Tidak sempat beli ‘top-up’ – Sinar Harian


Tidak sempat beli ‘top-up’

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Tidak sempat beli ‘top-up’
MUHAMMAD FAREZ

GUNUNG SEMANGGOL – Keghairahan seorang remaja pergi ke kedai untuk membeli kad tambah nilai prabayar atau  ‘top-up’  tidak berpanjang apabila maut dirempuh sebuah kereta berhampiran rumahnya dalam kejadian sekitar jam 8.15 pagi di Jalan Kerian, di sini, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Farez Musa, 14, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave difahamkan dilanggar dari bahagian tepi oleh sebuah kereta jenis Honda Hybrid ketika menyeberangi jalan untuk memasuki satu simpang di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa difahamkan melambung sejauh beberapa meter dari tempat kejadian setelah motosikalnya dirempuh kenderaan yang dipercayai dipandu laju.

“Kesan rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di  kepala akibat terhentak pada permukaan jalan selain patah tangan kiri.

“Mangsa difahamkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya sewaktu dihubungi media, di sini semalam.

Mat Fauzi berkata, mayat mangsa dituntut ahli keluarga sejurus dihantar ke Hospital Parit Buntar.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Musa Amran, 53, ketika ditemui berkata, dia pada mulanya tidak dapat menerima hakikat kehilangan anaknya itu, lebih-lebih lagi mereka sekeluarga hendak pergi bertandang ke majlis perkahwinan bapa saudaranya, di sini.

Jelasnya, dia tidak menyangka permintaan mangsa untuk keluar sebentar ke kedai merupakan petanda anaknya akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah merupakan seorang pelajar yang rajin dan dilantik sebagai pengawas sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

“Arwah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik merupakan seorang yang sangat pandai, periang dan rajin. Kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga,” katanya.

12 Sekeluarga Nyaris Maut Van Terbalik, Tayar Belakang Meletup – Bernama


12 Sekeluarga Nyaris Maut Van Terbalik, Tayar Belakang Meletup

ALOR SETAR: Seramai 12 anggota satu keluarga nyaris maut apabila van yang mereka naiki terbabas dan terbalik selepas tayar belakang kenderaan itu tiba-tiba meletup di Km50.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan petang Sabtu.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Sungai Mas Hujung, Kota Kuala Muda dari Jitra selepas menghadiri satu majlis perkahwinan.

Ismail Mohd Shukri, 26, berkata van yang mereka sewa itu dipandu sepupunya, Mohd Zambri Fikri, 24, terbalik dua kali dan merempuh penghadang jalan selepas hilang kawalan apabila tayar belakang sebelah kanan pecah.

Bapanya Osman Nordin, 57, yang duduk di kerusi penumpang hadapan cedera di tangan dan kepala terkena serpihan kaca, dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, katanya ketika ditemui, Ahad.

Sementara dia, ibunya Sulifah Mohd Yusof, 60, dan lapan adik beradiknya yang lain berusia antara 14 hingga 28 tahun menerima rawatan pesakit luar di hospital sama, kata Ismail. – BERNAMA

Pelajar dakwa dirogol tiga lelaki – Utusan


Pelajar dakwa dirogol tiga lelaki

MIRI 18 Nov. – Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun menjadi mangsa tiga lelaki, termasuk dua remaja bawah umur selepas dirogol bergilir-gilir di sebuah rumah panjang di Batu Niah, di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, mangsa dipaksa mengambil minuman keras sehingga mabuk dan tidak sedarkan diri sebelum dirogol.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa dikatakan bersama abangnya pergi ke rumah panjang berkenaan untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka.

Bagaimanapun, akibat terpengaruh dengan pujuk rayu tiga lelaki berusia antara 15 hingga 28 tahun yang baru dikenalinya itu, mangsa mengambil minuman keras yang diberikan sehingga tidak sedarkan diri.

