Majlis khatan beramai-ramai imarahkan masjid – Bernama


Majlis khatan beramai-ramai imarahkan masjid

13 November 2012

SUNGAI PETANI – Kesedaran bahawa masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat umat Islam melakukan ibadat solat mendorong penduduk di Kampung Sungai Pasir di sini menganjurkan majlis khatan beramai-ramai diĀ  masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Muhibbuddin di kampung itu, Ali Ahmad berkata program julung kali tersebut mendapat kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Masjid ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuklah dewan khas untuk penganjuran aktiviti kemasyarakatan, justeru fungsinya perlu diperluas, tidak hanya memfokus kepada ibadat solat semata-mata.

“Dengan adanya program seperti ini, ia bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat sebaliknya mengimarahkan lagi masjid ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Wakil MRA, Dr Mohd Saifullah Alhany Abdul Halim pula berkata program itu adalah yang kedua bagi MRA tahun ini dengan tujuan menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat setempat.

“Untuk program hari ini, lebih 20 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun selamat dikhatankan dengan bantuan tujuh doktor serta dibantu lebih 15 sukarelawan dan anggota MRA,” katanya. – Bernama