MAIWP mansuh yuran SRA, KAFA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 23 April – Seramai 45,000 murid sekolah rendah agama (SRA) dan kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) di bawah seliaan Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak lagi dikenakan yuran bulanan sebanyak RM10 mulai tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keputusan memansuhkan yuran tersebut dibuat bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa.
Susulan pemansuhan itu, kos yuran berjumlah RM5.3 juta setahun melibatkan sebanyak 84 SRA dan 66 KAFA kini ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Jawi.
“Bagi ibu bapa yang telah menjelaskan bayaran yuran untuk tahun ini, MAIWP akan mengembalikan semula wang mereka.
“Saya percaya pemansuhan yuran bulanan ini akan mendorong lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke SRA dan KAFA untuk menerima pendidikan agama secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Jawi 2012 di Dewan Muktamar Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.
Pada majlis berkenaan, Jamil Khir yang juga Pengerusi MAIWP turut menyampaikan hadiah kepada murid-murid yang beroleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian SRA (UPSRA), Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.
Sementara itu, beliau memberitahu, MAIWP akan membina enam sekolah agama baru di Segambut, Setapak dan empat lokasi lain di sekitar Kuala Lumpur.
“Setiap sekolah berupaya menampung antara 600 hingga 700 murid. Projek tersebut menunjukkan kesungguhan MAIWP dan Jawi dalam memastikan sekolah agama seliaannya dilengkapi infrastruktur yang setaraf dengan sekolah-sekolah lain,” ujarnya.
Kata Jamil Khir, projek membabitkan kos kira-kira RM39 juta itu kini dalam proses tender dan dijangka siap dua tahun lagi.