“Setelah dalam keadaan mabuk, mangsa dipercayai dibawa oleh tiga lelaki berkenaan ke belakang rumah panjang tersebut sebelum dirogol bergilir-gilir,” katanya.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121119/je_03/Pelajar-dakwa-dirogol-tiga-lelaki#ixzz2Ccnn7rcZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada lagi rajukan cucu – Metro


Tiada lagi rajukan cucu

Oleh Pretty Licha
rabiatul@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ANGKAT...jenazah Abu Bakar (gambar kecil) dan Robinson diangkat anggota polis untuk dibawa ke hospital.
ANGKAT…jenazah Abu Bakar (gambar kecil) dan Robinson diangkat anggota polis untuk dibawa ke hospital.

MUKAH: Hasrat seorang bapa untuk memenuhi permintaan anak lelaki bongsu, yang mahukan ikan sardin dan telur goreng sebagai juadah makan malam tidak kesampaian, apabila dua beranak itu maut selepas motosikal dinaiki bertembung sebuah kereta Perodua Viva di Kilometer 106, Jalan Sibu-Bintulu di sini kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa, Abu Bakar Bayang, 32, menunggang motosikal dibonceng anaknya, Peterson Gemat, 7, manakala seorang lagi anaknya, Robinson Merchi Abu Bakar, 4, di depan.
Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Pasar Tepus, Ulu Balingian, Selangau, dekat sini, sebelum motosikal itu dirempuh Perodua Viva, kira-kira jam 7.40 malam.

 

Rempuhan kuat itu menyebabkan Abu Bakar dan Robinson parah di kepala dan maut di tempat kejadian, manakala Peterson, yang turut parah dikejarkan ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan. Bapa kepada Abu Bakar, Bayang Upap, 58, berkata, ketika kejadian, dia berada di Stapang menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, pada pagi kejadian, Robinson memintanya membelikan ikan sardin dan telur sebagai juadah makan malam.
“Saya kemudian meminta Abu Bakar membawa dua anaknya itu ke pasar untuk membeli bahan masakan berkenaan dengan menaiki motosikal kerana saya tidak sempat menghantar mereka.

 

 

“Robinson seakan merajuk dengan saya dan bersahaja memberitahu tidak akan membebankan saya lagi, tetapi tolong penuhi permintaannya untuk makan sardin dan telur ayam.
“Saya tidak sangka permintaan itu adalah yang terakhir dan tidak sempat menikmati makanan yang dibeli di pasar,” katanya.

 

Mayat Abu Bakar dan Robinson dihantar ke Hospital Mukah dengan bantuan orang ramai jam 9 malam kelmarin, sebelum dituntut keluarga dan dibawa ke Rumah Panjang Tuan Rumah Rantai, Ulu Lirai, Ulu Balingian, jam 2 petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah, Superintendan Omar Bakhtiar Yaakob ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27

Polis, mertua maut nahas ngeri – Utusan


Polis, mertua maut nahas ngeri

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

KERETA Proton Wira Aeroback dinaiki Baharin Puteh dan menantunya, Mohd. Riduan Ab. Razak remuk teruk selepas merempuh belakang bas di bawah jejambat Lebuh Raya Guthrie, Kundang, semalam.

SUNGAI BULOH 27 Mei – Seorang guru seni tidak menyangka percutian sempena cuti persekolahan di rumah anak sulungnya berakhir dengan tragedi apabila suaminya maut bersama menantu dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 28.8, Jalan Kundang-Tasik Biru berdekatan Kundang di sini hari ini.

Zuraidah Mahmud, 58, dan suami, Baharin Puteh, 59, difahamkan baru sampai di rumah anak sulungnya, Nuraqila, 26, di Apartmen Laguna Biru, Kundang dari Kuala Terengganu, pagi semalam untuk bercuti selain menghadiri majlis perkahwinan saudara di Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, kegembiraan mereka hanya seketika apabila Baharin maut bersama menantunya, Koperal Mohd. Riduan Ab. Razak, 32, setelah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dinaiki kedua-dua mereka hilang kawalan dan merempuh belakang bas rosak.

‘Mana abah, nak mami’ – Metro


‘Mana abah, nak mami’

Oleh Shahrul Nizam Mohamad dan Nurashima Sudin
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
REMUK...keadaan kereta mangsa selepas kemalangan maut, semalam.
REMUK…keadaan kereta mangsa selepas kemalangan maut, semalam.

