahan.

Bagi murid-murid pula, Muhyiddin berkata selain mendapat pendidikan berkualiti, mereka juga akan mendapat kemudahan seperti bantuan perkapita, bantuan makan asrama, bantuan buku teks sebagaimana yang dinikmati sekolah arus perdana.

“Dalam aspek pembangunan pula, SABK juga akan menerima bantuan untuk pembangunan fizikal bagi memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya. -Bernama

Perubahan status 28 Sekolah Agama Johor tidak jejas kuasa kerajaan negeri: Sultan Johor – Bernama


Perubahan status 28 Sekolah Agama Johor tidak jejas kuasa kerajaan negeri: Sultan Johor
14/08/2012 – 16:11:36 PM Cetak Emel Kawan

JOHOR BAHARU: Pendaftaran 28 buah Sekolah Agama Negeri Johor sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) tidak sesekali mengurangkan bidang kuasa kerajaan negeri dan Sultan Johor terhadap pengurusan sekolah berkenaan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kuasa mutlak baginda terhadap hal ehwal agama Islam Johor juga tidak akan terjejas atau berkurangan berikutan pendaftaran sekolah tersebut sebagai SABK. “Kuasa mutlak raja tidak akan terkurang atau terjejas dengan pendaftaran itu. Sebarang keputusan (mengenai sekolah terbabit) hendaklah selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Negeri Johor dan disembah (kepada baginda) terlebih dahulu,” titah baginda hari ini.
Baginda bertitah demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman pendaftaran sekolah agama negeri sebagai SABK di Persada Johor, di sini.

Turut hadir pada majlis adalah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Pada majlis itu, sebanyak 20 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan lapan buah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) di Johor didaftarkan sebagai SABK.

Sultan Johor selaku ketua agama Islam negeri bertitah sekiranya terdapat sebarang pelanggaran perjanjian yang ditandatangani hari ini, baginda tidak akan teragak-agak untuk membatalkannya.
“Perjanjian hari ini tidak bermakna pengambilalihan kuasa kerajaan negeri tentang pentadbiran sekolah-sekolah agama oleh kerajaan pusat,” titah baginda.

Mengenai pelantikan guru besar dan guru di sekolah agama itu, baginda mahu keutamaan diberi kepada rakyat Johor, sebelum dibuka kepada calon luar sekiranya tiada calon dari negeri ini.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata perjanjian tersebut tidak akan menjejaskan kuasa Sultan Johor, Majlis Agama Islam Johor, Jabatan Agama Johor dan pihak berkepentingan yang lain.

“Ini sudah ditetapkan dalam Perkara 17 memorandum persefahaman yang jelas menyatakan bahawa kuasa-kuasa pihak berkepentingan adalah kekal, malah masih mempunyai tanggungjawab terhadap sekolah-sekolah berkenaan,” kata beliau.

Katanya dengan kemasukan sekolah agama negeri Johor sebagai SABK, seramai 684 guru dan 116 petugas sokongan akan diberi peluang menjawat jawatan tetap dan berpencen di bawah Kementerian Pelajaran.

Melalui perjanjian hari ini, katanya pelbagai kemudahan disediakan kepada guru termasuk latihan, gaji yang kompetitif, kenaikan pangkat, pencen dan pinjaman perumahan.

Bagi murid-murid pula, Muhyiddin berkata selain mendapat pendidikan berkualiti, mereka juga akan mendapat kemudahan seperti bantuan perkapita, bantuan makan asrama, bantuan buku teks sebagaimana yang dinikmati sekolah arus perdana.

“Dalam aspek pembangunan pula, SABK juga akan menerima bantuan untuk pembangunan fizikal bagi memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya. – BERNAMA

‘Tak perlu ponteng lagi’ – Metro


‘Tak perlu ponteng lagi’
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Selepas ini, anak saya tidak perlu lagi ponteng sekolah untuk membantu saya menjual nasi lemak bagi menampung kehidupan kami sekeluarga,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Noraini, 35, yang juga ibu kepada tiga kanak-kanak yang terpaksa ponteng sekolah hampir 100 hari akibat keletihan berjalan kaki untuk menjual nasi lemak.

Noraini berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kempas, di sini, semalam, selepas keluarganya menerima kunjungan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru serta Majlis Agama Islam Johor (Maij), untuk memberikan bantuan, semalam.
Menurutnya, bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin terutama bagi memastikan kehidupan empat anaknya, Nazirah, 16, Hamirul, 11, Nabila, 9, dan Alyah, 8, terjamin.

“Rezeki kami juga semakin bertambah sejak Ramadan selepas menerima tempahan memasak nasi ambang untuk dijual di bazar Ramadan.
“Disebabkan itu, tiga anak saya tidak perlu ponteng sekolah lagi dan saya akan cuba memastikan mereka dapat berehat selain menumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran.
“Saya tahu pelajaran itu penting dan hanya dengan pelajaran nasib kami sekeluarga dapat diubah,” katanya.

Menurut wanita yang digantung tidak bertali sejak lima tahun lalu itu, bantuan diterima daripada JKM dan Maij akan digunakan sebaik mungkin terutama bagi memastikan kehidupan empat anaknya terjamin.
“Pegawai JKM memaklumkan mereka akan menaja peralatan berniaga seperti periuk, kuali, sudip dan yang berkaitan untuk saya memulakan perniagaan,” katanya.

“Ia cukup menggembirakan kerana sebelum ini, semua peralatan itu saya pinjam daripada kenalan yang bermurah hati membantu,” katanya.
Menurut Noraini, harapannya kini memastikan keempat-empat anaknya membesar dengan sempurna selain mendapat pendidikan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/24

Bajet tambahan 12 peratus – Sinar Harian


Bajet tambahan 12 peratus

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 14, 2012

KLUANG – Sektor pendidikan agama menerima peruntukan tambahan sebanyak 12 peratus daripada Kerajaan Negeri pada tahun ini khusus untuk menggandakan lagi aktiviti-aktiviti keagamaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebelum bajet tambahan ter­­sebut dimaklumkan, Kerajaan Ne­geri telah memperuntukkan bajet sebanyak RM180 juta pada 2011 khusus untuk pengurusan pendidi­kan agama.

“Walau bagaimanapun, untuk portfolio agama, peruntukan yang diterima adalah peruntukan terbesar daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya sempena Majlis Peng­isytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA), Sijil Intensif Bahasa (SIB), Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) dan Peng­anu­gerahan Kecemerlangan Ujian Pe­nilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi tahun 2011 yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, dari segi pembinaan sekolah agama di negeri ini, Kerajaan Negeri tetap akan memberi keu­ta­maan kepada pendidikan agama dengan menambahkan jumlah sekolah agama mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan sedang membina 121 sekolah agama. Ia dibina berikutan terdapat sekolah-sekolah agama yang menumpang.

“Pembinaannya dijangka siap selewat-lewatnya pada 2013 dengan kos lebih daripada RM200 juta.

“Dengan pembinaan tersebut ia menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam pembangunan pendidikan agama di negeri ini,” katanya.

Katanya, Majlis Agama Islam Johor (Maij) telah mengeluarkan RM61.9 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini bagi pembangunan sekolah agama rakyat (SAR), Skim Wakaf Kitab, bantuan anak-anak yatim dan insentif untuk pelajar tahfiz.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memberi perhatian dan sokongan terhadap program pembangunan pendidikan agama di negeri ini, khususnya yang menjurus ke arah pembentukan dan perkembangan minda anak-anak.
“Malah, ianya bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan warga Malaysia yang berilmu dan berpengetahuan menjelang 2020,” katanya.