Sistem dwi-sijil SPM, IGCSE di MRSM 2016 – Bernama


Sistem dwi-sijil SPM, IGCSE di MRSM 2016
30 Julai 2013
< 1 / 0 >

ALOR GAJAH – Kesemua 45 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara akan melaksanakan sistem dwi-sijil iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan program baharu Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) menjelang 2016.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Mara berhasrat melaksanakan program IGCSE dengan kerjasama Cambridge International Examination itu untuk membolehkan pelajar MRSM mengikuti pengajian di universiti luar negara lebih awal.

“Sehingga kini sebanyak 13 MRSM telah melaksanakan program IGCSE dengan MRSM Tun Abdul Razak di Pekan, Pahang merupakan perintis apabila melaksanakan program itu pada 2011.

“Dengan pelaksanaan program ini kami harap dapat menghantar lebih ramai anak-anak kita mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di luar negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Mara di MRSM Alor Gajah di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa. Majlis itu turut dihadiri lebih 100 orang terdiri daripada pelajar MRSM Alor Gajah dan anak yatim sekitar negeri ini.

Mohd Shafie berkata MRSM Kuala Kubu Baharu di Selangor dan MRSM Kuala Kelawang di Negeri Sembilan akan melaksanakan program itu tahun depan.

Mengenai program IGCSE, beliau berkata pengajaran dan pembelajaran IGCSE menekankan pembentukan kemahiran lisan dan praktikal serta mengambil pendekatan penyelidikan penyelesaian masalah, aplikasi kemahiran ilmu dan pelaksanaan projek secara individu juga berkumpulan.

Katanya program IGCSE diiktiraf peringkat antarabangsa sebagai setaraf dengan British GLSE dan International GCE ‘O’ Level Exams ditawarkan melalui University of Cambridge International Examinations yang diguna pakai lebih 9,000 sekolah di lebih 160 negara.

“Saya percaya pelajar MRSM mampu ‘adapt’ program ini dengan jayanya, pelajar bukan sahaja perlu mahir aspek bahasa Inggeris malah perlu bersedia untuk mempelajari bidang lain seperti sains dan tekonologi pada tahap tertinggi.

“Daripada sudut pengurusan pula, kami akan pastikan semua keperluan bagi menjalankan program ini dipenuhi dalam semua MRSM. Kami tidak seharusnya terburu-buru laksanakan program ini jika keperluannya tidak dapat kami penuhi,” katanya.

Sementara itu Mohd Shafie berkata untuk memenuhi kehendak rakyat, tiga MRSM baru yang dibina dengan kos RM185 juta akan mula beroperasi tahun depan.

Beliau berkata tiga MRSM itu ialah MRSM Arau di Perlis, MRSM Sungai Besar di Selangor dan MRSM Kuala Kangsar di Perak. – Bernama

300 banduan muda Sekolah Integriti Kajang dirai – Utusan


300 banduan muda Sekolah Integriti Kajang dirai
SALAH seorang banduan muda ditemu bual oleh wartawan Utusan di Sekolah Integrasi Kajang, kelmarin.
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Meskipun berada di sebalik tembok penjara, kira-kira 300 banduan juvana di Sekolah Integriti Kajang (SIK) tidak dilupakan apabila diraikan pada majlis berbuka puasa oleh Great Eastern Life Assurance (M) Berhad (Great Eastern) di Penjara Kajang, dekat sini semalam.

Program dengan kerjasama Jabatan Penjara Kajang dan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWW) itu bertujuan mendekati penghuni sekolah berkenaan yang terdiri daripada pesalah juvana serta banduan muda berumur antara 14 hingga 21 tahun.

Menurut Pengurus Komunikasi Korporat Great Eastern, Leong Pei Yee, program itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan dalam mengajak penghuni sekolah berkenaan bersama-sama merasakan semangat berpuasa serta menyambut Aidilfitri sama seperti golongan belia lain.

Kebajikan penjawat awam sentiasa diberi keutamaan – PM – Utusan


Kebajikan penjawat awam sentiasa diberi keutamaan – PM

PEKAN 4 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kebajikan seluruh penjawat awam di negara ini sentiasa diberi perhatian mengikut kemampuan kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, buktinya pada awal tahun ini, beliau mengumumkan kenaikan gaji daripada tujuh kepada 13 peratus untuk semua penjawat awam selain pemberian bonus separuh gaji sebagai persiapan menyambut Aidilfitri baru-baru ini.

“Apa yang penting, seluruh penjawat awam perlu terus komited dalam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan profesionalisme yang tinggi.

“Ini baiah antara kerajaan dan penjawat awam. Walaupun baiah ini tidak dibuat secara Islam, kita perlu menggunakan semangat baiah ini,” katanya.

Beliau berucap pada majlis berbuka puasa bersama penjawat awam daerah Pekan yang dihadiri kira-kira 1,000 penjawat awam di sini hari ini.

Menurut Najib, kerjasama antara kerajaan dan penjawat awam penting kerana ia merupakan tonggak kejayaan negara sejak merdeka sehingga kini.

Katanya, kesetiaan dan sokongan penjawat awam terutama dalam melaksanakan keputusan kerajaan dan membantu menyelesaikan masalah rakyat adalah sesuatu yang sangat bermakna.

“Tanpa sokongan itu, tidak mungkin negara akan melalui proses pembaharuan besar, daripada negara bercorak pertanian kepada bercorak industri berpendapatan sederhana tinggi.

“Daripada tidak dikenali, hari ini, negara kita Malaysia sudah dikenali di serata dunia. Inilah transformasi bersama berkat kerjasama pentadbiran kerajaan dan penjawat awam,” katanya.

