Lelaki 24 tahun peserta khatan – Sinar Harian


Lelaki 24 tahun peserta khatan

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Disember 2012
Lelaki 24 tahun peserta khatan
Ismail dan Syarifuddin menyempurnakan majlis berkhatan beramai-ramai di Balai Raya Kampung Orang Asli Batu 55.

MARAN – Enam remaja Orang Asli bukan Islam antara 10 peserta yang dikhatankan beramai-ramai termasuk seorang saudara baru berusia 24 tahun di Kampung Orang Asli Batu 55, di sini.

Seorang daripada remaja berkenaan, Yusmanizam Yusairi, 16, berkata, walaupun tidak menganut agama Islam, dia mahu berkhatan atas faktor kesihatan.

Menurutnya, banyak kebaikan berkhatan yang diketahui melalui pembacaan dan daripada mereka yang lebih dewasa.

“Saya tidak takut atau malu kerana berkhatan ini baik untuk kesihatan malah digalakkan untuk bukan Islam.

“Keluarga saya sendiri tidak menghalang dan berkhatan beramai-ramai sebegini lebih meriah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Hadir sama, Pegawai Agama Islam Daerah Maran, Syarifuddin Mohamed Sa’ad.

Saudara baru, Azman Raju, 24, berkata, dia berkhatan bagi memenuhi tuntutan agama selepas memeluk Islam tahun lalu atas faktor perkahwinan.

Menurutnya, isterinya yang juga Orang Asli dari Kampung Bot Bot, dekat Chenor, sudah pun memeluk Islam sebelum mereka mendirikan rumah tangga.

“Mulanya memang segan mahu berkhatan kerana usia saya ini tetapi demi Islam, saya bersyukur selain dapat menjaga kesihatan,” katanya.

Budak istimewa punyai 12 jari kaki – Metro


Budak istimewa punyai 12 jari kaki

AZMAN CHE MAN
10 Disember 2012
Budak istimewa punyai 12 jari kaki
Osamah Laden menunjukkan kakinya yang mempunyai dua jari sementara menunggu giliran dikhatankan pada majlis berkhatan anjuran Puteri, Biro Penerangan Umno Bahagian Kuala Krai

KUALA KRAI – Biar pun dinamakan sempena nama Osama bin Laden, seorang kanak-kanak dari Kampung Slow Machang, di sini, tidak kenal siapa pemilik nama itu yang pernah dianggap sebagai wira umat Islam kerana berani menentang Amerika Syarikat (AS).

Osamah Laden Maliki, 10, berkata, dia hanya pernah beberapa kali melihat gambar Osama di dada akhbar, malah sekali sekala disindir rakan kerana nama itu namun tidak kenal siapa individu terbabit.

“Kadang-kadang saya tengok gambar dia (Osama) keluar di televisyen dan ada berita pasal perang tetapi tak tahu siapa dia sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chin Chui, Tangkak, Johor kerana mengikut bapanya bekerja di negeri itu, ditemui pada majlis berkhatan anjuran Puteri dan Biro Penerangan Umno Bahagian Kuala Krai yang disertainya.

Osamah Laden berkata, walaupun tidak kenal Osama, dia suka dengan nama itu kerana berbeza dengan orang lain dan percaya ayahnya ada sebab sendiri untuk menamakannya dengan nama lelaki terbabit.

“Saya pun berbeza dengan orang lain dan ada keistimewaan juga,” katanya sambil menunjukkan kedua-dua kakinya yang mempunyai dua ibu jari, menjadikan kakinya ada 12 jari.

Datuk kanak-kanak itu, Daud Mat San, 63, pula berkata, selain Osamah Laden, seorang lagi cucunya dinamakan seiras nama bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

“Dulu cucu saya dinamakan Osamah Laden sebab masa dia lahir, dunia kecoh dengan berita Osama dan adik dia pula dinamakan Muhammad Ghadafi seiras nama bekas pemimpin Libya,” katanya.

Menurutnya, dua lagi adik beradik Osamah Laden dan Muhammad Ghadafi bagaimana pun mempunyai nama biasa iaitu Muhammad Aidil Putra dan Sofea, 11.

“Sekarang Osamah Laden dan Muhammad Ghadafi masih kecil dan tak tahu apa-apa tetapi bila besar nanti, saya percaya mereka akan kenal siapa di sebalik nama mereka,” katanya.

Kanak-kanak bukan Islam sertai program khatan 1Mindef – Bernama


Kanak-kanak bukan Islam sertai program khatan 1Mindef

10 Disember 2012
Kanak-kanak bukan Islam sertai program khatan 1Mindef
Sebahagian anak-anak angkatan tentera yang akan dikhatankan gembira ketika disembur dengan air pada Majlis Berkhatan 1Mindef, hari ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Lima kanak-kanak bukan Islam, tiga Iban dan masing-masing seorang kanak-kanak Bidayah dan Dayak adalah antara 103 kanak-kanak berumur antara tiga hingga 14 tahun yang menyertai ‘Program Khatan 1Mindef’ hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan di sini.