KUANTAN: “Mana abah dan mami, nak abah dengan mami”. Itulah perkataan bermain di bibir Nurhudiyana Norazman, 12, mangsa tunggal yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan bapanya, Norazman Ibrahim, 42; ibunya, Norhayati Ibrahim, 42, dan abangnya, Akif Iskandar, 17, di Kilometer 210.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Gambang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, keluarga malang berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu menghadiri majlis kenduri kahwin anak kepada sepupu Norazman.
Norazman yang memandu kereta Proton Waja miliknya, dipercayai terbabas sebelum melanggar belakang lori membawa muatan bijih besi dan akibat rempuhan itu, dia meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera di dada menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.

 

Anak sulung pasangan itu, Akif pula meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) jam 4.18 petang semalam akibat parah di kepala. Nurhudiyana pula cedera ringan dan masih dirawat di HTAA.
Norazman seorang eksekutif kualiti di Kilang Proton, Shah Alam, Selangor manakala Norhayati berasal dari Kemaman, Terengganu dan mereka tinggal di Taman Puchong Perdana, Selangor.
Nurhudiyana yang masih belum tahu ibu, bapa serta abangnya itu sudah meninggal, terpaksa ditenangkan doktor yang merawatnya dan selain ahli keluarga, tidak sesiapa dibenarkan menemuinya bagi mengelak emosinya terganggu.

 

 

Kakak Norazman, Noor Dinal Ibrahim, 49, berkata arwah bersama keluarganya pulang ke Kuala Terengganu kerana mahu menghadiri majlis perkahwinan anak sepupunya hari ini dan keluarga terbabit sepatutnya bertolak selepas jam 9 pagi ini namun tidak menyangka mereka mengambil keputusan bertolak lebih awal.
Menurutnya, sehingga kini, dia bersama suami, Radzi Abd Aziz, 51, terpaksa merahsiakan kematian keluarga Nurhudiyana kerana bimbang emosi anak saudaranya itu terganggu.

 

Katanya, dia mendapat tahu mengenai kejadian terbabit melalui rakan mangsa yang kebetulan terlihat kereta mangsa terbabit kemalangan dan menghubunginya pada jam 2.30 pagi.
“Selepas mengesahkan nombor pendaftaran kereta adik, saya bersama suami seperti tidak percaya selain tertanya-tanya mengapa mereka bertolak balik terlalu awal kerana dia memberitahu akan bertolak ke Kuala Terengganu selepas jam 9 pagi. Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya dan kami sedang menumpukan perhatian kepada anak bongsu mangsa,” katanya.
Noor Dinal berkata, anak saudaranya itu hanya mahu bertemu bapa dan ibunya dan perkataan itulah yang kerap disuarakan sekali gus membuatkan semua ahli keluarga sedih tetapi mereka tidak boleh menceritakan kejadian sebenar.
“Saya terkilan dan sedih kerana arwah yang turut menyatakan hasratnya untuk bermain golf di Terengganu selepas mendapat tiket cabutan bertuah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri majlis di Proton, bulan lalu, tidak kesampaian,” katanya.
Mengenai masa depan Nurhudiyana, Noor Dinal yang juga pengusaha Taska di Seksyen 27, Shah Alam, Selangor berkata, kemungkinan dia bersama suami akan menjaga dan menganggap kanak-kanak itu seperti anak sendiri.
Menurutnya, semua jenazah mangsa dijangka akan dikebumikan dalam satu liang di Kuala Berang, Terengganu pagi ini selepas disembahyangkan di Masjid Indera Mahkota, di sini, petang semalam.
Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, Norazman meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan tubuh manakala isterinya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.
“Anak sulung mangsa meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di HTAA akibat kecederaan di kepala, pada jam 4.18 petang, semalam. Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu berasal dari Mentakab dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati, kejadian terbabit berlaku di laluan selekoh dan berbukit manakala keadaan sekeliling gelap kerana tiada lampu,” katanya.
Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.