Majlis Agama Islam Negeri perlu tangani isu pelajar tahfiz kutip derma – Bernama


Majlis Agama Islam Negeri perlu tangani isu pelajar tahfiz kutip derma 

2012/01/29

YAN: Majlis Agama Islam Negeri (Main) diminta mengambil tindakan drastik bagi menangani isu memperalatkan pelajar sekolah tahfiz untuk mengutip derma.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Main perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan fenomena itu kerana ia merupakan satu penipuan kepada ibu bapa.

“Sebab kutipan derma yang dibuat semacam satu penipuan kepada pihak ibu yang meyakini anak-anak mereka ini datang (ke sekolah tahfiz) untuk menghafal Al-Quran dan belajar agama tapi lain yang dibuatnya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah, Bukit Besar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa pelajar sebuah pusat tahfiz dikerah mengutip derma bagi membiayai aktiviti menghidupkan kembali ajaran sesat Azhar Wahab yang berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara.

Jamil Khir berkata Main wajar mengenalpasti sekolah tahfiz yang terlibat dan membuat perbincangan secara terus berhubung permasalahan itu dengan pihak sekolah terbabit untuk menyekat aktiviti mereka dengan lebih berkesan. – BERNAMA