Pelajar terdedah risiko bahaya – Sinar Harian


Pelajar terdedah risiko bahaya

NORAFIZA JAAFAR
3 Oktober 2012
Kawasan projek
Kawasan projek digunakan pelajar untuk ulang alik ke sekolah setiap hari dibimbangi membahayakan keselamatan mereka.

BATU CAVES – Pembinaan projek perumahan yang terlalu hampir dengan kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas di sini yang tidak dilengkapi dengan ciri keselamatan didakwa mengundang bahaya dan hanya menunggu masa untuk runtuh.

Difahamkan tiga bulan lalu, pemilik tanah jenis persendirian itu telah dikenakan tindakan termasuk arahan menghentikan projek selepas berlaku runtuhan tebing.

Namun, tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, projek yang siap 80 peratus itu telah bermula seperti biasa dan terdapat seorang pekerja sedang mengecat rumah jenis dua tingkat enam pintu itu.

Menurut penduduk yang enggan dikenali, tebing yang runtuh tidak dibaiki sebaliknya hanya ditutupi plastik dan pita kuning yang digunakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah ditanggalkan.

Sumber memaklumkan, tebing yang runtuh itu menyebabkan sistem saliran di bawah tebing tertimbus.

“Apabila hujan, air akan menutupi jalan serta melimpah ke rumah penduduk di tanah rendah,” katanya.

Justeru, dia meminta supaya pihak berkaitan memantau perkara itu dan membaiki sistem saliran dalam kadar segera untuk mengelakkan banjir kilat.

Keadaan juga katanya berbahaya kepada pelajar memandangkan lokasinya yang bersebelahan dengan sekolah dan digunakan oleh pelajar untuk berulang alik dari sekolah ke rumah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pihaknya mengakui sebelum ini pemilik telah diberikan notis kerja tanah kerana menjalankan projek tanpa kebenaran.

“Pihak Jabatan Kejuruteraan akan ke tapak esok (hari ini) bagi memastikan mereka menjalankan kerja dengan kebenaran MPS.

“Selain pematuhan undang-undang, ia perlu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya.