Dugaan Ramadan jaga anak sakit saraf – Sinar Harian


Dugaan Ramadan jaga anak sakit saraf
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Julai 2012

Norliza bersama anaknya, Mohamad Hairuddin.
JOHOR BAHRU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah diibaratkan kehidupan surirumah, Nor Darimah Othman, 37, yang mempunyai dua anak disahkan mengalami penyakit saraf sejak lahir dan hanya mampu berbaring sepanjang masa.

Namun, Nor Darimah dan suami sabar melayan kerenah anak kedua mereka, Azree Masree, 17, dan anak kelimanya, Putri Shakeela, 9, selain terpaksa menanggung belanja rawatan hampir RM500 sebulan.

“Suami saya hanya bekerja kontrak dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan. Syukur anak sulung sudah bekerja dan membantu serba sedikit. Saya juga turut mengambil tempahan kuih popia simpul sempena Aidilfitri ini, maka bolehlah buat tambah belanja.

“Mereka umpama bayi dan hanya mampu menangis jika lapar atau mahukan sesuatu. Bercakap pun tidak boleh. Ini mungkin ujian kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Program Ziarah dan Sumbangan Ramadan anjuran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bersama Ahli

Majlis Zon Tanjung Puteri Resort, Datuk Abu Bakar Rashid di Kampung Pasir Putih, baru-baru ini.

Nasib yang sama turut dipikul Norliza Abas, 38, apabila anak keduanya, Mohamad Hairuddin Yazid, 17, turut disahkan menghidap penyakit saraf kerana jangkitan pada otak sejak lahir.

“Hairuddin hanya bergantung hidup dengan minum susu sahaja. Dia tidak boleh makan nasi atau bubur seperti orang lain. Pernah diberi makan bubur, selepas itu dimasukkan ke hospital kerana dia tak boleh hadam,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 20 rombongan MPPG bersama jawatankuasa majlis menziarahi 17 keluarga yang kurang berkemampuan dari rumah ke rumah bagi menyampaikan bantuan sebanyak RM500 setiap keluarga dan hamper mengandungi barangan

Statistik kanak-kanak hilang membimbangkan – Sinar Harian


Statistik kanak-kanak hilang membimbangkan

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2012

PASIR GUDANG – Statistik sehingga 17 April tahun ini menunjukkan seramai 126 kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah dilaporkan hilang di negeri ini dengan 50 daripadanya telah dijumpai.

Isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris bertitah, sepanjang tahun lalu sahaja didapati 579 kanak-kanak yang hilang dan masih belum ditemui di negeri ini.

“Mengikut pecahan umur pula, terdapat ramai gadis yang berumur 13 hingga 17 tahun yang hilang pada tahun 2011 dan tahun ini.

“Kalau kita mendalami angka yang diberikan mengikut daerah di negeri ini, angka yang tertinggi kanak-kanak hilang ialah di Johor Bahru Selatan iaitu 115 orang pada tahun lalu dan 26 orang sehingga April tahun ini,” titah baginda sewaktu menyampaikan ucapan pada Forum Keselamatan Keluarga di Stadium Pasir Gudang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Ma­syarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, On Jabbar@Jaafar.

Forum berkenaan yang dihadiri kira-kira 1,000 penduduk segenap lapisan masyarakat bertujuan mempertingkatkan kesedaran keselamatan keluarga adalah titah Raja Zarith Sofia sendiri lanjutan daripada peristiwa pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah, 6 atau Dirang yang menyayat hati bulan lalu di Bandar Seri Alam.

Titah baginda lagi, ibu bapa perlu mengawasi pergaulan anak mereka supaya tidak termakan janji manis atau ‘durian runtuh’ yang datang tiba-tiba kerana kadang-kala tersembunyi niat yang tidak baik.

“Ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa ada peruntukan yang wujud dalam Akta Kanak-kanak 2001 dan bahawa mereka boleh bertanggungjawab jika sesuatu berlaku kepada anak-anak mereka. Dunia sekarang tidak seperti dahulu, dan adalah sesuatu yang kita mesti sedar.

“Janganlah kita menghabiskan masa dengan sia-sia semasa menghadiri forum ini. Saya berharap agensi kerajaan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir akan membincangkan bagaimana melindungi anak-anak kita.

“Contohnya, kita boleh beri cadangan kepada sekolah-sekolah untuk mengajar murid-murid apa yang mereka harus lakukan untuk keselamatan diri mereka,” titah baginda.

Sementara itu, ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, yang turut hadir pada forum berkenaan berkata, banyak maklumat yang berguna diperoleh.

“Alhamdulillah, kehidupan kami sekeluarga baik sahaja setelah berpindah ke rumah baru. Saya sendiri tidak tahu hendak cakap apa. Terima kasih kepada yang memberi sokongan untuk keluarga kami,” katanya.