Pelan pembangunan pendidikan ke Kabinet Januari ini – Utusan


Pelan pembangunan pendidikan ke Kabinet Januari ini

PUTRAJAYA 28 Dis. – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan dibentang kepada Kabinet Januari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pelan yang lengkap kemudiannya akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya tahun depan.

“Pelan yang kini berada di peringkat akhir setelah menerima laporan dan pandangan daripada pelbagai pihak, sudah diterima supaya ianya dapat dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Kita sudah banyak membuat perbincangan. Saya fikir tidak ada satu pihak yang terkecuali.

“Jadi langkah ini agak komprehensif dan lengkap dan sudah disediakan. Malahan kita tambah baik lagi kalau ada kekurangan kita lihat dalam tempoh dua tiga bulan lepas,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis interaksi bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik Muda di sini, hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121228/dn_20/Pelan-pembangunan-pendidikan-ke-Kabinet-Januari-ini#ixzz2GUlUkMU6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Dipersembah Kepada Majlis Raja-Raja – Bernama


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Dipersembah Kepada Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang lengkap, akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya yang berupaya membawa anjakan besar terhadap sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menghargai cadangan dan pandangan yang dikemukakan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah itu kerana semua pihak termasuk peringkat tertinggi yang menanungi rakyat perlu terlibat secara langsung dalam pelan itu.

“Saya hargai cadangan baginda. Harapan kita agar Raja-Raja memberi perkanan kepada pelan ini. Kita akan buat satu persembahan kepada Raja-Raja kalau itu diperkenankan nanti untuk taklimat mengenai apakah yang terkandung dalam PPPM yang disediakan ini,” katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Malaysia 2012 ‘Pendidikan di Malaysia Melangkaui 2020’ dan menyampaikan watikah pelantikan pengetua cemerlang baharu kepada 112 penerima.

Ketika merasmikan konvensyen itu semalam, Raja Dr Nazrin menyarankan supaya kerajaan mengemukakan PPPM pada Persidangan Majlis Raja-Raja agar ia mendapat perkenan sebelum dilaksanakan nanti.

“Bagaimanapun, sama ada ia dijadikan sebahagian manifesto atau tidak, dokumen itu akan tetap menjadi dokumen awam dan kita akan laksanakan untuk kepentingan negara. Ia akan bermula pada 2013 dan kita tidak boleh simpan terlalu lama,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai MCA yang menolak cadangan di dalam PPPM untuk melaksanakan kurikulum Bahasa Melayu yang sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Muhyiddin berkata MCA perlu meneliti cadangan yang terkandung di dalam pelan itu.

Pelaksanaannya bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014. Ia membawa kebaikan kepada pelajar berbangsa Cina dalam meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu, katanya.

“Saya terima laporan daripada MCA, kalau mereka tidak setuju kita akan ikutpandangan mereka, tengok dulu kandungan (cadangan itu), jika susah bagi mereka,maka okay, kita akan teruskan dengan kelas peralihan.

“Jika mereka masih tidak mahu, okay juga, kita tidak paksa jika mereka mahuanak mereka kurang menguasai Bahasa Melayu, bukan ada niat politik tetapi kitamahu anak-anak Cina baik Bahasa Melayu mereka seperti orang Melayu,” katabeliau.

Muhyiddin berkata cadangan itu adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu tanpa menjejaskan bahasa ibunda murid-murid di SJKC dan SJK Tamil kerana pencapaian Bahasa Melayu di antara SK dan SJK agak jauh.

Beliau berkata sekiranya ia dapat dicapai, murid itu tidak perlu lagike kelas peralihan selama setahun dan ia dapat menjimatkan masa.

“Cadangan kita ialah masuk ke darjah empat, lima dan enam kita akan tingkatkan standard Bahasa Melayu, berikan latihan yang lebih baik supaya setanding. Ada istilah yang digunakan di SK ada tetapi SJK tak ada. Jadi kita akan tingkatkan dari segi perkataan dan tatabahasa,” katanya.

Mengenai anjakan kelima di dalam PPPM bahawa pengetua dan guru besar cemerlang akan ditempatkan di sekolah-sekolah luar bandar dan kawasan miskin bandar bagi meningkatkan prestasi sekolah, beliau berkata ia bagi menguji kecemerlangan selain memberikan cabaran kepada mereka sama ada mereka mampumelakukannya atau tidak.

“Saya percaya mereka kompeten, ia adil, jangan pengetua terbaik ke sekolahterbaik, kita nak uji kecemerlangan mereka dan hantar mereka ke sekolah yangkurang cemerlang dan lihat sama ada mereka boleh menjadikan sekolah itu lebihbaik atau tidak,” katanya. –BERNAMA

Semua pandangan diambil kira – Kosmo


Semua pandangan diambil kira


MUHYIDDIN (tiga dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian daripada pengetua cemerlang di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang lengkap akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu bagi pelaksanaannya yang berupaya membawa anjakan besar terhadap sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PPPM merupakan dokumen yang memberi sumbangan besar kerana ia dibawa kepada khalayak masyarakat dan memberi peluang kepada sesiapa yang mahu mengetahui kandungan pelan itu.

Katanya, selain itu kementerian tersebut turut mengambil maklum terhadap setiap kritikan dan cadangan yang dikemukakan rakyat untuk penambahbaikan pelan berkenaan.

“Sekarang ini kita sudah lancarkan pelan tindakan dan ia bukan laporan akhir. Laporan akhir akan selesai selepas Kabinet luluskan dan sebab itu kita masih di peringkat proses penglibatan,” katanya selepas menutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Malaysia 2012 dan Penyerahan Watikah Pelantikan Pengetua Cemerlang di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Pelan pendidikan akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja – Utusan


Pelan pendidikan akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan lengkap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja selepas diluluskan di peringkat Kabinet, Disember ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, hasrat itu dibuat supaya semua pihak termasuk peringkat tertinggi terlibat secara langsung memandangkan pelan tersebut merupakan satu anjakan besar negara.

Beliau berkata demikian selepas menutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121023/dn_21/Pelan-pendidikan-akan-dipersembah-kepada-Majlis-Raja-Raja#ixzz2A7BuC4xt
© Utusan Melayu (M) Bhd