Bapa salah seorang kanak-kanak bukan Islam itu Sarjan Mancha Luyuh, 38, berkata, amalan berkhatan terhadap anak sulungnya itu, Hernandez, 14, akan dilakukan juga terhadap anak lelakinya yang lain.

“Saya tahu amalan berkhatan ini baik untuk kesihatan melalui rakan-rakan Islam yang lain dan ini mendorong saya untuk mengkhatankan anak saya,” katanya kepada pemberita pada program itu.

Terdahulu dalam ucapan Zulkifeli berkata program itu mendapat sambutan yang menggalakkan termasuk dari kaum lain.

Beliau berkata, program ini turut berfungsi sebagai salah satu pemangkin untuk memantapkan lagi semangat setiakawan sesama anggota tentera tidak kira apa agama dan bangsa sesuai dengan konsep 1Malaysia.

“Kini amalan berkhatan telah merentasi fahaman agama dan bangsa… untuk tujuan kesihatan,” katanya. – Bernama

Peserta khatan dirai naik kereta kuda keliling masjid – Sinar Harian


Peserta khatan dirai naik kereta kuda keliling masjid

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 November 2012
Peserta khatan dirai naik kereta kuda keliling masjid
Peserta khatan diarak dengan menaiki kereta kuda mengelilingi masjid An-Nur sebelum mereka dikhatankan.

TUMPAT – Suasana di perkarangan Masjid An-Nur meriah apabila seramai 39 peserta khatan diraikan dengan perarakan menaiki kereta kuda sempena majlis khatan perdana, di sini, semalam.

Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kota Kubang Labu itu turut dimeriahkan dengan menyuap pulut semangat kepada peserta sebelum mereka dikhatankan.

Pengerusi KRT Kota Kubang Labu, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood berkata, setiap tahun acara berkhatan perdana diadakan di sini dan tahun ini mendapat kerjasama dengan Masjid An-Nur.

“Pihak KRT mengenakan bayaran RM30 kepada setiap peserta walau pun kos berkhatan sebenarnya hampir RM80. Perbelanjaan selebihnya ditanggung oleh pihak KRT,” katanya ketika ditemui pada Majlis Khatan Perdana tersebut.

Menurutnya, seramai lima doktor disediakan untuk proses berkhatan itu dan ada antara doktor itu adalah penduduk dalam KRT ini.

“Penyertaan peserta tidak terhad kepada kanak-kanak dalam KRT ini sahaja kerana semasa pendaftaran tersebut ada peserta dari jauh luar dari daerah ini,” katanya.

Majlis berkhatan ini dirasmikan  timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad merupakan Pengerusi Masjid An-Nur.

Sebanyak 230 kanak-kanak sertai program Khatan Perdana – Bernama


Sebanyak 230 kanak-kanak sertai program Khatan Perdana

17 November 2012

KANGAR – Sebanyak 230 kanak-kanak hari ini menyertai program Khatan Perdana 2012 yang berlangsung di Dewan 2020 di sini.

Program tahunan anjuran kerajaan negeri Perlis itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Sebelum dikhatankan, mereka diarak dengan keretapi mini Taman Ular dan Reptilia (TUR) Perlis mengelilingi Dewan 2020 sebelum dimandikan beramai-ramai dengan pancutan air oleh jentera bomba.

Md Isa berkata program itu bertujuan meringankan beban ibu bapa untuk mengkhatankan anak mereka di samping mewujudkan suasana mesra dan ceria dalam majlis berkhatan.

Dewan 2020 yang sebelum ini menjadi tempat berseminar, persidangan dan acara rasmi kerajaan hari ini bertukar menjadi dewan bedah dengan puluhan petugas Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan klinik-klinik kesihatan mengendalikan program khatan itu.- Bernama

Berkhatan tarik minat murid bukan Islam – Utusan


Berkhatan tarik minat murid bukan Islam

Lilah Yasin memberikan sumbangan sambil bertanyakan sesuatu kepada Calvent George Julianus (duduk, kanan) dalam majlis berkhatan beramai-ramai di Sekolah Kebangsaan St. Aidan di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

JEMPOL 12 Nov. – Program berkhatan pada musim cuti sekolah bukan sahaja dinantikan oleh masyarakat beragama Islam, malah turut menarik minat mereka dari agama lain untuk turut serta.

Perkara ini dibuktikan melalui program berkhatan anjuran Sekolah Kebangsaan St. Aidan, Bahau dekat sini apabila seorang murid, Calvent George Julianus, 11, memilih untuk berbuat demikian atas faktor kesihatan.

“Saya melakukannya kerana sedar kebaikannya dalam aspek kesihatan selain mengurangkan jangkitan kuman di saluran kencing,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121113/dn_26/Berkhatan-tarik-minat-murid-bukan-Islam#ixzz2C4EBYfvG
© Utusan Melayu (M) Bhd