‘Kami nak raya sama mama, abah’ – Sinar Harian


‘Kami nak raya sama mama, abah’
NORHAFIZA MUSA
26 Julai 2012

Abd Ghani (duduk tengah) bersama empat cucunya diraikan dalam majlis berbuka puasa oleh Great Clean Servis di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong, semalam.
KUALA TERENGGANU – Tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang anak melainkan dapat menyambut hari raya bersama kedua ibu bapanya. Namun harapan itu hanya tinggal kenangan bagi empat beradik yang berasal dari Pulau Duyong ini setelah ditinggalkan ibu bapa mereka.

Apalah yang difahami Kamarul Hamizan Ahmad Kamal, 10, Nur Balqis, 8, Fatin Nurzalia, 5 dan Faris Fauzan, 4 akan erti hidup berkeluarga apabila mereka dipaksa menerima kenyataan membesar sebagai ‘anak yatim piatu’ biarpun kedua ibu bapa mereka masih hidup.

Biarpun pilu melihat kanak-kanak lain mempunyai tempat mengadu dan bermanja namun jiwa luhur mereka bagi menggantung harapan untuk beraya bersama ibu bapa tersayang.

Lebih malang, apabila datuk mereka, Abd Ghani Jusoh, 64 yang bekerja sebagai nelayan terpaksa melepaskan hak penjagaan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dua tahun lalu kerana faktor usia dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Sejak itu, empat kanak-kanak tersebut menghuni Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi di Teluk Ketapang, Seberang Takir bersama keluarga angkat.

“Saya ingin beraya bersama abah dan mama, kami sangat rindukan mereka. Rabu lepas, abah ada datang jumpa kami, dia pesan supaya kami belajar bersungguh-sungguh dan jadi orang baik,” kata Kamarul Hamizan yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu.

Mereka ditemui Sinar Harian ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama datuknya yang dianjurkan Great Clean Servis di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong.

Sementara itu, kata Abd Ghani, bukan niatnya untuk tidak mahu menjaga cucunya tetapi dia mengalami masalah kesihatan dan kurang mampu dari segi kewangan.

“Tinggal di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi makan minum lebih terurus dan ada yang menjaganya. Saya memang tidak mampu untuk menjaga mereka. Bukan hanya tidak mampu sediakan makan dan minum tetapi juga tidak mampu menjaga mereka kerana masalah kesihatan.

“Dengan usia mereka sekarang, sangat lasak terutama yang kecil tidak mampu dijaga dengan kudrat yang ada,” katanya.

Katanya, demi masa depan mereka, dia terpaksa mengambil keputusan begitu kerana jika ingin meminta bantuan anak yang lain, mereka juga ada masalah kewangan dan tidak mampu untuk menyara mereka.

Walaubagaimanapun, sekali-sekala dia akan menjenguk cucunya itu untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu.

“Jika ada kenduri atau pada hari raya saya akan membawa pulang untuk beraya bersama mereka,” katanya.

Walaupun begitu, Abd Ghani tidak akan membenarkan sama sekali empat cucunya itu dipisahkan.

“Jika ada yang ingin mengambil anak angkat mereka perlu mengambil kesemua mereka, jika tidak, tak payahlah,” katanya.

Sinar Harian difahamkan bapa kepada kanak-kanak ini dikatakan sering keluar masuk pusat pemulihan manakala ibu mereka tidak dapat dikesan sejak dua tahun lalu.

Syarikat judi, arak anjur buka puasa cemar Islam – Utusan


Syarikat judi, arak anjur buka puasa cemar Islam

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Pembabitan syarikat judi atau arak dalam sebarang penganjuran majlis berpuasa bersama anak-anak yatim boleh mencemarkan imej Islam kerana jelas pendapatan syarikat-syarikat seumpama itu datangnya daripada sumber yang haram.

Sehubungan itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Muhammad Yusoff Hussein berkata, adalah wajar mana-mana pertubuhan anak-anak yatim memastikan terlebih dahulu status pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa itu bukan daripada syarikat judi atau arak.

Pada masa sama beliau menggesa syarikat judi atau arak supaya lebih peka iaitu tidak terlibat dengan sebarang penganjuran majlis berbuka puasa walaupun tujuannya adalah baik.

“Puasa adalah ibadat dan berbuka puasa juga adalah ibadat. Adakah patut kita mencampurkan soal ibadat dengan benda-benda yang haram? Di dalam al-Quran jelas Allah telah memerintahkan kita menjauhi judi dan arak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta pandangan secara umum sekiranya terdapat syarikat judi atau arak yang menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim.

Muhammad Yusoff berkata, perkara yang dibangkitkan itu bukan berkaitan dengan soal tujuannya baik atau sebaliknya tetapi ia amat berkaitan dengan soal hukum melainkan sekiranya pertubuhan anak yatim itu benar-benar tidak tahu bahawa pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa itu adalah syarikat judi atau arak.

“Saya amat berharap semua pertubuhan dan rumah anak-anak yatim meneliti terlebih dahulu pihak yang menjemput mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku. Jika ada jemputan daripada mereka kita wajib tolak.

“Kita tahu syarikat-syarikat seperti ini mahu melakukan sesuatu yang baik tetapi masalahnya tidak boleh, tidak manis, tidak wajar dan tidak sesuai kerana sumber pendapatan mereka haram,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya syarikat-syarikat seperti itu tetap mahu memberi derma kepada anak-anak yatim, mereka boleh mencari anak-anak yatim yang seagama tetapi bukannya kanak-kanak Islam.

“Saya percaya banyak lagi syarikat dan korporat Islam yang berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dalam bulan Ramadan ini,” ujarnya.